Tuesday, June 21, 2011

Cerpen bertajuk CERPEN

Oleh DAENG RAMLIAKIL

1.

Cermin kereta melihatku sama seperti aku melihat jalan raya yang ternganga di depan. Setahuku, tanpa waspada, dia pasti saja menelanku.

Dada Tokyo dijelajah rata. Waktu sebulan, bukannya terlalu panjang. Untuk menyelami nuraninya, sehari sudah lebih mencukupi. Kukira, berbicara dengannya cukup mengasyikkan. Hampir saja aku menidurinya. Hal itu terjadi tatkala aku terhuyung-hayang mabuk langsung tertiarap di dadanya. Entah kenapa, tatkala tersedar aku berada di katil. Dan entah kenapa seorang perantau Malaysia merasa kasihan dan merasa perlu membantuku. Setahuku, aku terjerembab kurang lebih sesaat.

Yasunari sempat berbicara denganku beberapa lama. Ia tertunda pada daun-daun bambu, pada batu-batu tetapi tidak pada air kali yang mengalir.

Antara perbicaraan kami, soal pokok nyata sekali pada tunggul-tunggul yang kaku di dada makam pahlawan Yasunari sendiri.

Setahuku, daun bambu masih menyayikan lagu sunyinya mencelah keributan materi yang bisa menyekat rengkung daripada dilalui oksigen. Batu-batu berendam di kali cetek masih menyatakan kepadaku sesuatu. Katanya, mereka masih menyimpan darah Yukio Mishima yang tumpah. Menyimpan darah Yasunari adalah mustahil kerana kematiannya tanpa darah tumpah.

Daun bambu mengingatkanku agar aku berupaya menyimpan saja bunyi percikan air kaki sewaktu berendam. Katanya kebisingan seperti itu menjadikan dunia berputar lebih pantas daripada biasa, lantas, kiamat amat menjengulkan mukanya untuk menyendiwarakan manusia. Kaki kuangkat. Yang terdengar mereka menepuk-nepuk batu.

Waktu itu, daun-daun bambu berbicara panjang tentang Yasunari. Mereka menyebut Nobel Prize, gas, ucapan, pendidikan universiti, mata, mukanya yang kecil dan rambutnya yang selari mengejar tengkuk.

Oleh kerana perbicaraan itu agak panjang, entah kenapa Yasunari, secara tiba-tiba menjengulkan diri dari rumpun bambu.

Dia terlupa senyum. Dia terlupa salam kerana setahuku dia bukan mukmin.

Aku mendepangkan tangan untuk didakapnya. Memang, sebagaimana terduga, dia mendakap tetapi tidak mendakapku

Agak lama kami berbicara, bukan kerana banyak kata, tetapi kerana terlalu kurang. Perbicaraan itu terhenti tatkala hujan mulai menurunkan manik-manik dan berkecai tatkala singgah.

Kami sama-sama membawa diri. Aku membaringkan diri betul-betul di bawah rimbunan daun bambu dan dia manuju ke kuil tua hitam yang banyak tiangnya, kira-kira 40 langkah arah ke utara.

Seingatku, dia lima tahun di situ. Dan kerana itulah aku dating menghampiri, mencari di segenap sudut, terjumpalah apa yang kucari : kunci kuil.

Ia tidak lebih daripada jampi pakndak, sama ada jampi untuk perasap keris, mahupun jampi untuk memukau. Cuma, dia perlu menyebut nama Yang Maha Esa mengikut caranya, sedang kami mengikut cara kami. Setahuku, kami dan dia sama, tidak bisa meninggalkan Yang Maha Esa.

Dengan kunci itulah kami bersemadi di atas batu di keliling aliran air jernih yang cair. Kami sama-sama percaya ibunya masih di puncak Fuji, membeku untuk sementara waktu.

Waktu kami bersama di situ, mata sarat pemandangan, akal memikul berbagai beban menunggu untuk difikirkan.

Waktu itulah kami sama-sama melihat Nagasaki ranap, Hiroshima runtuh. Tanpa bunyi di mata, seluruh kawasan di telan cendawan merah untuk sesaat, lenyap, melahirkan pemandangan ajaib, bangunan jadi rapuh, runtuh.

