Sunday, May 29, 2011

SkripTeater

Tuahnya Jebat

Oleh daengramliakil

Sinopsis

Setelah Tun Tuah dilucutkan jawatannya sebagai Laksamana dan diserahkan kepada Hang Jebat, mereka bertemu di kawasan air terjun untuk berbahas dan bermuzakarah. Jebat tidak puas hati kerana sultan menjatuhi hukuman ke atas Tuah tanpa usul periksa, hanya mendengar aduan pembesar istana, antara lain daripada Pateh Karma Wijaya dan kerenah Raja Mendeliar serta Kitul. Tuah sanggup menghadapi ujian Allah itu dan meminta Jebat waspada. Jebat sanggup memangku jawatan itu hingga nama Tuah dibersihkan daripada fitnah dan berjanji akan menghapuskan rasuah, pecah amanah dalam kalangan pembesar, menteri dan petugas istana.

Watak dan perwatakan

1. Tun Tuah – berusia awal 30-an – berkeagamaan, tenang dan baik hati.

2. Hang Jebat – lebih muda daripada Tun Tuah – panas baran - berani

3. Bendahara – berusia 50-an – bijaksana.

Pagi – di kawasan air terjun –

TUN TUAH: Jebat adikku, abang lihat kau kurang hormat kepada sultan tadi. Dan, abang lihat tuanku sedar akan hal itu. Masam wajah tuanku. Sesudah jawatan abang dilucutkan dan tuanku titahkan k au menjawatnya, tuanku terus meninggalkan balai penghadapan. Abang bimbang nasib kau akan menjadi seperti nasib abang.

HANG JEBAT: Abang, hatiku luka. Bagiku, abang seperti abang kandungku dan kita ialah abang kepada Kasturi. Cubit peha kanan, peha kiri berasa juga, bang. Apabila tuanku melucutkan jawatan abang, hanya sesudah mendengar aduan si pengkhianat itu, Pateh Karma Wijaya, tuanku tidak pula menyiasat. Tidak pula bertanya itu ini kepada sesiapa, juga tidak kepada abang. Adilkah itu, bang?

TUN TUAH: Nama pun sultan ‘kan? Undang-undang dan peraturan negara serta kerajaan di mulut baginda. Putih kata tuanku, putihlah yang terjadi. Tambahan pula Melaka sudah terkenal di seantero dunia. Pelabuhan sudah disinggahi ribuan pedagang. Arab, China, India, Portugis dan sebagainya. Atas kemajuan begini tuanku pasti berasa dirinya sempurna, Jebat.

HANG JEBAT: Ya,ya. Aku akui hal itu. Melaka maju. Di mana-mana orang asing berebut-rebut pelajari bahasa Melayu kerana mahu membeli rempah ratus, hasil hutan, gaharu dan seumpamanya. Tetapi bang, sejak beberapa tahun ini, bukannya abang tak tahu. Sebut sahaja nama pembesar, menteri. Siapa yang tak lepas daripada terima habuan, makan suap? Syahbandar? Hah! Yang itu lagi kuat. Bukan setakat itu bang. Kaum kerabat istana. Sebut sahaja namanya. Boleh kuceritakan satu-persatu rahsia setiap mereka. Yang lelaki jadi sibuk jadi orang tengah pedagang untuk dapat tempat berdagang dan dapatlah upah wang emas. Lepas itu, jadi pengejar perempuan. Melaka tak ubah jadi macam Mekah waktu diperintah Khalifah Muawiyah. Bukan abang tak baca kitab yang menceritakan kisah Abu Suffian yang katanya waktu itu tiada anak dara di sekitar Kaabah, melainkan diperkosanya! Yang perempuan pula, asyik berjudi. Wang kerajaan mengalir macam air terjun, bang. Lambat-laun agama, bangsa dan kerajaan kita boleh hancur!

TUN TUAH: Jadi? Padamu aku gagal melaksanakan tugasku sebagai Laksamana Melaka?

HANG JEBAT: Ya! Aku berani katakan bahawa kita berlima gagal menyelamatkan Melaka agar diselamatkan Islam. Nama sahaja Melaka berajakan sultan beragama Islam, bermenteri Islam, berpahlawan Islam dan rakyat pun Islam. Kita sebagai pahlawan, perwira, atau sebut apa sahaja namanya, sejak lima enam tahun ini melindungi para perosak Islam, tegasnya musuh-musuh Allah. Apa tidaknya, sejak kita mengawal perairan Melaka, hampir tiada lanun yang berani merompak sesiapa yang singgah di Melaka. Tetapi, wujud setiap hari perompak harta kerajaan. Wang atau cukai yang sepatutnya lebih banyak disimpan di perbendaharaan kerajaan diambil atau dicuri ratusan tangan hitam yang halimunan.

TUN TUAH: Jebat, aku tahu juga sedikit-sedikit mengenai hal itu. Tetapi bagiku, masing-masing punyai kubur sendiri. Siapa yang makan nangka, dialah yang kena getahnya.

HANG JEBAT: Abang, hari ini abang bukan lagi siapa-siapa. Daripada seorang laksamana menjadi pesalah iaitu rakyat Melaka paling rendah darjatnya.

TUN TUAH: Salah cuma di mata sultan dan pemfitnah. Aku tidak takut kepada sultan, apa lagi orang itu. Yang aku takut cuma Allah, Jebat. Sultan tak punyai neraka mahupun syurga. Allah ada.

