Thursday, December 3, 2009

DEFINISI
BERPUISI
100 PUISI DEFINISI LELAKI
100 PUISI DEFINISI PEREMPUAN
100 PUISI DEFINISI CINTA


RADEN SYAHID


1.
Setiap laki-laki ialah jarum panjang jam
Laju bergerak tak menunggu
Haluannya hanya ke hadapan
Gayanya tak pernah menoleh ke belakang
Dan lagak langkahnya tetap meredah yang menghalang
Kerana panjangnya, ia sosok tubuhnya nyata
Menakutkan kepada sesetengah
Dan di belakangnya, menurut si jarum pendek
Yang barangkali gemuk, maka terkedek-kedek
Tapi ia penentu bagi keduanya, mesejnya masa.

Yang cepat terhenti lazimnya si jarum nan panjang
Matinya tiba-tiba, lumpuh pula si jarum nan pendek
Tak bisa hidup sendiri bagi menentukan waktu
Memberi tahu dunia
Biasanya ia menunggu jarum panjang bangun kembali
Dengan bateri baru
Atau menanti hingga kiamat, betapa sayunya
Kehidupan yang lelah kerana pengembaraan kehidupan
Tak pernah siap.









2.
Setiap laki-laki ialah matahari
Memancar dan menyinari bumi
Ia cepat bekerja, bersungguh-sungguh dan bertenaga
Jujur serta maha berani
Dan tampangnya, maha garang.

Kerana hadirnya ia, dedaunan paling gembira
Sesudah semalaman ditiduri embun dingin
Awal pagi ia sudah menanak nasi
Untuk diri dan keluarga besarnya.

Dan unggas serta haiwan juga riang ria
Terbang bebas nyanyi bernyanyi
Kerana matahari tetap berusaha
Menyihatkan diri mereka.

Juga haiwan yang berasa bernyawa semula
Sesudah dibalut kegelapan hitam malam
Matahari meraikan semangatnya
Hingga bertenaga.

Manusia yang mula mengejar-ngejar masa
Kerana matahari jadi penentu hari
Matahari yang bekerja kepada semua
Tak pernah bersuara, akulah yang melakukannya
Sebaliknya, ia cuma melihat
Dan bisu sebisu-bisunya kerana syarat taqwa.







3.
Setiap laki-laki ialah langit
Tempat tergantungnya bintang-bintang

Langit-selalu dipandang
kerana luas dan lapang
tapi sukar dikawal dan pegang
tatkala damai, ia tenang tenteram
dan melindungi yang di bawahnya
pabila terluka, ia merajuk
hiba hati melihatnya
hilanglah keindahan keperkasaannya
dan tatkala senjakala
warnanya kemerahan
tanda segala tenaganya terkumpul
memberitahu kepada dunia
betapa kuasa memerintah itu sementara

Dan malam – boleh dikira masa langit riang
selebihnya, ia lesu tak bermaya
kerana tunduk kepada Illahi yang sentiasa berkuasa.















4.
Setiap laki-laki ialah cermin
Every man is a mirror
Berkilau
Shining
Tempat perempuan gemari
Spot that women love
Tabiat semula jadi kerap melihat diri.
Naturally or rutin, always look herself.
Kerana cermin
Because a mirror
Ia sukar diduga
Difficult to guess
Bertindak terbalik tapi berkuasa
To act reversely but powerfull
Dan bila-bila masa menguasai dunia
And, any time, control the world
Dunia sesiapa saja.
Anybodys’ world
Cermin mudah memantulkan sinar
Mirror reflects ray easily
Hingga mengelabui mata
Till confusing
Mudah pecah berkecai
Easily, crack dan burst
Kerana pertempuran
Because fighting at war
Jasad berderai – tak pernah serik.
The body …but, never regret.














5.
Setiap laki-laki ialah gunung-ganang
Teguh kukuh dan diam.

Dengan pejalnya batu-batan
Ia sendirian – asyik
Kerana acap diselubungi kabus –
Hidupnya tak banyak berubah
Kerana asyik diulit keindahan.

Paling malang gunung-ganang
Senantiasa diselimuti salju
Putih tapi dingin
Jadilah ia seperti banduan wanita
Hingga bersaranya nyawa.














6.
Setiap laki-laki ialah udara
Tatkala bernafas
Terasa kewujudannya
Tenaga terasa terkumpul
Pabila ia hadir.

Di mana saja mudah baginya
menerobos membolosi
Ruang yang dipenuhi penuh rasa
Tapi kehadirannya di ruang yang sempit
Baunya bertukar – harum atau sebaliknya.

Bau udara mudah dijangkiti
Bau objek yang mesra dengannya
Ia sendiri hilang suara.












7.
Setiap laki-laki ialah pembaris
Penuh angka buat pengukur
Tapi tak pernah berjaya betulkan dunia.

Ia lurus tapi wujud pula
pembaris bengkok
Juga bertanda dan yang melengkung
Juga bertanda
Yang amat digemari perempuan
Si tukang jahit warna kehidupan.

Demikianlah pembaris – dirinya berangka
Ia hodoh – undang-undang membelit dirinya
Hingga kelihatan tiada roh
Ada nafsu tapi berasa malu tapi mahu
Takut kepada ilmu.










8.
Setiap laki-laki ialah harimau
Garang kerana dirinya berbelang
Kerana taringnya panjang
Kerana suaranya bak jeritan perang
Akibatnya – ia sering dijauhi, dibenci
Akhirnya merana kelaparan
Di padang gersang.

Taring yang runcing panjang
Tak pernah berjaya menabur jasa
Kepada sesiapa.

Suara bak halilintar
Hanya alah dek petir
Ia menjerit tapi masih takut pada dentuman
Akhirnya putaran nasib
Spesisnya kian pupus.












9.
Setiap laki-laki ialah bulan
Raja malam – tenang tatkala purnama
Selalu dipuja-puji diserikan bintang-bintang
Lumba-berlumba berkerlipan.

Tatkala bulan dilindungi bayang
Jelas ia kesusahan
Gelap dan suram malam
Tak satu pun membantu
Hanya menunggu bulan pulih
Hanya berdoa – itu pun boleh dibilang jari.

Dan bulan – cahaya tak seberapa
Tapi terangnya menawan hati
Kerana kehadiran dalam kegelapan malam
Langit jadi saksi – sebuah lukisan berseni
Tercipta lagi.














10.
Setiap laki-laki ialah volkano
Di dalamnya tersimpan pembakar
Di luar tampak tenang
Bagai pelindung pengukuh bumi.

Volkano – ada yang lena diselimuti mimpi
Ada yang menunggu waktu
Dan sedikit yang gila muntahkan larva.

Kehadirannya lumrah kehidupan
Melihat manusia
Dan pabila murka
Kepulan asap adalah isyaratnya
Yang arif siapsiaga
Dan ledakan pasti menyusul
Setelah kemurkaannya enggan dipedulikan.

Setelah puas, ia berehat dan sesal
Lama membisu malu
Tapi larvanya jadi lazat
kepada yang memerlukan
kadang-kala menyuburkan
tumbuh-tumbuhan pun cambah
manusia mewah makanan.

Dan volkano
Mengawal kemurkaannya
Adalah suatu seni dan sains tingkah-laku.








11. Setiap laki-laki ialah bunyi
nyata kehadirannya kerana berani
tingkah laku yang kadangkala di luar dunia makna
ia bersuara – jarang merdu
kecuali penyuaranya berilmu.

Dan bunyi menjadi senjata
selalunya melebihi hidup-hidupan yang lain
lebihnya singa kerana tersuaranya bunyi
menakutkan yang lain – lebih pula kuasa
daripada pohon-pohon.

Bunyi halilintar – menggerunkan
dan hujan pun turun selebat-lebatnya
kerana bunyi, jutaan kejadian
terjadi tanpa disangka-sangka.




















12. Setiap laki-laki ialah renungan
yang dilakukan dengan akal
dan objek yang terangkum
cuba menjadi pelaku yang terpuji –
renungan jadi begitu lama.

Dan akibatnya kadangkala
renungan mencair hilang tumpuan
pelaku memperkuda
dunia mula porak peranda asasnya.

Renungan pada yang indah
membuahkan rasa rindu
pabila yang dipilihnya cantik
renungan jadi seperti kaca – keliru diri.















13. Setiap laki-laki ialah guruh
bergema dan mengejutkan suaranya
sesekali
tapi kehadirannya nyata
walau bentuknya hampir tiada.

Kerana ia guruh – selalunya
diikuti petir
dan hujan pun mencurah-curah
bagai tangisan yang amat menyedihkan.

Pabila sempurna kejadian
alam dingin dan menyihatkan
segala-gala tenang serta indah
kehidupan menjadi luas lapang
manusia kembali bertenaga.











14. Setiap laki-laki ialah pagar
ada yang berduri – selebihnya tidak
dan tak kurang berdinding bak tembok.

Tugasnya melindungi
alasan menyelamatkan
tapi kerap terasa – ia melemaskan perasaan
hingga pagar penjara pun boleh dibolosi.

Pagar – tak selamanya menyelamatkan
tak selamanya melindungi
selagi kehadirannya melampau
selagi kuasanya diperbesar-besarkan
dengan keangkuhan
yang disebutnya dilindungi kesusahan perasaan.

Pagar yang sempurna – ciptaan Illahi
bukan laki-laki
tapi janji-janji dan undang-undang Illahi.






15. Setiap laki-laki ialah penunggang
basikal, kuda, unta atau apa saja
nampak berkuasa dan mengaku
pandai serta bertenaga
tapi permulaan dan gaya luaran sahaja.

Biasanya – rasa takut jua
bimbang dijatuhkan – malu dan berbahaya.

Penunggang – lama berada di atas, tiba ketika
ia berasa dikalahkan alamiah
mula kelelahan
dan jika dalam perlumbaan
hanya seorang pemenang – yang lain kekalahan
si juara pun berasa kelelahan
biar pun diri pengsan – namun takut jua ditertawakan.

Dan penunggang – selalunya bernasib malang
yang diraihnya bukan kemenangan
tapi ketakutan – jantung terhenti tiba-tiba
hilanglah pernafasan.

















16. Setiap laki-laki ialah pena dan berus
yang menulis dan melukis
kerana dakwat dan catnya berwarna
lalu terjadi ciptaan
yang dapat dilihat mata
yang mengembirakan perasaan perempuan
tapi menakutkan laki-laki.

Alat tulis dan alat lukis
tugasnya mencipta
selalunya tak mengetahui apa yang diciptanya
tahu-tahu – ia terpaksa bekerja
kerana ciptaannya – ia terpaksa
jika tidak, ia dianggap tidak berguna.














17. Setiap laki-laki ialah senjata api
gayanya berbahaya lagi berkuasa
tapi pelurunya – jika tiada – dayus saja
jika ada – pun terhad – boleh dikira.

Senjata yang berpeluru – berbahaya
terhempas – peluru melantun tiba-tiba
yang jadi mangsa – hidup atau mati
jika hidup – tak lagi takut
andai mati – tiada masa fikir lagi.

Kehadirannya mempercepat kerja
mengubah kehidupan manusia.





















18. Setiap laki-laki ialah universiti
teguh dan berwibawa
berilmu serta dimuliakan.

Manusia yang diasuhnya
biasanya berjaya d dunia
jua cepat yakin diri berada walau di mana.

Ilmunya dirujuk dunia
kerana dirinya selalu disokong ribuan ilmuan
dan kerana ia jadi tumpuan
diraihnya keyakinan keluarda serta kerajaan.

Anak-anak yang diasuhnya
jasa diingati di hujung nama
dan yang membeli namanya sahaja
tanpa rela diasuh – jadilah si gila
jadilah pendusta kepada anak-anaknya.






19. Setiap laki-laki ialah bank
pembekal yang nampak berwibawa
tapi mengurusnya bukanlah mudah
dengan urusannya yang banyak
sebahagian – angkuh
sebahagian – memujuk goda
dalam manis ia berdusta – yang sengsara
adalah yang mempercayai sepenuhnya.

Ia bukannya kukuh – tetap tak stabil
tanpa penyokong – yang jadi hambanya saja
di sinilah ia memperkuda
di sebalik kepercayaan – ia meraih laba
selagi belang dan tembelangnya
tak disedari.

Yang mulia – berdirinya kukuh berani
tak diperkuda sesiapa – ia telus
kehidupannya kerana ilmu dan amalannya
bukan kerana iklan diri.

























20. Setiap laki-laki ialah harimau
garang dan menggerunkan
rupa tubuh dan lagaknya
sebahagian anggotanya dikatakan berguna
akibatnya – tak sedikit pupus ditembak.

Lagaknya kerap yakin bersendirian
mencari rezeki
mencari pasangan hanya tika perlu
bukan sepanjang hari atau malam
kerana ia cepat jemu
kepada keseronokan begitu lama
atau berpanjangan.













21. Setiap laki-laki ialah cpu komputer
yang menghimpunkan segala kekuatan
menyembunyikannya jua dan kerananya
seluruh keluarga ada namanya – bertanda dan berupaya menggerakkan kerja kehidupan – pabila rosak, seluruh kekuatan ghaib sepenuhnya tapi sayang lazimnya – di luar tubuhnya kelihatan kukuh berbentuk
pabila dibuka lapisan luar – lompang dan ruang di mana-mana.
Tak hairan – tak sedikit perempuan tahu rahsia – lalu dipermain sepenuhnya cpu komputer – hingga ia gila segila-gilanya
punah ranah kerana rasa bangga dirinya
laki-laki yang bertenaga.















22. Setiap laki-laki ialah gam
melekit dan melekatkan. Aneh kejadiannya
tapi itulah rahsia
yang daripadanya puas difikirkan
mencari alasan mengapa ia melekatkan
dan begitu pekat seperti madu
yang diceritakan dalam Qur’an
begitu berbau
seperti tanah yang dijelaskan
pada kejadian Adam.

Laki-laki seperti selalunya ia dipandang jijik
pada rupa dan sifatnya
tapi yang melekatkan itulah menyebabkan ia
diingati.















23. Setiap laki-laki ialah empangan
direntangnya sungai yang mengalirkan air
lalu melimpah – tapi rentangan menerbitkan kuasa yang berganda-ganda ajaibnya.