Di mata, tiada manusia. Kami kaku. Dalam kekakuan itu, pemandangan baru menjengul. Sesusuk tubuh berambut kapas duduk di kerusi tua sambil menggesek biola bisu. Matanya kering sekering hatinya yang tertipu teori EM, senjata presidennya.

Di puncak Fuji, kami cuma melihat kilat. Kata mereka di situlah tempat mereka mengadu, sebelum pengaduan itu ditumpahkan 100 % kepada sang mahamerah yang mengambang siang bermula beberapa minggu selepas bahana cendawan Amerika itu.

Sesudah sebulan aku menakung jampi di batu, kukatakan pada daun bambu yang setia menungguku di kali itu. Tidak pula kuingat apa yang kukatakan padanya. Mungkin aku begitu bodoh ketika berbicara dan selalunya begitulah.

Seingatku, jampi yang kutitipkan pada daun bambu untuk disampaikan kepada Yasunari adalah suatu pesan penghulu kampungku, pesan Muhammad, untuk jangan sekali-kali mengajar para muridnya untuk tidak menumpahkan darah atau menumpahkan darah pengecut.

Setelah itu, daun bambu rindu kepadaku, dan pada jampi Melayuku. Setahuku, aku begitu jahil tertipu.

2.

Alif lam mim yang meluncur dari artikulator tok guru itu menerobos gegendang telinga kami. Kami termangu-mangu. Bung Parta bertanyakan sesuatu kepada Achdiat Karta Mihardja. Dia menggerakkan kepala ke atas ke bawah, ke atas ke bawah.

Kami, makhluk ampas, nafas, nufus dan senufus menerima seadanya. Kata kami, ketetapan. Kata kami, ujian Yang maha Esa. Sudah kami katakana, solatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah Azzawajalla.

Kitab yang terbuka di depan tok guru tertutup. Di luar rebut. Jarum jam tenang merujuk angka lima dan dua belas. Satu angka genap dan bakinya angka ganjil. Sama. Sama seperti kami. Di antara kami dengan mufti. Demikian hipotesisnya kurun berkurun.

Hipotesis yang sama telah mengerat tali nyawa Al Halajj di Baghdad, hingga dia lupa bernafas, jasadnya mengeras. Sekurang-kurangnya ada persamaan dengan Sheikh Hamzah al-Fansuri. Dan sedikit kelainan pula dengan Sheikh Lemah Abang yang kadang-kala di puncak-puncak bukit batu yang bertangga buluh, yang kadang kali di perut bumi dan akhirnya menyatu.

Sesuatu yang pasti adalah kata-kata tok guru. Bukan kata-kata yang menyangkut sola kelaminnya. Bukan juga bab fiqh. Bab itu. Bab songsang. Songsang alam bumi, iaitu tanah, air, api dan angin atau di wadi mani dan manikam; diterima mufti. Songsang air surut-pasang, mudah menghilir dan mudik. Songsang kami, dia menolaknya berat-berat, beralas-alas, bernas-nas Quran dan hadis.

Alif lam ra melaju lagi dan mampir langsung menerobos ke “innate”. ”Innate” kami dicerobohi. Otak kaku, ibu sawatnya terkuasai sempurna. Kerana itulah kami menggerakkan kepala ke atas ke bawah, ke atas ke bawah. Kami masih termangu-mangu.

Bung Parta diam. Achdiat memerhati Anwar, memerhati Rosli, memerhati kartini, memerhati kami. Termangu-mangu.

Kitab masih terbuka laju halaman demi halaman dicapai jari-jari rebut yang menerobos. Sesekali, langgar itu bergegar.

Kali ini mata tok guru terpejam. Silanya masih kukuh. Alif-alif, lam-lam dan mim-mim yang tumpah menerusi alat artikulatornya bertali arus macam semut-semut mayat.

Sudah 14 hari 14 malam kami cuma bersila, mendengar dan mengangguk, termangu-mangu. Berpuluh-puluh yang lain meminggir, terbaring, terkedang. Minggu depan, kami akan berangkat ke tanah adik, Malaysia. Hanya yang pas saja dibenarkan pergi. Tok guru tegas.