HANG JEBAT: Abang dengar pendapatku. Lepas itu, abang ulas. Begini, bang. Hari ini Jebat jadi ketua panglima di istana. Ni, Keris Tameng Sari di tangan Jebat. Ingat, bang. Jebat ialah adik abang. Adik abang paling setia di dunia. Pertama, mulai hari ini, aku akan pastikan diriku siasat pergerakan Pateh Karma Wijaya. Menghadap sultan, bercerita tentang abang Tuah tidak bersalah, sebaliknya Pateh memfitnah hanya buang masa. Cara terbaik, hapuskan musuh Allah.

TUN TUAH: Jebat, mahu kaubunuh Pateh hari ini?

HANG JEBAT: Mungkin tidak hari ini. Esok lusa belum tentu. Akan kujadikan kematiannya rahsia. Juga Kitul, Raja Mendeliar, yang kerjanya hasut-menghasut menteri-menteri, adu dombakan pembesar. Inilah yang kurasakan tuahnya Jebat, bang. Kesempatan ini kutakrifkan Allah menyuruh aku membersihkan Melaka daripada dosa dan noda. Jika zaman abang, kita gagal, kita lihat pula zaman baharu. Aku pasti, muka-muka menteri yang gila betina pasti pucat pabila bertemu Jebat di lorong-lorong, di denai atau di sudut-sudut, di kamar-kamar iaitu tempat yang sesuai untuk mati dan tidak diketahui sesiapa. Mereka pasti tahu, Jebat tentu cerdik. Campakkan mayat mereka ke laut, banyak jerung yang lapar.

TUN TUAH: Abang bimbang Jebat. Kalau engkau ghairah membunuh semata-mata mahu menyucikan Melaka, kelak tiada lagi menteri dalam kerajaan kita, tinggal sultan terkontang-kanting. Keadaan pasti jadi huru-hara.

HANG JEBAT: Itulah tuahnya Jebat. Peluang takkan disia-siakan. Benar, abang Tuah tidak lagi berkuasa tetapi kuasa pada Jebat tidak bermakna apa-apa. Serupa sahaja, di dalam diri ini ialah ruh ialah zat ialah rahsia Allah. Bukankah sama? Di dalam diriku mahupun diri abang? Allah menyuruh kita berbuat baik dan melarang kita melakukan perkara-perkara yang mungkar, yang dimarahi Allah. Kata Allah, hapuskan perkara yang mungkar dengan tanganmu, atau dengan hatimu. Dengan hatimu itu adalah tanda selemah-lemah iman. Jadi, Jebat akan hapuskan yang mungkar dengan tangan kerana iman dalam Jebat setebal batu Gunung Ledang!

TUN TUAH: Benar katamu itu Jebat. Peluang untukmu. Untuk diriku, tahulah aku kendali. Tetapi biasanya, orang sepertiku ini, sultan akan jatuhi hukuman bunuh. Barangkali, esok lusa, adalah rombongan menemuiku.

HANG JEBAT: Apa, bang? Mereka mahu membunuh abang?!!!!!!!! Langkah mayat aku dahulu !!!!!!!

MASUK BENDAHARA

BENDAHARA: Assalamualaikum wth., anak-anakku, Tuah dan Jebat.

JEBAT MELOMPAT MENERKAM DENGAN KERIS TERHUNUS. BENDAHARA KAKU. TUAH BERSEDIA MEMPERTAHANKAN KEDUA-DUANYA.

TUN TUAH: Wa-alaikum salam wth., bapak Bendahara. Jebat!!!!!!!!!!! Awasi pergerakanmu!

HANG JEBAT: Bukankah kehadiran bapak Bendahara membawa khabar abang Tuah akan dibunuh?

BENDAHARA: Benar anakku. Maafkan bapak.

HANG JEBAT: Maaf, bapak, hari ini keris di tanganku ini haus darah. Yang pasti abang Tuah tidak boleh mati!

BENDAHARA: Bapak bersetuju anakku Jebat dan Tuah. Sebab itulah bapak ke merata tempat mencari kalian. Tidak bapak benarkan sesiapa mengekori. Begini, kita bermuzakarah. Yang pasti anakku Tuah tidak akan dijatuhi hukuman bunuh. Tidak! Sekali-kali tidak! Tetapi Tuah, kau wajib bersembunyi. Biar Jebat pulang ke Melaka. Rahsiakan perkara ini. Jangan sebut apa-apa tentang abang Tuahmu ini. Hal ini biar bapak uruskan seluruhnya.

TUN TUAH: Adilkah andai saya dibunuh, bapak?

BENDAHARA: Memanglah tidak adil, malah zalim. Bukankah kita beragama Islam? Fitnah Pateh Karma Wijaya itu haram dipercayai. Sultan mempercayainya bermakna baginda melakukan perbuatan haram, perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah. Sebab itulah bapak berani menentangnya walaupun menentang dalam diam. Jadi, begini, anakku Tuah. Kita ke hulu Melaka hari ini juga dan kita mencari guruku yang tua. Kaupelajari lagi ilmu akhirat di sana. Jebat, pulanglah dan berjanji dengan nama Allah, rahsiakan segala-galanya.

TAMAT