Tiap kali diempang – kuasa yang kecil dan merata bersatu segera lalu tercipta kuasa
ghaib ajaib yang menghalimunankan perasaan – perempuan pasti kehairanan
sampai kiamat – tiap kali memikirkan kuasa
laki-laki yang ghaib ajaib
menghidupkan dan mematikan.


























24. Setiap laki-laki ialah teko
indah bentuknya dan pencipta dalam rahsia
tahu fungsi setiap bahagian.

Tiap kali ia menjalankan tugasnya jika diperlukan – pasti kepuasan yang tersaji dan yang dirasakan – asal jangan ia yang memaksakan tugasnya – segalanya kehancuran dan memalukan.










25. Setiap laki-laki ialah angka
dikira dicongak
akhirnya dijumlahkan
untuk nilainya.

Kerana angka, ia tersendiri
yang kecil mudah membesar tiba-tiba
dan sukar dikawal
kecuali dengan akal.

Pabila diperlukan – angka nampak bersahaja
tak tahu diri berharga.
dalam urus niaga – ia tak dipeduli
kecuali pabila berlaba ganda.

Nasibnya sampai bila-bila sama saja
selalu jadi hamba pasangannya
- yang selalu meminta.

















26. Setiap laki-laki ialah noktah
berhenti pabila sangat penat – terpaksa kerana undang-undang alam dan tiada lagi tenaga batin dan lahir – yang tersenyum dan hulur tangan kepadanya. Noktah – pemilik kuasa veto segala aksara dan tatabahasa – jua patuh kepada gramatisnya sintaksis.

Tak pernah cuba ia melanggar undang-undang sintaksis – kecuali pabila pengisinya gila menunjuk-nunjuk pandainya diri – langsung punah-ranah kemanusiaan.

















27. Setiap laki-laki ialah bahtera berapungan di laut dan belayar dibawanya mengembara – melihat alam.

Kerap dilabung gelombang teroleng – bijak nakhodanya selamat – yang tidak – karam ditelan kehidupan.

Bahtera – selalunya dipakai untuk mengubah kehidupan itu pun bahtera kukuh jaya lakukan
cuma sedikit
kerana kekuatan fizikal bukan jaminan – sebaliknya – ilmu agama dan akademik yang tinggi.



























28. Setiap laki-laki ialah air terjun menderu bunyinya amat bertenaga terjun dan mengalirkan kuasanya bagai tak habis tenaga.

Alirannya jujur, suci dan indah yang hidup di sekitarnya tampak risau – kalau-kalau air melimpah habis dimusnahkannya.

Tibanya waktu kemarau tak sedikit air terjun di dunia menikus lakunya halus airnya –mengalir pun asal ada tatkala itu ia hilang wibawa – katalah apa saja – ia tetap tunduk kekalahan.











29. Setiap laki-laki ialah jam – menjadi penanda masa – baik yang memerlukan atau tidak ia tetap bergerak.

Ia dilahirkan jadi petunjuk yang gerak-bergerak dan sifat itulah yang menjadi ibu sawatnya – yang menjadi rujukan kepada kuasanya.

Sebagai penghias, kata dinding bukan kerana reka bentuknya tapi alat yang gerak-bergerak hayun-berhayun mahupun jarum.

Bagi yang bersuara – gemanya menyedarkan yang leka dan yang tidur – locengnya mengejutkan.
























30. Setiap laki-laki ialah bom kehadirannya menakutkan kepada yang mengetahui.

Rupanya tak seberapa andai saiznya kecil letupannya juga melucukan tapi pabila saiznya torpedo – jangan ditertawakan ia meluncur saja – semuanya ke tepi dan pabila meletup – ia memusnahkan ranap lengkap – termasuk dirinya
Yang tinggal – rangka.













31. Setiap laki-laki ialah kota memagari kukuh berada bersamanya berasa selamat tapi itulah saja daerahnya terasa juga terkongkong-terkurung.

Tanyalah sesiapa saja kota bukannya ideal batu-batu pejal tak bermakna bahagia mengurung bukannya kehidupan tapi kematian.

Berada di dalam kota yang kukuh sebenarnya angkuh
manusia mudah jadi haiwan – ikut haiwan pasti kehilangan perasaan.


















32. Setiap laki-laki ialah kapal terbang dibawanya terbang yang percaya kepadanya ke angkasa tinggi dan bergaya – ramai yang berbangga.

Tatkala di angkasa ia mengikut trek dan yang dibawa bersamanya selalu lupa akan pembawa - kehidupan menjadi sunyi walaupun dirinya besar lagi bertenaga – siapa yang peduli kerana kata mereka itulah tanggungjawabnya bukan untuk dikenang atau hargai.

Kehidupannya jadi semakin sunyi tangisan tak pasti kelihatan.



















33. Setiap laki-laki ialah gajah – besar, teguh dan berbelalai – sayang, matanya mengecil.

Sifatnya garang dan menyayangi keluarga – lembut serta sopan – tapi pabila bersendirian – amukannya menggila. Baqi sesetengah makhluk – gading gajah amatlah ajaib – tajam, runcing dan berkilat – manakala belalainya – waktu kecil – pendek – pabila dewasa – nah panjangnya menakutkan – tapi diri sendiri berbangga kerana panjangnya – baginya lambang kuasa.

Jarang gajah sedari hebatnya diri – diikat di kaki – ditambat di tiang kecil – ia tak upaya mencabutnya – dan gajah – mudah tergoda pada keindahan – mudah asyik lalu diri sengsara.

Namun, ia tahu kawasan pusara dan kematiannya bertempat – sopan caranya – ia tahu harga diri walau saat akhir hayatnya.












34. Setiap laki-laki ialah apartmen tinggi mahu menjulang awan tegak berdiri jelas bentuk tubuhnya perkasa atau setidak-tidaknya jelas kelihatan.

Berada bersamanya berasa yakin di luar bagaikan tiada kecemasan kewujudan dirinya bagaikan terhina sendiri.

Angin yang kencang bertiup diri mahu menampan penghuni masih mampu lena diulit mimpi – taufan melanda – ia bergegar sesekali – wujud keresahan dan ada tanda egonya separuh hilang.

Terjadi gempa bumi – diri bergoncangan ego yang berbaki hilang terus dan ia mula menyedari kehadiran diri yang menjauhi Illahi adalah amat lemah – terdedah kepada bahaya – bila-bila masa.












35. Setiap laki-laki ialah warna yang memenuhi ruang wajah wanita yang dinikahi atau dikahwininya warna terang atau gelap nyata ketara pabila pasangan setia atau durhaka.

Tindakan yang terjelma berdasarkan warna yang diberikan dan warna yang memenuhi diri pasangan adalah pembangkit tenaga kehidupan – terseksa atau bahagia saksinya – pentas dunia.





























36. Setiap laki-laki ialah keringat rupa sebenarnya – nyata dan jujur terperah daripada kelakiannya pabila jasad dipulas sepenuhnya atau rasa hati dicekik kemas.

Yang mengalir jernih berkilauan cahaya pabila dipancar matahari dan sesudah diseksa kering dihisap tuala kehadirannya tiada lagi bukti kecuali kesannya – kulit jasad cerah dan bahagia hati – puas dan percaya kepada kejayaan.
















37. Setiap laki-laki ialah mata yang memerhati alam dan dunia yang celik memerhati menangkap objek tanpa mengira rupa.

Kerana terlalu lama melihat sukar baginya mengingati apa-apa kecuali yang selalu di depan – itu pun lambat-laun jadi pudar kerana kesibukannya terbuka.

Rabun ialah penyakit yang tiba sesudah keletihan berganda kecuali ada rasa baru pada pandangan yang kerap memenuhi ruang dan menawannya dengan senyuman.

















38. Setiap laki-laki ialah sebilah pedang tajam jadi senjata yang menakutkan si lemah yang dibawa beradu di medan perjuangan tetapi ada waktunya ia disimpan menjadi lambang kekuatan menjadi kenang-kenangan perjuangan dan keagungan masa lalu.

Ia tak berguna apa-apa jika tidak bekerja – apa lagi tidak berjasa.

Indah bentuknya dan tajam matanya pun tidak menjanjikan apa-apa selagi tiada bukti baktinya kepada agama, bangsa dan negara.



















39. Setiap laki-laki ialah cahaya matahari yang memancari garang dan hangat siang jadi terang tengah hari jadi terbakar.

Kerana dingin awal pagi ia menyedarkan pohon-pohon dan haiwan untuk hidup berjuang selagi siang terang dan berehat pulang pabila petang menjelang.

Dengan nasib dirinya dinyatakan cerita tentang alam akhir masa – tiba ketika sehebat mana diri pasti serah diri kepada Illahi.






















40. Setiap laki-laki ialah tulang-belulang jadi kerangka kekuatan segala tubuh.

Sebagai sandaran kepada kelembutan jasadiah keras, kukuh dan bersendi enggan dilentur tapi menurut pabila tentu haluannya.

Ia disifatkan sebagai penampan penahan tendangan dan sepakan kesusahan andai kata patah – kalah musnah kesemua yang berpaut kepadanya.



















41. Setiap laki-laki ialah urat dan nadi jadi penyalur darah yang mesti ngalir jadi pembalut kepada darah yang hidup jadi pelindung dan penyelamat.

Jelas rupa dan bentuknya tetapi jasadnya selalu dilupakan kerana kehadirannya terlalu biasa hingga hilang keistimewaannya.
































42. Setiap laki-laki ialah dinding tempat bersandar kerana tegak, kukuh dan lebar sfatnya mendatar dan berbentuk sandaran – jarang yang diberi bersuara – apa lagi berkata-kata.

Senyap baginya kadang-kala bahagia namun selalunya – menderita bukannya mudah jadi dinding penyandar apa lagi andai yang bersandar lupa diri.












43. Setiap laki-laki ialah gasing bentuknya khusus untuk berpusing pastinya bermula ligat dan kerana asyik diri ia terpisah daripada dunia luas.

Putaran ligat diri adalah aksi semula jadi akhirnya pabila terhenti ia terkulai mati kehebatan diri hilang keangkuhan lenyap hilang diri – gelanggang jadi sunyi sepi.





























44. Setiap laki-laki ialah lantai tempat berpijak tatkala mahu berdiri jadi pengalas tubuh pabila berbaring atau meniarap.

Ia rata atau diam tapi perkasa dari jauh kelihatan indah didekati – keindahan hilang di celah mimpi dan rasa.

Lantai – sentiasa bersedia sepanjang hayat.
















45. Setiap laki-laki ialah gelanggang lokasi peraduan dan pertarungan sifatnya mengikut keadaan perlukan keganasan, ia ganas dan bukan pertandingan – ia mesra gelanggang – tempat kematian – dirinya atau diri yang lain.







































46. Setiap laki-laki ialah serdadu tenaganya – keberaniannya – kesanggupannya diperlukan untuk penguasa – yang tidak memiliki ketiga-tiganya.

Serdadu dikerah, bukan dipujuk atau dididik serdadu – malang nasibmu sejak dulu puji-pujian Cuma permainan bahasa kerana kalian pejuang bangsa serta negara lalu seringkali jadi lembu- sapi tapi pabila jadi pejuang fisabillah – kalian suci bak tentera Badar.

Dan serdadu – selalunya gopoh dungu.








47. Setiap laki-laki ialah akar tunjang jadi teras sepohon pokok teguh ia panjang menjulur meneroka jasad bumi dalam diam.

Dalam diam ia tegakkan dinasti mencabangkan diri ke sekeliling agar pohonan yang jadi panji-panji tak tumbang menyembah bumi.

Terpandang ke arahnya tiada hati tak kata sasa merenung dan mengkaji kejadiannya tiada akal tak kata berjasa dan ia tetap diam berkata-kata – bahaya – ujub diri.






























48. Setiap laki-laki ialah roket diperkuat tugas utamanya mengangkat dan menuju ke atas gagah dan mengagumkan takjub dan menghairankan bagaimana dapat ditembusinya langit yang lembut tapi amat mencerewetkan.

Hanya dia yang tahu betapa langit tak pernah stabil sukar dipegang kata-kata amat menyintai dunia malah memayungi membelakangkan akhirat.

Dan roket, menembusi tabir dunia permulaan mencari erti akhirat.














49. Setiap laki-laki ialah sebuah pulau muncul di tengah-tengah lautan air yang sememangnya cair.

Kewujudannya berdialog dengan air ia mesra dan jenakanya nyata dengan langit ia selalu nyatakan perjuangan ungtuk timbul nyatakan diri – seringkali dihakis air mengecil atau menambak lalu membesar.

Dan pulau, indah bentuknya tatkala dinihari dan senjakala tapi kehidupannya jika dikaji menitiskan air mata pemikir tulen.



















50. Setiap laki-laki ialah kereta perisai nampak teguh kukuh tapi di luar kerana besinya didakwa empat batang kursani tapi majoriti sebenarnya cuma sebatang.

Kerana ia kereta tentera – rupanya macam siapsiaga untuk berlaga – dalamnya rongga.

Ada yang berantai dan ada pula beroda. Berantai tampak kukuh tapi boyak dan dungu. Yang beroda seringkali laju – biasanya lari pabila musuh menunggu.























51. Setiap laki-laki ialah tedung selar
melingkar jarang, selalunya menjalar
dan kerana asuhan ibu bapanya ia
selalu percaya kerana spesies, automatis
ia perkasa – kerana itulah tak sedikit ia melawan apa yang jadi halangan.

Tak sedikit tewas kerana diri yang wujud cuma perkasa tapi amat sedikit ilmu di dada
dan kerana kononnya garang lagi pantas – cuma percaya ada pada diri, spesiesnya makin kurang di atas bumi
Kerana semakin cepat dan banyak di dalam bumi.














52. Setiap laki-laki ialah kayu golf
kukuh bentuknya dan tak sedikit manusia menggemarinya kerana gengsi.

Ia bekerja dan memasukkan bola ke dalam lubang – berkali-kali serta berhari-hari.

Ia tahan uji kerana tulang-belulangnya berisi besi khursani sejati. Sesiapa yang memilikinya – pasti dihormati jika tidak cuba disudi – menguji sedalam mana ilmu yang dimiliki.