Subuh yang kelima belas sebelum solat didirikan, ijazah disampaikan. Kami menerimanya: kata-kata.

Waktu itu, kami tidak lagi termangu-mangu. Kata-kata itu mewangi di dalam jasad, menerangi kegelapan hati. Kami bisa saja menyuluh apa saja. Ke dalam diri, ke luar diri. Diri kami atau diri sesiapa saja. Keanehan yang tidak terhad itu benar-benar mengisi alam kami.

Kami mapan. Bisa saja menyingkap melebihi sihir, apalagi tenung dan ramalan. Tahulah kami mengapa bangsa Mesir yang dirajai gengsi Firaun mampu mendirikan piramid. Atau, Nabi sulaiman yang bisa mengerti bahasa haiwan dan bahasa tumbuh-tumbuhan. Kami mengerti segala.

Segala yang dimaksudkan adalah apa yang ada di dalam kitab. Kitab kami. Menyeluruhnya meliputi alam kami, alam roh.

Kami bisa menyingkap apa yang akan terjadi di tanah adik nanti. Air Sulawesi kami bawa bersama tanpa mengira warnanya. Setahu kami, mufti perlu ditemui dan perlu berurusan secara asli dan tulen sebagaimana yang diurusi Muhammad S.AW.

Adik-adik yang tua perlu disepakati. Corak dan pola permuafakatan, kesan, akibat telah kami tahu siap sempurna. Sudah tersingkap. Jelas dan nyata.

Waktu berangkat, tok guru di depan Kaabah, mohon restu. Pada mata kasar, kami tanpa tok guru berada di pengkalan. Bumi Sulawesi pusaka Semerluki dan Kahar Muntakkar dilepaskan. Kami menuju ke tanah adik dengan kapal laut.

Keanehan yang tiada had itu dipergunakan sebaik-baiknya. Pada mata kasar, kami tidak makan, minum selain zikrullah. Lima belas hari lima belas malam begitu, masakan di kapal berbeza.

Camar singgah di kapal. Putih bulunya, mengingatkan kami singkapan peristiwa ke depan itu.

Kata-kata subuh sebelum terdiri solat itu mersik, panas suci. Kata-kata yang tidak bisa difaham oleh akal rebung, hati berhijab atau yang disampaikan oleh yang bukan syeikh mursyid.

Kata-kata itu menerbitkan hujan cahaya secara tiba-tiba, membasahiku. Pelayaran bermula ke sidratul muntaha.

5.

Tak siapa tahu, kecuali Allah dan kerajaan-Nya. Biasanya begitulah, para profesor dan para filsuf sama ada yang berada di Eropah mahupun yang berada di bumi ini; masing-masing mudah sibuk dengan urusan masing-masing: mempertingkatkan kewibawaan nama agar tidak mudah terpadam. Biar segala bahan bercetak sentiasa mencetak namanya. Atau sekurang-kurangnya 63 tahun, purata usia manusia kini. Selepas itu, nama itu tidak penting. Jasad sudah terkubur dan mereka sudah tak bisa menghadap urusan nama lagi. Tubuh sudah tak tertanggung azab kubur.

Dia meneliti doa-doa. Doa Nabi Ibrahim, doa Nabi Luth, doa Nabi Yusuf dan beribu-ribu nabi lagi. Satu pun tak memikat hatinya.

Waktu meneliti doa Nabi Muhammad SAW, dia tertegun. Tiap satu baginya, cukup hebat sinaran-Nya. Imaginasinya ditutupi malam sehitam-hitamnya dan kemudian, setiap zarah kehitaman itu dimamah cahaya panas suci yang bergemerlapan.