Agak aneh, kerana bentuk aslinya kurus lagi panjang – maka selain bentuk begini – bukan lagi laki-laki. Bentuk yang terpilih – waktu tengah hari – dipancar sinar kepada dirinya, wah, refleksinya menakjubkan – pemiliknya tersenyum bangga berjam-jam lamanya.

Menggunakannya tak ramai yang pandai lagi bijaksana. Bukan hanya menghayun – sebaliknya ada seni – yang keindahannya melazatkan perasaan.






53. Setiap laki-laki ialah keris – tajam, panjang atau pendek yang kerjanya menikam. Ia jadi pengeras semangat dan bentuknya teramat indah lagi menawan – tak terfikir dek akal tapi usah lupa – setiap sudutnya bernama.

Keris jadi rasa kehidupan – memegangnya, aduh, meningkat perasaan si pemegang – bersemangat – dunia ini serta-merta dirasai jadi miliknya.

Pelbagai nama diberi – aduhai keris bentuknya sebegitu rupa pasti maha bisa menakutkan sesiapa saja – masing-masing mampu saja mengimaginasi bagaimana ia meradak menikam – cara ia masuk-keluar
wah! Penciptanya pasti sudah menduga.



















54. Setiap laki-laki ialah puing atau menara – tinggi kurus lagi kaku. Disiang angin walau kukuh tetap terhakis waima sebutir pasir dan simen. Lalu, usianya mudah mengurang. Tak seperti kota yang sifatnya melebar dan mendakap dada bumi.

Puing-puing Hercules di Mesir kian hilang ditelan laut. Demikian jua di Athens tapi tidak Coliseum dan kota-kota purba atau gua-gua.

Kasihan, kerana ia puing, cara ia berdiri – hidup menegak lalu kerana itulah tak semua tahan dek cuaca – tak semua berjaya menahan deru angin.

Puing – membanggakan ramai pemerhati tapi semuanya tak mampu membantu pabila ia goyah hampir rebah. Yang berlalu tiap masa – ia rebah sendirian – sendirian pasti.








55. Setiap laki-laki ialah menara
Berada bersamanya, kita dapat melihat luasnya dunia, kuatnya gelombang, hangatnya api, dinginnya ais dan perkasanya taufan.

Ia terdiri – kelihatan angkuh tapi bila didekati dan dihormati, ia mula belajar ada hidupan lain yang lebih beradab. Lalu, ia mahu membantu.

Kerana terlalu tegak – ia mudah tertipu dan angin pun saban saat menendang dirinya saban saat pula kumin-kumin dirinya kian tanggal hingga ia kian kurus sebagai penyebab tersembam ke bumi suatu hari nanti.

Siapa peduli kepada menara yang tegaknya kerana mahu hidup. Siapa yang merebahkan menara jika tidak pasangannya – si kota. Menara – tak pernah terima simpati asli atas nasib malang diri daripada pasangan – kecuali pura-pura. Pura-pura, aduhai nasib diri. Alam selalu mengelirukan si kota yang tamak akan permukaan dunia.



















56. Setiap laki-laki ialah jari telunjuk
sifatnya menunjukkan kebenaran dan ke arah hadapan. Bukan dirinya andai yang ditunjuk salah haluan – kecelakaan. Kerana Illahi jadikan laki-laki penunjuk kebenaran.

Adam yang kesilapan kerana kejadian Hawa dan di bumi ini, jari telunjuk yang diciptakan bersama manusia berusaha wujud diri jadi penunjuk kebenaran.

Telunjuk – andai lemahnya diri, Hawa atau anak jadi kelingking berkait – akal punah-ranah dan diri pasti malu sendiri.









57. Setiap laki-laki ialah lampu hijau. Kerananya – laluan sentiasa ke hadapan Objek-objek yang hidup pasti sentiasa selesa. Berkelip sahaja cahaya hijau – kehidupan berputar. Cita-cita kian menjadi dan yang merasainya pasti menyenangi akan dunia yang diciptakan.

Lampu hijau yang mengisyaratkan kehidupan yang dilalui mesti diteruskan. Dan makmurkan alam ini, kata Illahi, usah sama sekali memusnahkan sebarang benda, sebarang perkara. Itu janji sampai mati.

Masa kini – lampu hijau bukan lagi bergilir
kepada anak-anak yang bukan anak manusia tapi iblis – lampu merah diwarnainya hijau. Dan kuning, dilihatnya paling hijau lalu laluan pun jadi mulut gua yang ternganga menuju ke neraka.















58. Setiap laki-laki ialah tualang
tinggi menjulang pucuknya ke awan gemawan
dan batangnya berkulit licin membalut dagingnya yang pejal.

Kerana tumbuhnya di belantara raya
sepohon di sini dan jauh di sana sepohon lagi maka ia jadi ketua – dilantik rasmi atau diketuai di dalam hati yang berada di sekelilingnya.

Tualang – lebah yang bersarang di dirinya mampu kutip tiga ribu madu bunga dan jadi bukti ia pelindung sebahagian maya. Dan tualang, kerana tinggi, tua dan kesepiannya sepanjang hayat – ia sering sayu.

Sesayu wajah Nabi Isa.














59. Setiap laki-laki ialah otak Berada di atas dan pengumpul fakta logik serta analisis. Bukan perasaan.

Ingatan bawah sedarnya menakjubkan. Di dalamnya padat maklumat. Kerana kewujudannya, tak sedikit kehidupan jadi bahagia dan arak serta candu dicipta musuh lalu mengelabui otak.

Kerana diciptakan amat sensitif, ia dilindungi tengkorak dan itulah semangat yang tentunya amat kental.

Akal yang lahir daripadanya mengubah kehidupan. Berubah-ubah dan beraneka rupa. Ilmu yang menajamkan akal adalah makanan yang bertaburan di merata-rata.














60. Setiap laki-laki ialah tulang kerangka. Lengkap dengan sendi. Dan tulang – teguh kukuh tempat terbalutnya daging yang menumpang teduh.

Kerangka membentuk
Kerana keras – ia hati-hati, bimbang dilagakan besi bukan pada waktunya mudah jelas ia patah tewas, sedangkan kehidupan belum pun jauh diredahnya.

Sifatnya diam hingga yang melihatnya berkata-kata. Baik dengan mata mahupun dengan suara.

Memilihnya jadi pasangan tentukan kerangka yang kukuh lagi teguh. Memilih yang tak sepatutnya bengkok, kita hanya sua nyawa kepada Azzazil.
















61. Setiap laki-laki ialah saraf. Ia penguat yang diperlukan. Tenaga yang dialirkan bukanlah sia-sia, sebaliknya, jadi sesuatu, paling tidak, kehidupan, atau, kepuasan – menghilangkan rasa penat kerana bernafas.

Kerana saraf, yang di sekeliling, menghormati kerana kewujudannya alam jadi ganjil, hidup-hidupan jadi unik. Memegangnya, mustahil. Mengekangnya, jua mustahil. Andai berjaya jua pada sebahagian daripadanya, merugikan semua pihak, bukan setakat pasangan, malah dunia.

Dan saraf, kewujudannya jadi nadi.




















62. Setiap laki-laki ialah kamera. Kerana sifatnya, ia perakam atau observen. Menerusi jendela akalnya, ia melihat objek dan diajar Allah memilih yang terindah.

Ia boleh diajak meneroka arah dan dirakamnya dalam diam. Diajak ke lembah kejahatan, ia diam tapi hati-hati, ada kesempatan, ia merakam bukti.

Jarang yang menyedari, ia jujur lagi amanah sepanjang hayat. Namun, sifat-sifat itulah, kerana terlalu asli, ia kurang dipedulikan.

Diajar kreatif, objek yang terhasil daripadanya, hidup dan berseni. Di tangan si dungu, kuku besi permaisuri, ia membisu, sunyikan diri.












63. Setiap laki-laki ialah si buah khuldi. Jelas bentuknya. Kerana kehadiran, ia menggaraukan suara, lantas, pemerhati berasa kehadirannya membanggakan kerana kegarangan yang menggerunkan.

Kerana kehadirannya, Hawa terpukau lalu salah guna akibat terpedaya lantas malu seumur hidup. Dan, kehadirannya, kelakian jelma diri, mujur, tidak mengaibkan.



























64. Setiap laki-laki ialah si gigi taring. Ia runcing dan kelihatan boleh memusnahkan. Kerana sifatnya itulah, ia diguna pakai untuk mengoyakkan. Kerana kehadirannya, harimau, singa, dubuk dan serigala tidak kebuluran.

Tajamnya menikam. Andai tidak bersih, kelihatan amat jijik dan tak berguna apa-apa dalam percakapan. Pabila darah yang terpalit dibersihkan, ia kelihatan perkasa. Tapi, masih nyata kegerunan kerana kehadirannya.















65. Setiap laki-laki ialah tjanting. Ia tahan diri menanggung kepanasan. Ia terus membantu mencairkan lilin. Dan, di muncungnya, mengalir cecair yang mencipta corak, reka bentuk yang teramat indah.

Walau unik bentuknya, kain putih sutera atau kapas tak pernah peduli. Yang diketahui, dibiari diri, lalu tjanting terus melakari ciptaan semahu-mahunya.

Sudahnya, pabila batik kian menjadi, seterusnya diniagakan, dipuja-puji, tjanting tak pernah dipeduli, tergolek buruk sendiri berpalit diri hodoh kaku dengan lilin yang beku.





















66. Setiap laki-laki ialah lembing. Tajam dan panjang. Kepada perejam, ia senjata atau alat paling bagus kerana diri dan lebih utama, kerjanya yang menakjubkan.

Kepada pengawal pintu, ia cuma jadi perhiasan paling dungu pernah dilahirkan ke dunia.

Lembing, era Spartacus, ia jadikan hamba pembela dan penggilap iman manusia hingga ternama. Sifatnya, mata dan batang, sepadu pada keadaan biasa, tapi tatkala perlu, matanya sahaja menakutkan musuh manusia.
















67. Setiap laki-laki ialah markas tentera. Di situ terkumpulnya semua senjata, kesudahannya, pabila perlu, terkumpulnya semua kekuatan untuk mencipta ketakutan kepada musuh yang diwujudkan.

Kadangkala, terjadi jua lucu kerana jenderal amat dungu. Markas jadi kandang babi – di situ dikumpulnya ibu najis. Kuasa membeli senjata negara jadi milik peribadi. (Seperti di Aceh sebelum 26 Disember 2004, era ‘tsunami’).

Markas jadi haru-biru – ura-ura negaraku mahu diserang musuh, kereta perisai untuk negara bersalju diperonda.


























68. Setiap laki-laki ialah gurun. Sekali pandang, luasnya saujana mata memandang. Memandang lama, kelihatan wap panas mengapung-apungkan diri. Debu bercempera menakutkan.

Bentuk muka dan dadanya gersang. Melemaskan, tapi pabila diajak ngembara dalam alamnya, baru disedari kehidupan sejati.
















69. Setiap laki-laki ialah misai. Kewujudannya memberangsangkan, mengilhamkan.

Hitam berkilat atau putih, ia tetap mengindahkan pemandangan. Latarnya jadi ria, wujud cahaya di sini-sana.

Camkan sifat hidupnya, ia bersemangat setiap saat. Selalu bersamanya, diri berasa dihargai. Keindahan wujud sifatnya globalisasi.

Ketiadaannya, tampak bersih kerana licin – usah dipercayai kerana sebarang keputusan atau idea – kebudak-budakan, jika tidak keperempuanan.

















70. Setiap laki-laki ialah serigala. Tidaklah garang tapi berani – sentiasa. Seorang atau berkawanan. Mendekati si lemah yang boleh ditawan.

Lagaknya nyata amat segera – ke mana-mana sahaja asal keadaannya masih bernama bumi – tinggi rendah, tak dipeduli. Atas nama kehidupan.

Yang diperlukan daripadanya – pengawal dan kesetiaan kepada pemilik. Selebihnya, perlu dirujuk Khitmir, yang tidur bersama tujuh wali di gua.























71. Setiap laki-laki ialah pasak. Ia menjadi pengukuh binaan. Dan jadi baji agar permukaan kehidupan makhluk yang berliang terpelihara barangkali.

Kerana pasak sifatnya maka kerasnya bak kursani. Tiada yang menandinginya atas sifat baru. Dan kerana bentuknya begitu, taj dan tirus maka ia tak pernah undur kecuali binasa Maka, bagi yang terpedaya, ia mudah lupa diri.



















72. Setiap laki-laki ialah si jerung. Bentuknya saja terang-terang garang, lincah dan gagah. Bulat padu tubuhnya dengan muncung panjang dan taring yang runcing, disertai gigi bergerigi, tajam mampu menikam dan memotong ‘makanan’ yang melawan. Daripada gaya hidupnya, ia tak pernah gerun kepada sesiapa. Dalam masa menyerang – serangan awalnya sering membabi-buta. Tak hairan andai kata kepada lawannya yang bijaksana, ia kecundangan.

Jerung – siripnya digilai pemimpi gila babi. Yang dicari zat yang dicipta angan-angan sendiri. Dan, spesiesnya kian kurang kini. Tak siapa peduli, termasuk dirinya. Bilangan yang kian kurang tiap hari, tiada usaha pula menambahnya. Yang asyik – mengurangkan kualiti diri.










73. Setiap laki-laki ialah peninju. Pertarungan bergelanggang – berperaturan dan yang mahu menyaksinya bukan sembarangan – melainkan yang meminati perjuangan dalam kehidupan yang penuh cabaran.

Peninju keletihan – terkinja-kinja di pentas pencarian makanan – bila-bila masa saja boleh rebah, tapi itulah nasib diri pabila tercipta diri dalam spesies yang ditentukan – kehidupan pancaroba – penuh pertandingan dan yang menontonnya asyik, gerun, kasihan serta bersemangat – menyokong demi kemenangan – bukan sepenuhnya untuk yang ditonton - tapi psikologinya untuk diri sepenuhnya.

Peninju – menang atau kalah – keadaannya sama – sakit dan cedera tiap saat kerana bukannya mudah kehidupan kelakian yang ditentukan tercerna. Sejarah yang tertulis untuk dirinya yang sejati, nur tulisannya.














74. Setiap laki-laki ialah fajar menyinsing. Dalam kegelapan maha luas langit – tajam sekilas ia tunjuk diri – permulaan kehadiran. Pasti makhluk lain tergamam dan terfikir-fikir, apakah gerangan yang hadir mengisi ruang.

Fajar tajamnya terang tugasnya menikam kegelapan. Dan kehadirannya untuk memastikan gerakan serta kehidupan. Dan tiba waktu yang ditentukan Illahi – ia hadir dalam urat dan salurnadi kegelapan yang cukup tidurnya lalu sedia diri jaga – ia menebarkan cahaya ke seluruh anggota kegelapan – dan cahaya pun bangkit serentak – terang alam.

Dan kerana fajar hadir – semua makhluk yang waras bersedia untuk menghidupkan alam maya.















75. Setiap laki-laki ialah meriam. Dalam peperangan – ia jadi kepala senjata dan kerana kehadirannya, makhluk yang lain menumpang berani kerana kononnya ia bertenaga luar biasa lantaran bentuk tubuhnya mengandungi peluru yang luar biasa kuasanya.

Meriam – hingga kini bentuknya dipinjamkan untuk kereta kebal juga untuk kapal terbang dan kapal laut.

Diteliti dengan kaca mata seni lukis – bentuknya nyata mati. Tapi, itulah. Di sebalik bentuknya yang kaku, kerana usahanya beribu lagi berjuta hidup di dunia.




























76. Setiap laki-laki ialah belalang. Dengan kaki panjang di belakang, berada di padang yang lengkap dengan lalang ia melompat dan terbang untuk menyambung nafas kehidupan.

Si belalang – sesekali menyerang sebuah padang luas sebenua ranap habis tumbuh-tumbuhan berupa makanan. Nyata, cara makannya cepat tangkas dan lahap. Jangan dicabar – dengan jentera berkomputer masa kini pun belalang pasti menang.









77. Setiap laki-laki ialah si helang. Garang matanya tajam. Dan kuku kakinya runcing untuk mencengkam menikam. Pabila terbang melayang-layah di angkasa raya – ia menyusun cara – serangan dan kehadirannya jarang berkumpulan kerana dengan sendiri tampil rasa yakin diri berada dalam lautan udara dan angkasa.

Dengan rasa amat yakin – kepak yang didepangkan terasa diri perkasa dan besar lalu lupa mangsa yang dicarinya biasanya kecil dan cepat – menyelinap lalu si helang yang menjunam hampa – lapar dan lelah, tertipu dek diri yang selalu dirasakan perkasa.

Helang – dengan paruh bengkok dan jahat sifatnya, ia semakin pupus di alam ini. Siapa yang peduli? Helang sendiri pun tak sedar diri.





















78. Setiap laki-laki ialah tukul yang diberi sifat menghentak kerana bentuknya keras membesi lagi padu. Tak semua menghormatinya kerana ia bisu dan dungu pabila tak bekerja dan tak berjasa.

Pabila bekerja, nyata kesungguhannya. Paku dan kayu rapat serta padat.



















79. Setiap laki-laki ialah unta. Panjang anggotanya untuk mengembara. Belakangnya berbonggol berisi air bekalan semula jadi. Dengan tubuh yang terbina – kering dan kukuh, mukanya yang bukannya mulut murai tapi berfikir – ia merenung alam yang biasanya berpasir debu serta bahang panasnya menerpa lalu menggigit tak berhenti.

Unta diperlukan tatkala panas padang pasir yang dilengkapi debu menerpa nyawa.

Berada di atasnya, ia bawa bebanannya dengan sabar, teramat sabar. Berbeza dengan yang lain kerana sabarnya – selalu ia sedar akan tanggung jawab dirinya dan bebanan yang dibawanya. Marahlah kepadanya – ia tak pernah peduli kerana ia amat mengetahui si pemarah bukannya ngerti apa-apa – diri sendiri, keadaan mahupun diri yang dimarahi – baginya, selagi ia membisu, tak disakiti si pemarah – tapi pabila cukup hadnya, ia menghamburkan tentangan – hancurlah lawannya dalam sekelip mata.















80. Setiap laki-laki ialah si kobra. Ia peraga diri setiap masa setiap kali mengembara pabila ia tahu kawasan yang dilalui ada hidup-hidupan lain. Dengan desis bukti ia berani melawan. Diangkatnya diri tinggi kepala dan dada. Dengan lidah yang bercabang, ia menakut-nakutkan lawannya. Kepada yang memahami sifat bercabangnya lidah, si kobra dirempuhnya segera hingga kacau-bilau jadinya – tak tersembur, tak terbelit dan tak terpatuk.

Kobra – yang menjalar panjang dan berdiri tingginya paras dada diri kadang-kala mengejutkan.


















81. Setiap laki-laki ialah dupa. Ia menampung bara yang merah menyala. Asap berkepulan bau bercempera keharuman dan ruang pernafasan pun jadi indah
membahagiakan.






















82. Setiap laki-laki ialah gincu. Diperlukan dan dicipta untuk mereka. Ia tidak berlagak apa-apa kerana rupanya pun disedari, dihayati dan diperlukan mereka. Siapa percaya ia tercipta sedemikian warna – pelbagai tapi bentuknya tak berubah tetap yang itu, itu jua kerana semula jadi itu adalah yang terbaik.

Pabila disentuh, ia diam. Pabila dipaksa bekerja, ia setia kerana percaya benar-benar diri diperlukan.

Kerana dirinya dengan warna yang dipilih, bibir jadi hidup bercahaya jua bermaya.























83. Setiap laki-laki ialah treler. Muatannya memanjang dan haluannya ke hadapan. Dibawanya tanggungan tanpa rungutan. Pabila ia ke hadapan, lurus dan laju mencari haluan kerana baginya masa yang ditunggu nyata merugikan nyawa. Dan, ketika di perjalanan kehidupan, ia bukannya calang-calang – keperkasaannya nyata.

Jika tidak disalah guna, ia berjasa – membawa muatan yang bebannya luar biasa tanpa rungutan.

Dan, usah biar diri dilanggarnya – jika dungu dan digilis – andai tidak bercempera – tentu berkecaian – jadi dungu. Kepada yang lagi dungu, treler ditunggang sepenuh jiwa – dan dunia jadi haru-biru kerana haluannya tak ke mana dan tidak bertenaga.






















84. Setiap laki-laki ialah terowong – rahsia dan menakutkan. Memasukinya perlu melangkah hati-hati dan sebelum itu, tabiat memeriksa – bahaya, boleh dipercaya atau perangkap nyawa amat perlu.

Kerana sifatnya sedemikian rupa – berahsia dan sunyi – maka ia sentiasa begitu. Hiaslah apa pun, sifat asal kejadiannya tetap sunyi dan gelap.












85. Setiap laki-laki ialah joran – panjang, bertali dan berumpan. Fungsinya menggoda dan meragut mangsa dengan kasar.

Yang dulu, umpannya memang makanan. Kini, nyata tiruan, maksudnya penipuan. Mangsa yang kini terlalu kurang ilmu agama hingga tamak lagi haloba – tak hairan kaya-raya, ternama, berjawatan tinggi tapi tak berilmu – akhirnya tertipu.

Joran – sifatnya.


























86. Setiap laki-laki ialah pembaris yang lurus yang berskil – gunanya tentu dan kepada penjahit, ia amat berguna. Kepada pelajar matematik dan fizik, gunanya untuk mencerna ilmu.

Kerana sifatnya yang lurus ia jadi ketua walau di mana pun – alam barzakh, dunia mahupun alam pengadilan.


















87. Setiap laki-laki ialah urat daun. Jelas rupanya dan mata yang melihat diisyaratkan kehadirannya. Nyata ia jadi tulang utama keluarga atau objek yang berkumpul – yang mahu menumpang kehadirannya kerana sifat kejadian.

Ia kurang menyedari diri diperhati sejak kewujudan dan di tepi atau birai diri, penuh klorofil bernaung memasak makanan untuk kesemua. Ia memerhati perilaku semula jadi.

Sifatnya lurus dan tak pernah atas kehendak dirinya membengkok – kecuali patah, putus dan punah. Ia jadi bengkok kerana dipaksakan atau dikalahkan. Dalam keadaan biasa, atau semula jadi, ia tahan uji. Lembar daun jadi kering cepat reput – ia beransur kering tapi jasad kakunya tetap keras.





















88. Setiap laki-laki ialah si pohon bambu yang berkulit kukuh gaya berani dan tahan uji. Setiap daunnya menampilkan karekter satu demi satu – bermula sejak diri bernama rebung yang usianya baru setahun jagung tapi tampak jago.

Kerana ia buluh yang berjenis pula – tumbuhnnya dengan akar rerambut tapi cengkamannya kukuh cukup untuk dirinya berdiri puluhan tahun. Dan, si pohon buluh, tak sedikit legenda dirinya dalam pertarungan – hebat, kuat dan ajaibnya kerap kebal kerana sifat tubuhnya yang padu dan si musuh yang keliru.










89. Setiap laki-laki ialah tongkat – lurus sifatnya, berguna dan diperlukan lalu membantu si tua dan si lumpuh.

Dirinya dipegang kukuh dan ia menunjang ke bumi lalu yang memerlukannya itu terus dibawanya ke hadapan tanpa soal hingga rasa puas memenuhi seluruh hati. Atau, yang lumpuh itu berasa amat penat atau sakit, tongkat setia menunggu.

Dan, tak pernah terdengar tongkat memperdaya atau memperkuda sesiapa. Tapi, dirinya dengan si buta selalu hiba hampa – kata Melayu, bagai si buta, lepas jambatan tongkat dicampakkan.

















90. Setiap laki-laki ialah bingkai gambar dan lukisan. Ia berbentuk dan membentuk bahan-bahan yang mahu bersamanya hingga wujud keluarga dan sifat, saiz, status atau rupanya ditandai ilmu, agama, bijaksana dan keberanian.

Kerana ia di tepi dan membingkai mengumpul maka jarang diperhati kerana mata cepat ditangkap indahnya gambar – foto atau lukisan dan bukannya bingkai. Seringkali bingkai dianggap dungu dan kaku dalam budaya Eropah serta Amerika.

Walau kelihatan kukuh, beragi, berbunga dan keemasan, nilai harganya tetap tiada atau paling rendah berbanding lukisan. Tanpa lukisan, bingkai tak berharga langsung dalam dunianya.

















91. Setiap laki-laki ialah pohon-pohon kaktus – berada di padang pasir paling gersang pun ia berusaha amat gigih untuk hidup bermula dengan secumit nafas yang dikumpulnya. Kaktus – duri amat halus dan tubuh gondol menampan bahang amat panas siang yang ganas jua amat dingin malam yang menggigit kerana ia jadi simbol dan model kehidupan, diri walau teramat seksa tetap yakin Allah tak’kan sia-siakan.
Ia kumpul air jernih lagi suci lalu pengembara yang amat dahaga – diabdikan diri kepada Illahi lalu air yang jernih suci itu diredhakan kepada yang memintanya.

























92. Setiap laki-laki ialah tenggala yang dulunya bajak dengan kerbau atau lembu. Hidup dan bekerja dengan tenaga yang sangat nyata. Luas sawah, luas lagi minda dan rasa hatinya tak pernah dipeduli kerana tiada masa serta tak boleh ditunggu kelak sawah yang kalau rajuk serta marahnya, sedunia manusia atau hidup-hidupan kelaparan.

Digerakkanlah diri atas kehendak kehidupan dan sawah pun kian berguna – bukan lagi cuma rata lebar, terhampar dan memerhati.

Dan, pabila tenggala atau bajak bekerja – langit asyik memerhati – dipintanya angin dingin membantu – menyapu keringat dan darah yang tumpah ke dalam urat yang ghaib.


















93. Setiap laki-laki ialah kandar yang di hadapan serta di belakangnya dibawa tanggungan yang dimestikan kerana kewujudan dirinya sudah sedemikian kehendak Illahi.

Seringkali keadaan dirinya melentur dek beratnya beban. Diri bagaikan pecah bertaburan tiap urat dan pecahan tulang-belulang tapi itulah kudrat yang dibekalkan. Kerana besi kursani di dalam diri – ia kekal berdiri dan bergerak jua terus berbakti.


















94. Setiap laki-laki ialah pedang samurai atau sundang Melayu atau pun ninchaku. Keras dan tajam. Bahaya dan mampu membunuh.

Kerana kehadiran dirinya pertempuran jadi cepat tamat. Mangsa jadi terpinga-pinga, seminit tadi masih hidup tapi selepas itu, yang satu jadi kaku malah tak bernafas lagi.

Kerana ia panjang dan tajam atau keras, sesuai jadi bahan untuk menggerunkan si pandir tapi bukan kepada yang berilmu.
















95. Setiap laki-laki ialah lampu panjang floresen. Terang dan suci gaya cahayanya tak pula ia mengada-ngada kerana kata orang, ia berjasa menerangi ruang dan kehidupan masa hadapan kerana hadirnya diri.

Apabila ia dipinta bekerja, tiada tangguh lagi segala kudrat dikumpulnya lalu terus menerangi sejujur-jujurnya hati.

Tatkala ia bekerja, berada di perut siling atau di celah-celah jari pohon rendang – cerah atau berwarna-warni, ia tak pernah bersuara. Selagi diri diperlukan, ia tak pinta penat tiba.





















96. Setiap laki-laki ialah tulang hidung
terbentuk diri timbullah rupa yang cantik dan ia memelihara laluan nafas tiap saat.

Kerana tugasannya paling semula jadi, lupa pula jutaan makhluk akan jasanya. Ia tak dipeduli kecuali pabila tibanya saat mati. Kulit hidung tiada lagi, sedangkan ia masih menanti.



















97. Setiap laki-laki ialah tenggorok yang kedudukannya bersifat penyaluran makanan. Di tengah rengkung penyambung antara kepala dan dada. Di situ ia bekerja tanpa ubah janji.

Mahu diberinya tenaga kepada kesemua bahagian, asal yang menyedianya cekap lagi tidak sia-sia.

Rupanya tidaklah luar biasa tapi kukuh dan ia tak pernah lemah diri, lalai atau sesal.




