Waktu itu, tubuhnya basah. Keringat lumba-berlumba keluar bagaikan ingin menyaksikan keindahan kehidupan ini. Dia berkeadaan duduk dalam tahiyyat. Dia menangis sepuas-puasnya bagaikan Sapardi Djoko Damono sewaktu mengetahui hidup ini indah. Dia melihat doa itu menangkupi segala kemungkaran, ditimbusinya jauh berjuta batu ke pusat bumi. Secara alamiah, dia sujud, meletakkan dahi amat rata rapat di hamparan debu di bumi Mekah itu. Dalam dunia bergemerlapan itulah, dia menyaksikan Kaabah dan masjid nabi mengisi ruang. Beberapa orang bergerak-gerak di dalam ruang. Seorang daripadanya, dilihatnya bercahaya, melebihi cahaya yang ada di dalam ruang itu. Di belakangnya, manusia lelaki perempuan menurutinya semacam tanpa dipaksa-paksa. Lelaki yang berjalan paling hadapan agak pantas. Berjalan bagaikan sedang menuruni bukit. Tubuhnya tetap bercahaya seluruhnya.

Dia membuka mata seluas-luasnya, menarik nafas sedalam-dalamnya. Otaknya merakamkan gambaran itu dengan tekun. Baginya, inilah pengalaman yang paling lazat pernah dikecapinya: penyaksian. Dia menyaksikan sesuatu yang benar, di luar khayalan, di luar mimpi. Benar-benar terjadi di depannya.

Dia melihat kumpulan manusia itu kemudiannya mendirikan solat. Segera sahaja dia ke depan, meninggalkan bukit tempat pemerhatiannya tadi untuk menjadi makmum.

Sesudah solat, dia berzikrullah. Setelah agak mengah, matanya dibuka. Ruang di situ berbeza. Kaabah dikelilingi bangunan-bangunan tahun 80-an dan serba moden.

Entah kenapa, dia menangis kerana perubahan itu. Dia teringat, sahabat menangis tatkala rumah Nabi Muhammad ingin dirobohkan sewaktu hendak digantikan dengan bangunan baru. Dia menangis kerana 100% pilu dan sayu. Alam yang baru itu dirasakannya agak asing, penuh debu kepura-puraan yang menangkupi mata, hati dan jasad manusia.

Sekembalinya dari Mekah dan sewaktu menjejakkan kakinya di bumi Amerika, negaranya; dia teringat pula sebuah negara yang suatu masa dahulu pernah menjadi negaranya, iaitu Tanah Melayu, yang kini dipanggil Malaysia. Dia teringat makam datuknya, Khatib Lela yang pernah menjadi Pembina masjid di sebuah kampung terpencil, Ulu Luit, yang jauh di pedalaman Pahang.

Wajah datuknya itu terbayang sekilas. Kemudian, hilang.

Sewaktu menyambung tugasnya, iaitu sewaktu hendak memulakan kuliahnya kepada para mahasiswa Universiti Harvard, sekali lagi wajah datuknya itu menjengul. Dia tergamam beberapa saat. Dia terkhayal datuknya itu bersial di depan makamnya sendiri sambil wajahnya memancarkan senyuman.

Sesudah menyampaikan kuliahnya, iaitu waktu di bilik bacaan di pangsapurinya, dia teringin kembali untuk melihat sendiri makam datuknya itu. Urusan percutiannya diuruskan dengan segera.

Dia kembali ke Malaysia dengan satu perasaan yang membeku. Di Subang, dia sempat menyaksiakn beberapa orang lelaki berserban dan berjubah tercangak-cangak dengan pelbagai urusan. Dia memerhati gelagat mereka untuk beberapa minit untuk mengetahui sesuatu. Hatinya bosan sekali, lantas saja dia melambai pemandu teksi untuk meneruskan perjalanannya di darat. Dia sengaja menangguhkan perjalanannya ke Pahang Darul Makmur untuk membaca sesuatu di Kuala Lumpur. Segera sahaja dia mengetahui, iaitu cukup banyak penyakitnya yang tak bisa diubati dalam masa yang singkat. Dia terasa aneh sewaktu menggunakan beberapa minit untuk memikirkan fenomena kota itu yang pada fikirannya mengejar New York.

Malam itu di hotel itu membungkusi di antara jam 2 pagi hingga 6 pagi. Setelah itu, solat subuh menyiraminya dengan cahaya. Dia terasa segar, sekalipun cahaya itu tidak sehebat cahaya yang dinikmatinya sewaktu berada di Mekah beberapa bulan yang lalu.

Dia tiba di kampung pedalaman itu kira-kira selepas jam satu. Sesudah solat di masjid, dia berusaha mencari makam datuknya yang hampir 20 tahun tidak dijenguknya.

Sewaktu bertahlil di depan makam, air matanya mengalir agak banyak. Kawasan kuburan itu semak, penuh pula dengan nyamuk. Keredupan kawasan itu mengingatkannya sesuatu : sikap dan mentaliti masyarakat bawahan.

Dia meraba-raba bumi yang berwarna kehitam-hitaman itu. Dikepalnya. Kemudian, dileraikannya di atas kuburan itu. Dia bangkit berdiri, memerhati di sekeliling, cukup sunyi. Dia terasa sunyi sejak tadi, sebenarnya. Waktu di masjid, dia mengalunkan azan dan dia bersembahyang bersendirian. Waktu di kuburan, dia bertahlil bersendirian. Waktu berjalan menuju ke jalan raya, dia berselisih dengan dua tiga orang yang hampir sebaya dengannya. Dia cuba untuk tidak menegur, mereka juga tidak.

Sewaktu berada di tepi kedai untuk emnunggu teksi yang menuju ke Kuala Lumpur, dilihatnya beberapa orang tua sedang berbual-bual.

Dia masih dapat mengingati secara samar-samar wajah-wajah itu. Ada yang berpangkat saudara dua pupunya, ada yang berpangkat bapa saudara sepupu. Dia tidak menegur, mereka juga tidak, malah mereka langsung tidak mempedulikan langsung kehadirannya di situ. Secara diam-diam, dia berdoa, mohon keampunan atas alasan mereka itu masyarakat bawahan, bermentaliti rendah, yang semakin kaya dengan kealpaan untuk berwaspada dengan hari kemusnahan, apalagi dengan hari perhitungan di akhirat nanti.

Sewaktu berada di negaranya, dia menulis cukup banyak mengenai Malaysia, negara yang masih disayanginya. Dia menulis mengenai budaya Melayu yang digemburi oleh budaya Arab-Parsi yang menonjolkan aurat Muhammadiah, mengenai budaya Eropah, khususnya budaya Paris yang lincah mewarnai bangsanya itu dan yang paling banyak adalah tafsiran dan pencerakinan doa para nabi.

6.

Perempuan kata mulut itu berbahaya. Dia percaya. Subuh itu, dia begitu sibuk sekali. Sibuk mencari jarum dan benang. Mahu dijahitnya mulut itu. Tak terjumpa. Dia masih sibuk. Mencari plaster, Ditemuinya dalam laci. Segera sahaja dia membaluti secukup-cukupnya.Dia berpakaian rapi lalu bersiar-siar di Kuantan.

Keesokannya dia kembali ke sekolah. Dia dipanggil pengetua. Sewaktu melangkah ke bilik beliau, dia sudah siasiaga untuk mengemukakan hujahnya kenapa dia bertindak sedemikian rupa.

Saya begitu kerana saya tidak setuju dengan keadaan manusia kini. Mereka mempergunakan mulut seenaknya sahaja.

Menteri berpidato, guru memuntahkan eantah berapa ribu kata, tapi tak berupaya mendirikan kota untuk kata-katanya.

Mencari manusia yang berani waktu perang ini, sukar sekali. Paling banyak pengecut. Mereka mencuri wang rakyat tatkala menjadi pemimpin. Mereka mengendalikan mesyuarat dengan mulut, bukan dengan hati; lantas, sempat mencekup apa sahaja kemewahan.

Dia menolak daun pintu. Mulutnya tidak dapat dibuka, tertampal. Di tangan tersiap pena dan kertas. Akan ditulisnya laju-laju segala hujah-hujahnya.

Dia biasa menulis pentas tatkala menjadi pemberita suatu masa dahulu. Dia masih mengekali keahliannya menulis pantas. Pengetua akan bingung, pasti sahaja bingung.

Dia masuk ke bilik. Pengetua mengarahkan sesuatu kepadanya. Dia keluar. Sayu sekali. Pengetua itu sedang menulis dan tunduk. Tidak terjadi sepertimana yang diduganya.