98. Setiap laki-laki ialah jarum si pengamal perubatan. Tak terduga ia tercipta membawa bersamanya ubat atau penawar. Kerana khasiatnya itulah, tajam lagi runcing jarumnya tidak lagi terasa berbahaya.

Kerana tajamnya rupa halus lagi berkilau warna. Sering pula ia siapsiaga, disebut berkhidmat, ia pantas tapi tertib bertugas.

Ubat yang dibawanya ialah dirinya.
















99. Setiap laki-laki ialah cita-cita yang melangit dan seluas samudera. Ia hidup dalam alam realiti dan tenaga yang ada serta yang dikumpulnya kerana kudrat Illahi.

Perintah-Nya maka cita-cita jadi tugas yang mesti disempurnakan tanpa rasa cemas atau rasa gerun apa lagi rasa malas. Kewujudannya terpelihara dan terbentuk dari semasa ke semasa, daripada abstrak jadi nyata.

Tanpa dirinya, hidup-hidupan melayah melayang tanpa haluan dan destinasi. Tiada jua tanda nyata.






















100. Setiap laki-laki ialah kalian pembaca
amat berminat ketahui pelbagai perkara
berminat berfikir juga memahami ilmu dunia
jua rahsia tentang manusia. Kalian tentunya
mulia – jiwa, nyawa atau tenaga dan roh

memilih kehidupan di dunia cara yang mulia
mengejar kehidupan di akhirat – cara yang tetap mulia jua.



































SETIAP PEREMPUAN IALAH…


1.
Setiap perempuan ialah sketsa
kemudian menjadi lukisan
dihiasi perasaan
yang menguasai logik fikiran.
Tak pernah jejak di bumi nyata
kecuali tatkala tidur;
tidurnya perempuan,
terhenti seketika kerosakan dunia.

































2.
Setiap perempuan ialah bayang-bayang
yang sukar disentuh, larinya sentiasa
berhenti mengejarnya, ia kaku
dan terasing, mula binasa
lambat menjaganya, ia cair
bak dian dibakar perasaan.






























3.
Setiap perempuan ialah api
nyalaannya kerana tiupan angin
tiupan terhenti
tidak lagi ia bermaya
kuat tiupan, ia marak
terlebih, ia padam.
Dan meniup apinya perempuan
tatkala belum masanya
ia binasa, hilang tanpa kesan.



















4.
Setiap perempuan ialah bunga
semuanya indah tapi seketika
ada yang harum, pun sementara
kata baginya ialah makanan
yang menyegarkan
kata-kata orang lain, jua kata-kata sendiri
yang semestinya pura-pura
dengannya wujud dunia, pun sementara.
























5.
Setiap perempuan ialah bumi
yang diam tapi memerhati
yang di atasnya
sesekali bergoncang, tak dipeduli
dirinya turut musnah.
















6.
Setiap perempuan ialah daun-daun
dalam lukisan alam
menyejukkan tapi berbahaya
tak sedikit boleh dimakan
sebahagian, memabukkan.

























7.
Setiap perempuan ialah bintang-bintang
bukannya bulan – ia lelaki
memagari kerjanya
bersinar bulan, semakin bersinar bintang-bintang
malap bulan – sinar bintang jelas kelihatan
bersendirian
sebenarnya menggoda bulan
agar muncul bersamanya di permukaan
timbul bulan – bintang kembali kemalapan
tak satu bersinar
kerana sinarnya adalah pinjaman
daripada bulan.















8.
Setiap perempuan ialah angin
tatkala menjadi bayu – mendamaikan
pabila bertaufan, ia membunuh
biar dirinya digelar pemusnah
tak pernah peduli
alam, mangsa, diri sendiri musnah.


























9.
Setiap perempuan ialah air
memenuhi tasik, paya dan lubang lautan
tak pernah berbentuk
kecuali diberi bekas
sebagaimana acuan, begitulah bentuknya
dan air yang memilih jadi ombak
tak pernah berhenti bekerja
ditiup angin.















10.
Setiap perempuan ialah batu-batan
kaku dan keras bak tugu
kelihatan kukuh, tapi dalam senyap
titisan air yang kerap
ia lekuk kerana menyanjung
tak pernah berusaha membuang titisan
atau elak diri
pada hal, menyusahkan diri sendiri
lama-kelamaan, batu yang ‘keras’
kehilangan asalnya bentuk
diukir air.
Jua ‘kerasnya’ batu, jika menonjol diri
saban ketika disentuh angin
diri dipersiang
lambat-laun, ia mengecil
langsung hilang tanpa kesan,
bukti kewujudan.













11.
Setiap perempuan ialah awan-awan
bergerak, berarak
adakalanya berkawan, jarang sendirian
kerana takut kemusnahan.
Ada ketikanya tersergam tapi kapas sifatnya
dan sampai musimnya
yang putih bersih jadi kelam
dikandungnya air bumi jadi kelabu
sarat dan berat
hingga tiada lagi kudrat, ia lepaskan
hujan mencurah-curah ke bumi
biasanya hujan yang menyegarkan bumi
dan isinya
ada yang tidak diduga – banjir yang menyusahkan
tatkala itu – awan tak kelihatan
takutnya diri, ia halimunan
dalam kesamaran langit dan alam.














12.
Setiap perempuan ialah sepohon pokok
rendang kehijauan daun permulaannya
gigih untuk hidup
ketika hujan – ia membisu
menikmati air yang diromantikkannya
tatkala panas terik – ia membisu sayu
kebingungan, tercari-cari pertolongan
ketika hari berangin – ia turut terliang-liuk
hampir mati jadinya
sedangkan ia memanggil
sebenarnya angin
jelas kelihatan – sepoi-sepoi hembusan bayu
dedaunannya menggamit.






















13.
Setiap perempuan ialah pohonan bambu
ketika rebung – bersemangat untuk hidup
ia tumbuh segera
meninggi dengan salutan semula jadi
dewasa – kelopak batangnya kian gugur ke bumi
kian dihiasi bulu miangnya
jelas tubuh satu-satu bentuknya
yang telanjang
keras kukuh tapi dalamnya berlubang
diketuk – bunyinya ke sekeliling
tak pandai diam
ditakik lurus – tak mungkin berbekas
ditakik serong – separuh dirinya menerima
ia menanti – ditakik menyerong lagi
ia tumbang, tapi berpaut sesamanya.













14.
Setiap perempuan ialah lembaran kertas
putih atau berwarna – tetap kosong
menanti ditulis
menerima titisan dakwat
yang bercerita kepada dirinya
tak sesiapa peduli wujudnya ia
pabila yang dibaca hanya dakwat
hadirnya kertas nyata patung
bererti dalam diam
tapi tak pernah dipeduli
kecuali ketika belum disentuh mata pena
ia hadir menanti – terbuka sepenuhnya.




















15.
Setiap perempuan ialah pokok keladi
berdaun tapi sukar dinasihati
tapi ia setia menakung air – setakat sedikit
selagi tak digoyang angin
atau air ditumpahkannya
tak berbekas
dan lembut tubuhnya
tapi mampu melebarkan dedaunan
berisi tapi tersembunyi
yang enak dimakan
awas, sebahagian gatal
hingga tak tertahan – tak sampai pula keracunan.

















16.
Setiap perempuan ialah durian
berduri – bau yang jelas
berbahaya
tapi tidak kepada penakluk berbakat
ada ketikanya amat berharga
selebihnya, tak dipeduli sesiapa.


























17.
Setiap perempuan ialah gunung-ganang
membisu sepanjang hayat
tersergam indah kelihatan di kejauhan
didekati pabila jelas kelihatan
keindahannya hilang segera
keangkuhannya segera timbul nyata
rasa terpaksa didaki
jika tidak ke puncak, rasa sia-sia
pabila di puncak – hilanglah keangkuhannya
gunung ditawan, gunung ditawan
itulah yang dilaung-laungkan.














18.
Setiap perempuan ialah salju
putihnya menyilaukan mata
dinginnya menakutkan, berbahaya
tubuhnya terbentuk daripada
janji-janji yang tidak kukuh
sentiasa roboh, memusnahkan
kesempurnaan putih rupanya.
























19.
Setiap perempuan ialah tasik
indah kelihatan – tenang
penuh airnya
didayung sampan, airnya menurut beriak
tidak bergelombang, tidak
ia tenang
ribut dan hebatnya hujan
tasik cuma tak kelihatan
ia menerima tibanya curahan air
dan tasik, tak pula ia bijak marah
kerana dirinya dipenuhi air dan lumpur
tebingnya tak pernah berkata apa-apa
tentang bentuk yang dibentuk untuknya
tidak setepat kolam.















20.
Setiap perempuan ialah sungai
perasaannya mengalir tak henti-henti
bentuknya adalah identiti
tak satu pun sungai di dunia lurus
muaranya menerima air yang masuk
tatkala pasang
dan memuntahkannya pabila surut
sungai tak berombak tapi riak
jernih pabila tidak terusik
dan sungai, pabila dikotorkan
ia tak mampu lagi bersih diri
andai tak diselamatkan
ia mati dalam kekotoran.















21.
Setiap perempuan ialah kulit
lembut dan menutupi isi
di dalamnya urat
di dalamnya mengalir darah
pabila tenaga dipanggil
keringat demi keringat mula bercahaya
ia membalut daging
yang enggan melihat alam realiti.
Nyata warnanya jua bau
harum atau apa saja
dan kulit berhak menyebut jasanya
tapi tak pernah berkata apa-apa
kerana lembut, ia mudah luka
darah yang tumpah, tak boleh lagi disekatnya
ia menagih pertolongan, hanya menanti.



















22.
Setiap perempuan ialah kunang-kunang
dalam kegelapan malam
kerlipannya jelas kelihatan
terapung-apung dalam lautan udara
tercari-cari tempat hinggapan.
Bercahaya di kejauhan
tapi di telapak tangan
nyata cahaya yang ada
tak mampu menyuluh apa-apa
kecil dan kerdil
lemah – lesu menagih sesuatu.



















23.
Setiap perempuan ialah sebuah buku
kulit dan isinya tak pernah sama
isinya barangkali ilmu dan berguna
yang tersembunyi
di sebalik belantara kata-kata
yang dibawa dan diratah-mamah mata
yang dihayati, disayangi sepanjang hayat
yang diuliti – kemudian dibiarkan
menghiasi almari, sekadar tontonan tamu
tak sedikit – kosong
yang ada hanya rimbunan dan hiasan
kata-kata kaku.














24.
Setiap perempuan ialah seekor kuda
liar dan jinak
kemarahannya kurang kelihatan
tak pernah garang
tapi sesekali – jeritannya mengaibkan.
Ke mana saja dibawa, ia menurut kata
terlalu mudah setia
walau ditambat mulut, kepala
belakangnya dibawa penunggangnya
tak sepatah ia merungut
mudah digoda walau ketika kerenahnya menggila
disentuh dan dipandang mata
ia tunduk kekalahan
seumur hidupnya
dibawalah ke mana saja
ia pasti menurut
menuruni lembah, mendaki curamnya bukit
selagi bersama, ia rela terhumban
berguling ke bawah
tak pernah ia fikirkan nasib diri
musnah atau mati tiba-tiba
asal saja bersama.











25.
Setiap perempuan ialah api
kecil menjadi kawan
besar kerap melawan.
Panasnya berbahang tatkala matahari terik
ia marak.
Malam yang gelap dan dingin
marak tapi panasnya sering kalah dek keadaan.
Api cepat menjadi perosak
disirami air, cepat menyejuk,
jika tidak pun ia mati tiba-tiba.
Api membakar kayu hingga jadi debu
ia pun mati tanpa meninggalkan bekas hadirnya diri.
Mudah melempar batu tangan disembunyikan.
Indah warnanya tapi sulit dipercayai.
Ia tak pernah berbentuk
berubah-ubah tiap saat.
Kerana ia api, hadirnya diperguna dunia
di akhirat, ia cuma pemusnah.










26.
Setiap perempuan ialah mata
indah dan berkaca-kaca
terbuka serta tertutup.
Kejadiannya daripada cecair gelemaca
lembut dan terdedah kepada bahaya
manja dan sukar dipelihara
kerenahnya payah diduga
sesekali hati mengingatkan, mata dipejamkan
baru kelihatan syurga di akhirat.
Terbuka – yang dilihat cuma dunia
hanya dunia yang dicintai
kerana ia sering terbuka
pabila tertutup tatkala mencari akhirat
ia tertidur lalu terlupa segala-gala
termasuk dirinya mudah hilang seluruhnya.

















27.
Setiap perempuan ialah mulut
pengeluar kata dan pemakan benda-benda
mudah lahap dan alat mudah berbicara
banyak berkata-kata, hingga hilang imannya
sedikit berbicara – tampak nyata
mulianya ia.
Pabila tersenyum, nyata ayu seninya diri
dan tatkala tertawa – wajah diri hodoh sepenuhnya.




















28.
Setiap perempuan ialah bunga ros
harum, berwarna dan berkelopak
tangkainya berduri
pabila ia mula membesar
kewangiannya menarik keinginan
hingga lupa dirinya.

Bagi yang bijak memahami tabii
memetiknya dari atas
ia menyerah sepenuhnya.

Agak lama ia memperaga diri
sambil menyebarluaskan kewangian
hingga ke puncak kemekaran.
Tidak dipetik, ia kecewa dan pudarnya
tidak diduga – hodoh, kering dan
lambat pula gugur ke bumi.

























29.
Setiap perempuan ialah bunga cina
lembut dan dingin ayu
terdedah serta lemah
pagi mekar, timbul matahari ia layu
tak bertangguh lagi
tinggal diri tanggal kelopak
gugur ke bumi
ia tewas cepat sekali.









30.
Setiap perempuan ialah padang yang terhampar
luas lagi lapang
di atasnya pengembara mencari tapak
untuk mendirikan khemah
menyelamatkan diri sebelum
kegelapan hari
di atasnya lalang yang tumbuh
tidak sampai menutup diri
yang sesat akan terhenti
dan membaca tanda
padang yang terhampar
cuba mengeliru – tapi walau di mana

Pengembara memilih tempatnya
padang tetap terasa bakti jasa
sebenarnya kedua-dua
tapi jasa pengembara tetap cepat dilupainya
kerana kata padang, hanya ia berharga.
