Seharian dia di tempat kerja. Hujung hari , dia meletakkan sepucuk curat di pejabat sekolah. Sejak hari itu, dia tidak muncul-muncul lagi di situ.

Lima tahun sesudah itu, mulutnya kembali dibukanya secara terus-terusan. Kalau dulu, mulut dibuka tatkala mahu makan sama ada di kedai makanan atau di rumah. Sesudah makan dan mencuci gigi, palster setia menangkupnya. Dia tidak ragu-ragu untuk melaksanakan perintah tuannya.

Lima tahun dia tidak melihat cermin. Pagi, genap lima tahun dia malaksanakan tekadnya itu. Dia melihat diri. Wajahnya bersih. Matanya jernih, dahinya tidak berkedut. Dia tidak terkejut lantaran matanya jernih.

Dan yang paling menggembirakannya, sewaktu dia ingin berkata-kata, suaranya tiada. Dia tidak perlu mencubanya lagi bagi kali kedua. Dia cukup gembira.

Waktu itu, dia terdengar suara azan cukup merdu. Dan sejak itu, siapa sahaja yang berkata kepadanya, yang terdengar olehnya, cuma azan. Jika yang berkata-kata itu lama, azannya berulang-ulang.

Jika tidak silap, hingga ke saat dia meninggal, itulah suara yang kedengaran olehnya, selain salam.

7.

Waktu itu dia berusaha memasukkan dirinya ke dalam kolam Quran.

Waktu itu juga dia membuka permainan ABC, permainan kanak-kanak. Dia bercaturan sendirian, menyusun huruf-huruf dan kadang-kadang berlakunya ketersasulan. Ketersasulan seringkali pula terjadi tatkala berada di depan guru, Hashim. Dan entah kenapa, gurunya itu mudah pula ketersasulan apakala berada di sisi gurunya, Normi. Dan Normi itu mudah juga rupanya ketersasulan apakala berada di depan gurunya, Rahim. Dan Rahim, dialah yang paling banyak mengukir ketersasulan, iaitu di depan gurunya.

Ketersasulan itu sebetulnya begitu ambiguiti. Yang jelas, ketersasulan itu bagaikan permainan catur, mereka menggerakkan kuda. Sebetulnya patung kuda itu gerakannya berbentuk L, digerakkan berbentuk T, kadang-kadang berbentuk A, kadang kala berbentuk K.

Selalu pula ketersasulan itu merujuk kepada bentuk I, K, H, L ditinggalkannya dan sebaliknya ditujunya bentuk S. Itulah amalan yang menjadi makanan yang menyegarkan mereka itu.

Suatu waktu, di tengah tasik kudus, dia merenung bulan, bulan pucat, kelihatanlah kesan-kesan belahan sejarah. Dia kebingungan. Waktu itu, tasik mongering dan guru-guru itu teraba-raba mencari pegangan.

Yang paling tepat : bulan pucat, berkali-kali pula mereka menyepuhnya beramai-ramai dan diperhidupkan lagu kawi yang difikirkannya dapat mengeringkan pasir putih. Benarlah, pasir-pasir putih menyusut, mara ke udara, bercempera tetapi tertangguh di antara langit dan bumi.

Asmah kebingungan. Dia mengatur lagi huruf permainan kanak-kanak itu. Kali ini, tak menentu. Yang menjadi sasarannya ialah kepuasan hatinya. Dia berpuasa ketika itu. Muka jadi cengkung dan tentunya dia mengumpul-ngumpul, mengira-ngira. Setahunya, bekas gurunya akan bisa mengunjunginya untuk menimbang kumpulannya.

Lima tahun berselang, bekas gurunya itu kembali menjadi murid, mempelajari permainan yang lain. Yang pasti, kata-kata yang dipermainkannya dahulu memenjara, menjadi hijab.

Waktu berada di tepi kolam kudus, seekor labah-labah menangkupi jubahnya dan membisikkan sesuatu. Bisikan itu tidak difahaminya, sebaliknya, dia ghairah mencari. Dia kibar-kibarkannya pakaian labuh itu, mencari-cari ketul daging yang berdarah hitam itu, tak ditemuinya. Dia cuba berkali-kali menyebut sepotong ayat, menulisnya pada lidah, berpuluh-puluh juta kali, kesannya dia ketersasulan.

Suatu malam di bumi kelahirannya, mereka sekumpulan mengais-ngais huruf yang terjatuh di antara semak-semak daun tua yang berada di kebun ibu masing-masing.

Huruf-huruf itu kesesatan dan mereka menjadi semakin kasip untuk memungut buah-buahan di kebun tersebut. Hujan malam telah mengguyurkan diri mengakibatkan perkataan yang dicari semakin sukar. Tambahan pula di permukaan agak banyak gundukan. Yang jelas di puncaknya ada sekeping huruf : gunjing.

Masing-masing berpandang-pandangan: di dahi mereka tertulis mereka cuma kacung.

8.

1,000 tahun lamanya seorang manusia yang entah apa, namanya mengumpul aksara, mencantum-cantum dan sejak itu dia mempercayai sesuatu.

Kepercayaan pertamanya ialah mengenai kejadian. Manusia bangkit kegopohan, kemasukan makhluk akal yang mengimbangi makhluk nafsu.

Dia bertolak dengan sebuah bahtera, mengutip-ngutip, mencantum-cantum aksara dan dinamainya onamatopia. Yang kedua, dinamainya pooh-pooh.

Sejak itu, diketahuinya secara tidak sedar, seekor ular berbisik kepada Hawa menggunakan bahasa Perancis. Entah kenapa pula, sejak itu, Paris mula mengumpul muzium. Amat banyak muzium patung-patung manusia dan semuanya amat semulajadi.

Bagi kalangan yang mempercayai sumpah, dikatakannya sumpahan ular beracun itu menjadikan kota Paris kaya, kaya muzium patung-patung manusia yang amat semulajadi , sekalipun patung-patung itu bernyawa, jasadnya dipinjami ular Azazil, malaikat yang paling dungu.

Aksara yang terbina mengatur satu persatu berbaris-baris di depan sekalian manusia yang terkumpul dan terpecah-pecah sejak Nabi Nuh a.s. Aksara-aksara itu menujah-nujah kotak akal, memasuki dan berenang-renang di dalam kolamnya. Manusia sering pula memancing-mancing dan setiap kali rembatan, menjegullah ikan-ikan aksara menerusi artikulator, dipertimbang di udara dan dicatat pula oleh Raqid dan Atid.

Berbicaralah sekalian para bomoh, sumpah seranahnya kepada sekalian jin dan iblis yang keengganan keluar dari pertapaan.

Aksara tersirat, antara suara dan akal. Kadang-kadang terasa payah baginya untuk mempersatu sesuatu, bagi faedah manusia yang tetap sampai bila-bila manjadi hamba Tuhan yang mencipta segala-galanya.

Pengumpul yang telah menghabiskan masa kanak-kanak, muda dan tuanya itu sering pula kebingungan.

Mengapa aku mengumpulnya?

Setahuku, mereka wujud sesudah kewujudanku, malah kewujudanku seiringan dengan mereka.

Pengumpul jadi bingung, untuk itu dia mula mengatur-ngatur tugasan. Diagih-agihkannya kepada para sahabat, antaranya de Saussure, Goethe, Chomsky, Bloomfield dan Abercrombie.

Pengaturan pengumpulan itu tersususn untuk sesekali, muncul Professor John Lyons yang berambut blonde, bermuka panjang dan bermata cengkung yang diimbangi cermin mata.

Pengumpul mula tua dengan pengiraan yang sukar ditimbang. Akal menjadi kalut, kesaratan.

Sewaktu dia ingin melepaskan nafas, di kaki sebuah gunung Linguistics, dia dibisikkan sesuatu : waspada bahasamu di akhirat nanti, apakah engkau percaya. Dia mengangguk-angguk lemah. Dia dibisikkan lagi : waspada syufaat ihsan untuk memperolehinya. Dia mengangguk-angguk semakin lemah. Dia dibisik lagi : waspada……………………… Dia tidak lagi mengangguk.