31.
Setiap ialah tangga
dirinya tersedia sedemikian rupa
biar diri diperkuda
capailah apa saja – ia kaku bisu
pendaki berada di puncak
jauh tinggi daripadanya
ia tak mampu berkata apa-apa.














32.
Setiap perempuan ialah kelkatu
terbang dalam kegelapan malam
mencari-cari cahaya
dan kerana yang dicari terjumpa
tak lagi ia upaya mengukur bahaya
ia menerjah mengerumuni rapat diri
sanggup merapati.

Kerana gilakan cahaya – panas tak dipeduli
ia gugur ke bumi, cedera dan mati.





















33.
Setiap perempuan ialah jari-jemari
bentuknya tiada yang sama
bergerak-gerak melebihi diam
tiada ia tahan lama lurus
digenggam – ia hilang sekelip mata.

Dengannya boleh dilihat arah yang betul
jua haluan yang salah
ia tiada ketua – semuanya berbeza rupa.

















34.
Setiap perempuan ialah sebuah gua
gelap dan tersembunyi
dingin serta berahsia
sukar memahami tabiatnya
kecuali lama berada bersama-samanya
hingga ia tak berupaya menyesatkan
kerana dirinya sudah dikuasai

Andai mahu melihat kerenahnya
pabila terjumpa, terus bersamanya
rasailah permainannya
ia menyesatkan dan memperdaya
dengan janji dengan janji berbahaya
kerana kejadiannya penuh teka-teki
ia sendiri pun tak memahami rupa diri
ia sendiri sukar menduga perubahan hati
dan kata-katanya dalam manis lagi sopan
nampak benar di permukaan
yang tersembunyi tetap disimpannya
hingga pengembara hilang di dalamnya
atau keluar meninggalkannya membawa dendam.















35
Setiap perempuan ialah jendela
pada ketika-ketika, ia tertutup
tapi, selalunya terbuka
menerusinya keindahan alam kelihatan
sekadar dibenarkannya
yang ditunjukkannya keindahan
sedang bakinya adalah kehodohan
sengaja ditutupnya sementara
dan kepada yang tidak bijaksana
menerusinya, angin malam dingin
dapat dirasai
menerusinya, tumpahan cahaya bulan
dapat dipegang tangan
menerusinya, pancaran matahari menikam mata.











36
Setiap perempuan ialah belantara
di dalamnya aneka perkara dan benda
menyesatkan sesiapa sahaja
yang mengembara lupa kompas haluan
berada di dalamnya
rasa gerun mudah tiba, berkali-kali
bermalam bersamanya
diri terasa selamat kerana rasanya seketika.

Tapi pagi yang ditunggu
belum tentu dijumpai
kerana kerenahnya dengan kabus dan kedinginan
ia menutup mata pengembara
atas nama kekasih yang dipujanya
sesat dan lalainya mangsa
tak pernah difikirkannya, asal diri ditemani
ia bahagia dan berasa bangga.

Pengembara yang mudah lupa diri
pasti kehilangan arah jalan kembali.
















37.
Setiap perempuan ialah mimpi
datang dalam diam
pergi dalam kesenyapan malam.

Ada yang mengasyikkan
ada yang membahagiakan
ada yang menyedihkan
ada yang menggerunkan
hanya yang membahagiakan diizinkan Allah
dijadikan pedoman di akhirat
itu pun sedikit
selebihnya adalah syaitan adalah Azzazil.











38.
Setiap perempuan ialah awan
bergerak dan berarak di depan langit
putih bersih kelihatan
pabila berkumpulan – tampak riak
pabila berpersatuan – nyata kelihatan bongkak
tabii alamnya menyerap air
sedikit demi sedikit, lalu diri jadi kelam
gugurlah hujan – renyai atau lebat
adalah rahmat, penyubur bumi
mengembirakan apa saja.

Setelah menzahirkan hujan
awan kembali kepada dirinya
berarak-arak
dan kadang-kala langit biru
tidak memerlukannya – awan hilang
entah ke mana.

















39.
Setiap perempuan ialah si burung merak
yang diawasi sentiasa
adalah bulu dirinya yang berwarna-warni
pabila disedari orang memerhati
segera dikembangkan diri – mundar-mandir
tak ia peduli akan sarangnya
lalang-lalang yang ditolak diranap, asal jadi
kerana diri dirasakan tak perlu membina
mahligai sendiri
hidup dan tidur lena baginya
di tilam kekasih yang memerhati.















40.
Setiap perempuan ialah cairan madu
dirinya tak pernah berbentuk sendirian
melainkan mengikut acuan
dirinya adalah penyegar yang memerlukan.

Dirinya kaya dengan zat galian
manis dan pahit adalah rasanya
bersamanya semut menjauhkan diri
kerana madu- dunia jadi ajaib.
























41.
Setiap perempuan ialah sawah ladang
ditanam tumbuh-tumbuhan
ditanam tumbuh-tumbuhan
hijaulah pemandangan
jika tidak diusahakan – padang tandus keusangan
diri tetap terhampar
rata dan saujana mata memandangnya
tak ditemui yang mana kepala atau pusatnya
ia sekata
di mana ia dimulai bercucuk tanam
di situlah permulaan reaksinya
kesemuanya bergantung kepada pengusaha
jika tidak, ia diam memerhati
sesekali – menggoda untuk dikasihi
ia menagih simpati – selalunya.















42.
Setiap perempuan ialah besi berani
memiliki kuasa tetapi tersembunyi
diacu kutub sejenis
segera ia berpaling, jika berlawan –
tak mahu dilepaskan
dan anehnya tingkah laku
kekuatan mengikat pasangan
terlalu sukar menduakannya
saling berebutan
kerana kononnya kuasa
etnosentriknya yang tinggi.

























43.
Setiap perempuan ialah pakaian
tugasnya penghias badan
penutup keaiban
indah kerana memakainya
segak lagi bergaya kerana indah warnanya
bertenaga jiwa andai yang dipakai dipelihara
andai tidak dijaga – lusuh
dan kotorannya jadi pembunuh.

















44.
Setiap perempuan ialah buah-buah anggur
menggiurkan tatkala
terpandang akan bentuknya
sentiasa menjerat mata
dipetik tepat masanya – manis terasa
pabila keterlaluan – rasa pahit
halus menikam perasaan.

Kerana anggur – tak sedikit orang mabuk
hidup tunggang-langgang
akal dicampakkan – perasaan diperkuda
dunia cair dek perasaan kesyaitanan.














45.
Setiap perempuan ialah layang-layang
melayang-layang di angkasa bebas terbang
ia tak menyentuh awan-gemawan
terlalu jauh lagi menemui langit
tubuhnya dihiasi lukisan
lembut dan menawan tapi rapuh
kerana tulang-belulangnya halus
dengan juraian yang panjang
ia terbang bersuka-sukaan sendirian
kerana katanya, diri jadi perhatian dunia
tidaklah selama mana
tiupan angin berhenti jua dan ia segera
tersungkur ke bumi
walau sehebat mana pun.

















46.
Setiap perempuan ialah sebuah mobil
dihiasi pelbagai aksesori, indah kelihatan
tapi dongengan keperibadian
dipandu laju – kecelakaan
perlahan – sia-sia kehidupan
yang mahal – harganya bukan keuntungan
tapi suatu seksaan berpanjangan
yang murah – nyata menyusahkan.

Hidupnya kerana pemandu, jenisnya
jadi ketua atau hamba yang sia-sia
sepanjang masa dan usia.


















47.
Setiap perempuan ialah perahu layar
layarnya siapsiaga berkibar
jauh lebih besar daripada sampannya
menunggu hembusan angin
lagaknya berani di muka lautan
asal saja pengemudinya gila
tatkala muka laut tenang – angin mati
ia tak berguna apa-apa – nyata dungu
pabila angin berhembus – muka laut beremosi
ia mula gila beraksi
angin menjadi taufan – laut jadi gila segila-gilanya
ia tak tentu hala kerana laut adalah lantai kehidupan.


















48.
Setiap perempuan ialah muzik
merdu dan selalu tak harmoni
tatkala masa berbeza-beza
pabila alam jadi sunyi – muzik asli kedengaran
kicauan burung – muzik ombak dan bayu
keindahan meresap berdikit-dikit
alam indah seindah-indahnya
kita mencari-cari – ia hilang atau sembunyi
di sebalik angin – memerhati.
























49.
Setiap perempuan ialah hotel
indah berhias – sedikit menanti di pedalaman
bertaburan tersusun di kota-kota
berjaya menempahnya – rasa puas selesa
tersalah memilihnya – rasa sesal berganda
dan hotel – sifatnya melayan kita untuk berehat
asyik dengannya – hanyut usia
dalam diam memaksa kita memikul kosnya
semakin lama – semakin menyeksakan
dan kehidupan kian hari kian tak selesa
terasa diri dihambat api dalam sekam
dan hotel tetap diam – kaku
tak pernah kenal penghuninya
tak pernah peduli siapa
asal dirinya tak kesunyian.















50.
Setiap perempuan ialah seekor ular
melingkar dan menjalar
licin dan liar tubuhnya – tapi matanya jinak
sejuk sunyi – ia memerhati
dunia bergerak tanpa dirinya
ular dengan suara desisnya dan lidah tajam
ia menyerang dunia yang kaya muslihat.

Selalunya ia membisu – tapi ditakuti
kalau-kalau mematuk – bisa mulutnya
pantas dibawa darah ke jantung
bergegar dan berkeringat.






















51.
Setiap perempuan ialah bangau
putih bulunya – kurus kakinya
mukanya selalu terpinga-pinga
melangkahkan kaki – satu-persatu
di permukaan sawah menunggu
rezeki yang disampaikan Allah swt.,
kepadanya hidup – adalah teka-teki.















52.
Setiap perempuan ialah angin
berhembus dalam diam
alam tak berubah – halus menyegarkan
mengindahkan yang indah
dan tatkala ia marah
ia memutarkan diri- terputar
dan bergulung tegak ke langit
pabila ia marah – dihembusnya separuh dunia
pohon-pohon tak lagi berdiri
tatkala marahnya memuncak
alam suram – lembaga hitam kelam
dan angin tak dapat digenggam
pasti kehancuran dan hilang.





















53.
Setiap perempuan ialah cuaca alam
terang siang dan panas hingga petang
ada yang panas tapi hujan tengah hari
ada yang suram sepanjang masa
cuba berahsia tapi menagih simpati
tak sedikit keliru
tak sedikit sukar membaca perangainya
sekelumit yang jelas Allah kepadanya
mampu memahami dan membaca
mampu diam diri pabila dikhianati
berupaya senyap pabila tidak diamanahi.
















54.
Setiap perempuan ialah cawan
pelbagai saiz pelbagai bentuk
ditatang orang kerana minuman
dipegang – yang terasa peminumnya adalah minuman
bukannya cawan – fizikal atau luaran
terhempas – ia pecah berderai
indah kerana jasanya.

Disusun rapi dalam almari
ia hilang seri.



















55.
Setiap perempuan ialah burung
terbang melayang
hinggap memerhati
comel kelihatan dengan bulu badan yang berseni
suaranya merdu kecuali tika gila
rata-ratanya jinak
cuba ditangkap – pasti terbang lari ketakutan.

Sukar diduga apa kemahuannya
ada yang makan di telapak tangan
ada yang disangkarkan untuk tontonan
yang bebas – lebih berjasa
tapi kembaranya tak ke mana
pabila tamat riwayat
hidupnya nyata sia-sia.
















56.
Setiap perempuan ialah sungai
dialirkannya air ke kuala
biar dirinya berubah-ubah bentuk
dialirkannya hidup-hidupan
di dirinya manusia mencari makanan
sungai berasa bahagia – demikian kelihatan
zaman ke zaman – dirinya kian lesu
alir yang dialirkannya kian surut
dasarnya kian cetek dek hakisan.






















57.
Setiap perempuan ialah lampu-lampu jalan
tegak sepi dan diam
jarang dipeduli orang
kecuali kerana cahaya
yang pabila malam – terang
pabila siang – boleh dibilang
orang menyedari kehadirannya
dan di simpang-simpang
dengan warna merahnya
tak sedikit orang gamam – tak berbuat apa-apa
kerana kuningnya mengisyaratkan hentian.

Bertukar hijau – orang laju bekerja
tak henti-henti
dan ia seperti gembira kerana rela
untuk dirinya yang berjasa
dan untuk dunia
yang mahu dipastikannya bergerak hidup.










58.
Setiap perempuan ialah kusyen
lembut dan mesra
berbentuk tapi fleksibel
kelembutannya menyelerakan badan
terlalu asyik kepadanya – kita hilang punca
ia tertindih tapi
tak pernah terasa resah
tetap selesa untuk diri dan penggunanya.



























59.
Setiap perempuan ialah kereta
dipandu laju berbahaya
pengguna masuk ke dalam dirinya
sepatutnya dikuasai – tapi di sebaliknya
ia diperguna.

Ia jadi kebanggaan dunia
dengan mahalnya harga
indahnya buatan
tapi sebenarnya tugasannya serupa
untuk dipandu dan diperguna
memilikinya – tak semua berasa berupaya.















60.
Setiap perempuan ialah pasu bunga
ia menampung keindahan
selagi berupaya bunga-bunga bertahan
ia adalah teman kesenian
pelengkap pemandangan.



























61.
Setiap perempuan ialah mimpi
indah dan mempesonakan
khayal diri dibawa pelajaran
mesra berasa terasa
tapi berbayang-bayang
diri dan mimpi saling menguasai
berkongsi nikmat kehidupan yang lazat
menyegarkan roh dan jasad
kerananya akal sering mengingatkan
diri terlalu rapat dengan mimpi
yang diikat cinta suci
terkunci mati sampai kiamat.














62.
Setiap perempuan ialah magnet
sentiasa menolak dihalakan kutub yang sama
dihadapkan kutub yang berlainan
tanpa soal ia menangkap
dan sesudah itu
melepaskan tangkapan terlalu sukar
hingga kedua-duanya bersatu sentiasa
membiarkan begitu – dunia terhenti.

