Epilog

Matahari kaget dan manusia itu begitu drastik mengubah segalanya kerana ingin kojol awal. Dia merasa tidak enak menjadi menteri kerana baginya ada faktor lain yang bisa terisi apabila dia meninggalkannya : pos itu.

Mana mungkin ditinggalkan kekayaan itu jika kita masih bernafas? Kan hukum akal mengatakan bahawa kita enggak bisa memperolehi istana selebar ini dan saham-saham beribu dolar. Hanya hukum takdir sahaja bisa menjawab segalanya.

Isterinya mendengus bagaikan seladang yang berada di gelanggang negara Isabella.

‘Kan keputusan ini juga takdir. Sebelum menyesat lebih jauh, aku bisa meyedari kecelakaan yang mendatang. Aku tak bisa berundur dari ketetapan takdir.

Tuan menteri, saya sanggup cium lutut tuan, asal saja tuan menarik kembali cita-cita negatif itu.

Mana boleh dikatakan negatif, itu ‘kan positif!

Tidak ada manusia berfikiran macam tuan, menolak rezeki Allah dikatakan negatif.

Tidak. Aku tidak bisa bertahan. Aku sudah penat dan jerih tersepit di celah gunung-gunung dosa dan hilang di hutan putar belit cendekiawan. Aku tidak sanggup menjadi Macbeth yang saban saat melihat tangannya berdarah merah dan kesesakan.

Hujan malam menjdi ungu kerana kehitaman angkasa menyepitnya dengan kasar.

Angin meniup seadanya.

Isterinya, datin, iaitu gelaran yang sering pula dia sendiri lupa, menggonggoi macam anjing kurap yang terpukul di kepala. Rasa belas menjengul. Jengulan kepala itu ditolak ke luar jendela. Terjengul lagi, ditolak lagi, terjengul.

Aku kata keluar. Isterinya, datin itu tersentak. Mata berladung. Dipicingkannya, lajulah air mata itu mengalir lumba-berlumba menuju cadar.

Isterinya ini dungu. Hatinya buta dan kepiluannya mendadak sesudah mengetahui bahawa harta, pangkat, penghormatan terjauh, renggang. Dia tidak bisa berfikir sejauh diriku kini. Aku tidak tahu ke mana ilmu ekonomi yang dirautnya ketika mengaji di universiti. Ilmu itu sesungguhnya menutup segala lubang keinsafan di dadanya. Tertutup kerana agak lama dibuai makanan bukan Islam itu. Makanan itu kotor. Kekotorannya bisa meracuni hati, hijab jadi menebal dan kesedaran mulai memudar.

Aku tetap dengan pendirianku.

Mengapa abang begitu bodoh?

Dia terkejut. Darah tersirap, otot-otot jadi kejang. Gerak silatnya menerpa. Tangan kanannya terangkat didepangkan lengan. Matanya mencari sasaran.

Tangan kaku. Isterinya berbaring menelungkup mengadap arah kiri. Lena tidurnya. Dia tidak berbicara.

Nafas dilepaskan. Tubuhnya tertengadah. Dia menyerahkan seluruhnya menentang siling. Bau “eau de cologne” menerpa hidung. Suasana waktu itu semacam amat sayu. Dia semacam sudah benar-benar menjadi manusia campuran Hamlet dengan Macbeth. Membela dan berdukacita. Berdukacita dan resah. Resah dan merancang. Mencuba dan mengira-ngira lagi. Keadaan itu memberi kesempatan jarum minit meninggalkan jarum jam amat jauh, berhari-hari di belakang.

Waktu itu, entah kenapa, figura-figura asing bermain-main di hujung jari kaki. Rasa semut-semutan tiba. Rasa dingin hawa yang keluar menerusi alat pendingin bilik tidur itu dirasakannya bergigi. Wajah anaknya yang masih menekuni kerja-kerja Ph.D menerpa dan tumbang di celah-celah buku yang tersusun. Kedudukannya tertiarap sekaligus mempamerkan namanya, Life After Life.

Kan keputusan ini juga takdir. Sebelum menyesat lebih jauh, aku bisa meyedari kecelakaan yang mendatang. Aku tak bisa berundur dari ketetapan takdir.