63.
Setiap perempuan ialah sebatang tiang
dipacakkan terdiri
sunyi sendiri
dihembus angin – ia kedinginan
malam menemaninya hingga ke hujung
dititiskan embun – tanda kasih
tapi seketika kerana malu kepada matahari
dan tiang bersendirian – berperang dengan diri.




















64.
Setiap perempuan ialah rama-rama
indah warna-warni tubuh
indah bentuknya
terbang melintuk-lintuk
seakan-akan manja minta dimanjai.

Sentiasa tunjuk diri
dengan mengembangkan sayapnya
pabila berhenti di permukaan daun
untuk diperhati.



















65.
Setiap perempuan ialah air mata
cepat tumpah pabila hati tersentuh tiba-tiba
tiada hati yang tidak sayu melihat
lalu merasainya
tiada hati yang tidak pilu – sebak
dan ingin menangis jua
kerana mengalirnya air mata
bukan dibuat-buat
melainkan dari perigi perasaan yang suci
lalu apa yang dipinta wajib diberi
itulah pertolongan paling mulia
dan air mata
bukannya mudah mengalir sia-sia
kalau tidak terpaksa
kerana dada sebak sayu dan pilu melanda
lalu yang mengalir adalah kejernihan jiwa
tanpa pura-pura, melainkan setia.














66.
Setiap perempuan ialah sebuah mahkota
indah dan bertatahkan permata
kaku hanya untuk dipandang mata
jadi simbol seorang raja
dan sifatnya yang kaku itulah
tepu indah dihormati sesiapa saja
bukan ia berkuasa tapi pemakainya
bukan ia bahagia tapi pemiliknya
ia kaku sepanjang masa
hidup dalam kekuasaan
tak berani bersuara kecuali penggunanya
jadi ia indah tapi buta diperkuda.























67.
Setiap perempuan ialah televisyen
berbentuk di luar
di dalam agak lompang
cerminnya kelihatan licin
kerana berada di hadapan.

Pabila dipetik punatnya
akan kelihatanlah pelbagai perkara
hiduplah peristiwa demi peristiwa
yang mulia dan yang hina
yang benar dan yang palsu
semuanya sekata, kelihatan bergaya.


















68.
Setiap perempuan ialah kapas
lembut dan teramat putih
andai tidak dipetik – ia terbang melayang
dibawa angin – ke dunia udara luas lapang
dan kapas – ringan tapi bercahaya
selagi tidak ke limbahan
pabila jatuh – diserapnya segala daki tanah
diri jadi berat – terkulai
hilang rupa hilang nama.

Aduh, kasihan nasibnya yang rawan.















69.
Setiap perempuan ialah sampan
yang bergerak pabila dikayuh
ke kiri – ia melaju ke kanan
ke kanan – ia mengiring ke kiri
kayuhan kiri dan kanan
silih berganti – ia lurus ke depan.

Bentuknya kurus panjang
lurus sifat asalnya
dibawa berlabuh di tengah sungai tenang
ia jadi kawan
dibawa ke kawasan jeram
ia teroleng dan terbalik
kita dihumbannya tanpa kasihan.















70.
Setiap perempuan ialah lebuh raya
lurus indah lebar mencerahkan
tatkala berada bersamanya – kita digoda
pandu laju – seronok tak terkira.

Kepada yang tak berakal
penghujungnya kita dihumban
tersembam di atasnya jua – mati atau parah cedera.

Kepada yang berakal, bersamanya
kita berasa nikmat bahagia – terasa syurga
hadir bersama.




















71.
Setiap perempuan ialah papan-papan iklan
yang ditunjukkan cuma tawaran menyeronokkan
indah menawan penghias taman alam
tapi jarang yang memikirkan
selagi namanya iklan – tersembunyi kekurangan.

Kerana takut ditumbangkan taufan
papan-papan iklan
tidak memilih diri jadi terlalu lebar
dengan kaki yang tidak kukuh
ia memilih dinding-dinding bangunan
biar kelihatan tenggelam
kerana yang penting kepadanya –
keselamatan.















72.
Setiap perempuan ialah sekeping duit
diri diberi nilai angka
disimpan orang – yang menganggapnya berharga.

Tersimpan di tempat yang sunyi – ia mati
ada yang dibelanjakan sesuka hati – ia hilang
dari tangan
tak nampak bayang lagi.

Pabila ramai manusia memberinya nilai keduniaan
ia jadi daki orang keduniaan
sesetengah memberinya harga amal jariah
ia kelihatan bercahaya
limpahan agama Allah jua.


















73.
Setiap perempuan ialah kabus pagi
menyejukkan dan indah mesra
kerana hadirnya ia – kehidupan segar jadinya
dilihat jauh – indah bukan kepalang
didekati – keindahan entah ke mana
menghilang.


























74.
Setiap perempuan ialah warna terang untuk siang
sifat awalnya mesra – membahagiakan
segala urusan lancar – kerana sejuk segar
pabila tiba pertengahan – tengah hari
seringkali kita rimas
kecuali tika berangin atau redup
itu pun boleh dibilang dengan jari
menjelang petang – cahaya terang – susut
yang akan pergi – tahu – diri akan hanyut
hilang ditelan warna gelap
dan langit pun merakamkan
beribu warna terang sehari bekerja
juga warna-warna asas untuk cipta warna terang.




















75.
Setiap perempuan ialah kunang-kunang
terbang di dalam gelap
hanya dirinya yang terang
tak upaya beri cahaya kepada alam.

Kunang-kunang terbang malam
tak upaya terbang tinggi
selalunya berkawan
berkongsi cerita peribadi
kelihatannya selalu kesunyian.















76.
Setiap perempuan ialah monitor komputer
ia sentiasa dipandang
kerana cerminnya berkilau
itulah daya tarikan kuasanya.

Menerusinya – pelbagai perkara diketahui
tapi ia bukan pengemudi
lebih lama dipandang – daya tarikannya mengurang
atau, yang asyik – akhirnya buta mata – warna.























77.
Setiap perempuan ialah telefon bimbit
zaman ini ke mana-mana dikepit
ia menjadi kuasa kebanggaan
ia berasa dihargai dicintai
dan selalu berbunyi untuk dirapati
ada ketikanya menjadi penyebab kebosanan
tatkala sifatnya dianggap gangguan
pabila kesunyian – ia diperlukan
penyelesai masalah perasaan.















78.
Setiap perempuan ialah majalah
dihias indah warna-warni temannya
dilengkapi ciri penggoda setiap keluaran
kualiti isi tak seberapa
kegunaannya tidak membijaksanakan
kata-katanya cuba mempesona
bukan untuk rujukan sarjana
bukan pula dokumen negara dan bangsa
kerana peranannya sering sensasi
ia cepat hilang ditelan masa.
































79.
Setiap perempuan ialah pelangi
rupanya memang berwarna-warni
melengkung bengkok tubuh
tak pernah lurus
hanya hadir tatkala
siang terang beremosi.



















80.
Setiap perempuan ialah kalendar
dirujuk setiap masa
selagi setia
dijadikan penanda masa
hanya penanda
bukan penunjuk cara kehidupan.


















81.
Setiap perempuan ialah meja makan
bertemu tatkala diperlukan
ia cuba menjadi pelengkap majlis
selalunya sia-sia
kerana kelazatannya
tiada.

Ia cuba menjadi penanda acara
tapi tak dipercayai berupaya
sebenarnya – ia cuma hadir
memerhati majlis
dan diri hilang di sebalik
makanan serta minuman yang dikecapi.




















82.
Setiap perempuan ialah akhbar
cepat dicari dan dimiliki
kerana rupa mukanya
tiap bahagian yang digemari diterokai
kemudian, ditinggalkan sepi sendiri
ia tak berupaya bela diri.

Berlalu hari – ia semakin dilupai
cepat dibeli – cepat pula ditinggalkan sepi.























83.
Setiap perempuan ialah rokok
ramai lelaki mengidaminya
diberi api dan ia terbakar
sedikit demi sedikit bentuk diri hilang
kerananya tak sedikit lelaki sering sakit
kerana sifat dan akibat kerap menggunakannya
tak sedikit pengguna
hidup sia-sia
mengakhiri kehidupan dengan
kesengsaraan.

















84.
Setiap perempuan ialah dadah
ia penahan sakit
kerana digunakan sedikit
menggunakannya lebihi had
ia memabukkan – akal jadi kecil
yang besar – rasa dan khayalan
menggunakannya salah cara
ia diharamkan kerana ketagihan
jasad musnah dan nyawa kesusahan.























85.
Setiap perempuan ialah patung mainan
indah digemari kanak-kanak perempuan
kerana comel – bukan keayuan
tatkala diperaga – indah bukan kepalang.

Terjual di gedung-gedung mewah
dieksport ke serata dunia yang kononnya maju
yang warganya konon pandai menghargainya
pabila dibeli dan tiba di rumah
serinya mula pudar
di sisi kanak-kanak si pembeli
ia mula gagal seri diri
lalu – ia semakin dilupakan.













86.
Setiap perempuan ialah balang kaca
terang kacanya – bercahaya
indah tatkala digilap bersih.

Terlalu mudah kelabu kerana debu
gemar kepadanya
dan dirinya selalu lupa
sewaktu menyapa lalu debu mesra kepadanya
diri jadi kelabu
menanti digilap
ia tak pernah pandai menggilap sendiri.




















87.
Setiap perempuan ialah pakaian
diperlukan untuk menutup aurat – bukan cuma badan
fesyennya pelbagai
ada yang berjaya aurat disembunyikan
banyak yang tidak
hingga sia-sia adanya pakaian tubuh.

Ia memanaskan tubuh dingin
ia mendinginkan tubuh hangat
dan pakaian – hanya untuk manusia
bukan kepada haiwan, jin dan syaitan.




















88.
Setiap perempuan ialah sarang labah-labah
lekit dan berjaring
memerangkap mangsa yang lemah
lemas dan mengejutkan
perangkapnya lembut tapi membingungkan
kerana kesan perangkapnya
mudah berbekas – tak mudah hilang.

Yang lepas perangkapnya tetap percaya
jaringan hanya untuk mangsa yang kerdil
yang mudah jadi lemah.




















89.
Setiap perempuan ialah angin yang dingin
berhembus lembut
hati jadi lapang tenang
alam terjelma indah menawan
tumbuh-tumbuhan hijau
jelas segar menampilkan kehidupan.

Pabila hembusannya jadi kasar
yang berasa gigil
kulit jasad mengalah
tulang kian lemah – tergigit
dek kedinginan melampau
tak sedikit manusia sakit.
















90.
Setiap perempuan ialah kekasih
di dalam diri tersemai benih kasih
ada kalanya terpancar menerusi mata
menerusi suara menerusi senyuman.

Selalunya berinteraksi dengan kelembutan
dihiasi kesopanan dan kemuliaan.

Yang beragama – landasannya iman
kasih dan sayang bercerminkan Allah
suci serta bercahaya
bahagia sejahtera.

















91.
Setiap perempuan ialah cahaya cinta
sinarnya membelah dunia
langit jadi cerah
alam bercahaya indah
tidak bersuara tapi padat kata-kata.

Yang dapat melihatnya
ada tandanya
jadi tenang, bijaksana dan berwajah jernih
yang gagal – wajah bengis, kesat kata-kata
lidah kerap berdusta
dan tangan selalu jadi panjang
hati selalu berbangga
kelakuan berwajah agama
tapi roh sepanjang masa buta diri
buta akhirat, buta nabi dan buta Illahi.













92.
Setiap perempuan ialah lautan sayang
yang berenang sering takut dipagut maut
yang ingin selamat - belayar berbahtera
yang berani – gemar bermain gelombang
itu pun pantai jadi harapan – jaminan keselamatan
sejak dulu ribuan belayar
yang selamat banyak
yang tenggelam senyap – juga banyak.
























93.
Setiap perempuan ialah suara
berbunyi dan pelbagai kerenah unik
ia mudah hilang lenyap
tetapi wujud dan terlalu dekat
selalu diguna pakai – sering dibazirkan
keindahannya sering diabaikan
kecuali dalam majlis ilmu
sering pula diberi nafas keduniaan
ia sia-sia di pusara dan saat kiamat.























94.
Setiap perempuan ialah tv
mata tertumpu kerana suara dan visualnya
bergerak dan berlagak aneka cara
motifnya memperaga segala yang ada.

Zaman ini – merekalah mahaguru anak-anak
Sering mengajar songsang – terlalu gopoh
Tak sedikit warga agama punah-ranah.

Tak dipedulikan – terasa rugi sebab nikmat tarikannya
terlalu berharap – melalaikan
berita daripadanya – selalu dangkal mentah
kerana akalnya tidak elit intelek
hiburannya melulu muziknya mendayu.




















95.
Setiap perempuan ialah komputer
yang direbut masa kini
kononnya sangat berguna – pemudah cara kata mereka
kesulitan menjadi ringan – kepantasan tindakan.

Indah wajahnya berkilauan
dan muncul aneka rupa mencabar jua menggoda
pengguna sering jadi hamba – menurut kata
terlalu lama – mata boleh buta
ramai yang memuji – sedikit mengkritik
yang terpedaya – pasti tersalah guna.











96.
Setiap perempuan ialah basikal
ringan dan mudah ditadbir
kini pelbagai model di dunia – indah
semakin indah – semakin mahal harganya
konon pelbagai guna – tapi sebenarnya
yang itu – itu juga – ditunggang jua
laju dan perlahan – penunggang yang terasa
nyaman atau keletihan
yang dipacu – tidak cedera keletihan
ia seperti biasa walau penunggangnya
terbaring kelelahan di tepi jalan.






















97.
Setiap perempuan ialah gerabak elarti
diri kelihatan laju dan
isi rahimnya manusia
pelbagai rupa pelbagai perangai
yang biasanya diam tanpa kata
ketika berada di dalamnya – terasa cuma seketika.

Ia bingung sebenarnya
tak sempat berfikir
tentang manusia yang masuk
dan keluar dari perut dan rahimnya.



















98.
Setiap perempuan ialah jaring jala
memerangkap mangsa hanya dengan tali
yang terjalin kuat - tapi mangsa
masih boleh bernafas dan melihat alam
walau dijaring jala
tiada sesiapa mati kerana sesak nafas
tapi mati kerana sesak fikiran
lantaran sukar bebas bertindak
bagai manusia waras.


















99.
Setiap perempuan ialah rambut
yang tumbuh sifatnya pelindung
panjang atau pendek tetap hitam
atau keemasan
dan berakhir dengan keputihan
namun ia tetap melindungi
manusia daripada keaiban
tetap memelihara maruah manusia
selagi bernama manusia
malah maruah haiwan pun
dilindungi kerana sifatnya rambut
yang panjang dan lembut, halus
terkumpul rapat memenuhi ruang
juga penghias dan penyebab
lahirnya keindahan
ciptaan Allah.














100.
Setiap perempuan ialah angan-angan
hidup tatkala bertenaga
bernyawa pabila bijak memperguna
bahagialah kita.

Kepada yang berakal tumpul lagi tanpa ilmu
angan-angan jadi angan-angan mat jenin
kepada yang berakal tajam disertai ilmu
angan-angan mengubah rupa dunia
tapi bukannya sekelip mata
bukan pula amat lama.

Kepada yang berilmuan, sopan dan setia
ia bahagia sepanjang hayat
di dunia serta di akhirat.















Yang dinamakan cinta…



















1.
Cinta adalah rasa hati
yang memenuhi peti hati
hingga diri manusia yang merasainya
jadi terlalu mulia kepada dunia
jadi terlalu sempurna
kepada pusara.






















2.
Cinta ibarat cahaya
yang terbit tiba-tiba tanpa dipinta
sukar dipegang
tapi tampak nyata
tak berupaya tapi berwibawa
mencipta pelbagai rupa manusia
dan suasana
yang mencipta dosa keji lagi hina
lantaran akalnya tiada
kecuali nafsu semata.























3.
Cinta ibarat lautan
ombaknya tak henti mengajak
sifatnya luas tapi awas, dalam
dan boleh tenggelamkan sesiapa saja
jua mangsa boleh terkorban hilang
tanpa kesan.





















4.
Cinta ibarat danau – tenang
tapi beralun dan berupaya
menggelombangkan kerana taufan
yang datang.

Yang belayar dan bijak tahu pula
peraturan masa - bahagia
yang pengecut – tak merasa sampai tiba-tiba.

















5.
Cinta ibarat matahari
pusat yang menghangatkan
sering dinanti-nanti
untuk meraikan kehidupan.
yang jelas hati jadi riang
dan objek-objek berbentuk nyata.

Awas tatkala ia hilang
hari pun gelap
tak bayak kerja yang siap
banyak anggota jadi lemah
pilih diri untuk rehat.
















6.
Cinta ibarat angin
lembut berpuput mendamaikan
tidak nampak sifatnya
tapi ada
kerana rasa dan objek
jadi nyata kerananya.

Sebahagian manusia biarkan ia
jadi taufan. Nah rasakan – yang disentuhnya
ranap. Diri boleh dikorbankan
dan kuasanya yang menggergasi tiba-tiba
kesyaitanan.













7.
Cinta ibarat embun
yang hinggap di permukaan daun-daun
tibanya awal dinihari
tatkala alam gelap
suram dan sunyi
sukar diduga dari mana puncanya
yang satu nyata
yang jelas – daripada kesejukan
seluas-luas alam – lalu terbitlah
manik-manik cahaya
ia indah pabila dilihat
dalam alam yang bercahaya
kerana kelembutan – sifatnya
puteri lilin – tak tahan kepanasan.























8.
Cinta ibarat langit – luas lapang
dan enggan dipegang
cahayanya berkemilauan – pancawarna
tatkala senjakala – warnanya indah
tapi penuh dukacita
himpunan kesunyian dalam lautan sayu
dan yang penuh tanda tanya –
ia cepat lenyap.

















9.
Cinta ibarat tv
sering menjanjikan keindahan
sebalik cermin yang licin
di dalamnya pancaroba dan kini tv
tipu daya dihajatujukan dengan tidak sengaja
ratusan ribu anak-anak muda yang mencipta tipu daya juga kerana jahat dan zalim
kepada manusia, termasuk dirinya
kerana kebendaan.


















10.
Cinta ibarat suara alam
dalam diam memanggil
tatkala bersendirian di lembah, di ngarai
atau di banjaran gunung – kita tercari-cari
cara menemuinya
pabila dalam khalayak – ia hilang
tak nampak rupa
yang ada ialah syaitan menyerupainya
bersedia menipu hamba dunia.

Suara – andai dapat dirakamkan
indah tapi bersifat kenangan
tiada lagi keindahan – tiada lagi.
















11.
Cinta ibarat kabus yang dingin
sering saja menutup pandangan – terapung sifatnya tergantung tanpa tali
kerana yang membawanya ialah cuaca dan udara
memegangnya tak terasa
melihatnya dari jauh – nyata dan indah menghampiri – cepat pula ia hilang diri.































12.
Cinta ibarat belantara raya
subur dan segar – kaya dan mengasyikkan cubalah masuki
tak sedikit insan sesat
kerana itulah binatang tak’kan bercinta
takut sesat dan takut pula pikul amanah Allah





















13.
Cinta ibarat awan-gemawan
berarak perlahan. Selalu tersergam bentuknya
di langit nan tinggi
putih suci rupa hingga tak sedikit memuji
dan pabila diri bertugas – kelabu warnanya
berat dan hodoh
cepat ia marah lalu ditebarnyalah
hujan – rasa hatinya yang dukalara.


















14.
Cinta ibarat panahan petir
laju, kuat dan melumpuhkan
sinarnya tajam terang dan
tiada sesiapa yang tidak takut
menanggung azabnya
seluruh alam arif – sekali dipancarnya
tubuh roboh
dan lazim ia tidak pula menyeksa
dan membunuh manusia yang suci
sebaliknya, yang kotor
jadi sasaran senjata pembunuhan
yang sebenarnya, bukan ia yang melakukan
kebinasaan – tapi syaitan
lalu, yang membiarkan diri jadi mangsa
dan tidak terelakkan – si pengotor –
hamba nafsu
jenis inilah yang ruhnya terseksa hingga kiamat tiba.




















15.
Cinta ibarat buah-buahan
tatkala ranum – khasiatnya lumayan
manis madunya tiada tandingan
keaslian
rupanya yang tidak terhakimkan itu
mengasyikkan.





















16.
Cinta ibarat air di perbukitan
mengalir menuruni batu-batan putih bersih
rupa dan nyanyiannya
beramai-ramai mengasyikkan
sering manusia terleka melihat
gerakannya yang tak berkesudahan
dan perjalanannya yang panjang
tak terceritakan
ia menyegarkan
tapi awas bentuknya berubah-ubah, namun
sebutlah apa jua bekas
ia boleh memuatinya hingga tepu.

















17.
Cinta adalah ibarat tentera-tentera
di padang yang berperang
gagah dan bersemangat juang
ia hidup tapi liar untuk dimatikan
satu sel dan unit tumpas – tumbuh lagi
ia hidup lebih bersemangat





















18.
Cinta ibarat gempa bumi
gegaran terjadi bukan acap kali
sesekali – pabila lama baru berlaku
lihatlah kemusnahan berganda-ganda
lalu yang menjadi mangsa tak diam usaha
demi kehidupan yang dibina
atas amanah dan janji
kesusahan yang dihadapkan
dipikul rela.



























19.
Cinta ibarat angkasa
luas dan lapang
lapisan-lapisan udara
yang tak boleh dipegang tangan
adalah misteri yang tercipta
gelap dan berpenghuni planet
jua galaksi serta waliyullah
kesemua sebenarnya ada
di dalam diri kita.















20.
Cinta ibarat alat muzik
- apa saja
nampak kaku tapi apabila
dibunyikan ia mengasyikkan
binalah apa jua lagu dan kisah atau falsafah
kesemuanya indah tapi risikonya
ia bersembunyi.






















21.
Cinta ibarat telefon
berbunyi dan kita sering tertanya-tanya
kecuali ada tandanya
wujud tautan rasa awal sebelum berbunyi
dan tidak lagi berteka-teki
pabila sifatnya sudah tidak berasa perlu
kerana adanya nafsu
rasa tidak lagi diwarnai indah.

Ia perlu, terlalu perlu malah
untuk membekalkan tenaga rasa sebagai asas akal. Dan mengilhamkan.
Tatkala sesat, ia jua perlu jadi penunjuk jalan
kerana sifatnya sarwajagat, haiwan ekonomi
memperkuda manusia – diberi nilai ekonomi
cerita jadi robot jadi jentera lalu lahir berjuta jin – Islam dan kafir, jahat lagi khianat.





















22.
Cinta adalah ibarat rama-rama
terbang perlahan menerawang ruang
membawa keindahan merapati keindahan dan kewangian bunga-bungaan. Bentuk dan warnanya berjenis-jenis.

Ada yang memerangkapnya – ia diawet
dan ia kaku sekaku-kakunya.






























23.
Cinta adalah hembusan gua dingin
berupa udara yang tidak kelihatan menerusi mata tapi terasa
pabila tersentuh kita jarang sedari
apa alasannya diri terperangkap
jarang sedari apa yang khilaf
sifatnya berahsia dan menggerunkan.




















24.
Cinta adalah gelombang haba
yang membahang menerawang
meresapi udara membekalkan
juga menawarkan tenaga
kepada manusia yang peduli
dihimpunnya untuk dilayani
dan deria yang ada diberi fungsi
haba yang hadir terasa diri
tidak sia-sia
yang tidak peduli
haba jadi dingin, bisu dan halimunan.

















25.
Cinta adalah ibarat pucuk-pucuk kayu
lembut mulus dan bahagia makhluknya
baginya, tiada yang kejam, zalim, hina, jahat
dan tipu daya.
Semangat yang diberikan kepadanya
Lautan kesegaran dan kejernihan.
















26.
Cinta adalah ibarat gunung berapi
diam tapi membakar
dalam kesenyapan dada
selagi boleh dan mampu dibungkus daging
diikat saraf dan urat
dipagar tulang-belulang dada
direndam darah – ia membakar diri
indah warnanya yang merah
kerana itulah intipatinya
andai tidak terkawal
asap paling hitam rebut keladak
jadi penyusah langit
hilang seketika aib dan maruah manusia
jadi haiwan paling ganas
lebur sia-sia memalukan
satu riwayat kehidupan.





















27.
Cinta ibarat fajar menyinsing
dalam kegelapan dini hari
ia jadi jalur cahaya
perintis kejujuran keberanian yang suci
mendidik makhluk dan mebawa
erti sebenar kehidupan jua
tugasan dihadirkan diri
dalam alam nyata.



















28.
Cinta ibarat jendela
yang terbuka dengan rela
waktu subuh yang dingin
angin yang menerobos dari ruang alam maya maha luas ke dalam ruang terhad dan terpilih membawa tugas menerima atau sebaliknya menjadikan makhluk bersifat kemanusiaan atau kebinatangan.




















29.
Cinta ibarat mimpi kehadirannya tulen mengisi ruang kehidupan makhluk yang dimuliakan ia membawa suara kebenaran bukan tipu daya ia suci bukannya najis kerana mimpi yang sebenar-benar mimpi kehidupan bermula dari rahsia lalu ke alam nyata.
Yang mendukacitakan dan ketakutan bukannya mimpi tapi jala dan penjara Azzazil, penaja Black Metal.























30.
Cinta ibarat debu di lautan padang pasir tak pernah rata permukaannya tak pernah sama bentuknya, sesekali berhadapan menggerunkan berjalan di atas landasannya perlu amat waspada tiap saat tidaklah mudah selamat, bersua muka sahaja dengannya hidung dan nafas sudah disekatnya sedikit mata dan rengkung sudah dibelenggu.


























32.
Cinta ibarat sinar mata
percikannya pantas – tiba-tiba dan
gerakan jadi gempa bumi di dalam diri. Lapisan-lapisan sel dan sungai darah terpaksa menyusun semula susunan. Gempa tiba-tiba sifatnya kerana alpa lalu rupa kejadian selepasnya sukar dimunasabahkan hanya kerana pandangan mata.





















33.
Cinta ibarat lautan padi yang menguning di sawah petani paling ujur. Kilauannya keemasan yang paling indah berjiwa – hidup berkata-kata dalam bahasa Illahi.

































34.
Cinta ibarat bola yang direbut dua pihak – tak pernah ada yang menawan, apa lagi menguasainya – hanya sekadar memenangi pertandingan. Hakikatnya kedua-dua pihak kekalahan – jadi abu dan jadi arang – kepenatan kehilangan nafas yang tak tergantikan – tercari-cari di langit yang gelap gulita. Tak terjumpa – kerana nafas, sesekali dilepaskan, dicari pasti tak kembali.





















35.
Cinta ibarat tasik yang airnya tak pernah berombak. Penuh dan rata, tenang serta damai. Di sekelilingnya daratan – ada gunung, ada bukit berbanjaran – jua padang yang rata. Wajahnya seringkali disolek hiasi bedak bayu yang berpuput waktu pagi dan senjakala. Seringkali burung terbang – di ruang permukaannya – berkawanan atau bersendirian, ia hanya tersenyum kelapangan dan ketenteraman.





















36.
Cinta ibarat urat-urat pada batang pohon berkayu. Kerjanya memperkuat dan jelas membina kehidupan pohon biar berdaun, berdahan, beranting dan kukuh. Tiap kali melihatnya: terasa.




























37.
Cinta ibarat angin – halimunan rupanya tak nampak tapi bertiup lalu bergerak-geraklah daun-daun lalu berombak-ombaklah permukaan laut dan bergelombang. Bergerak-gerak atau bergelombang bagai darah dalam diri.





















38.
Cinta ibarat muzik beralun dan meresap
ada yang ke dalam telinga
ada yang ke dalam jiwa
ada yang ke dalam akal. Genre yang wujud beraneka merdu dan nyaring
yang merdu daripada manusia – asli
yang nyaring daripada syaitan – palsu.































39.
Cinta ibarat haruman halus dan indah
sukar digambarkan gambaran tapi
berlukisan perasaan
memakainya pada diri cepat disedari membahagiakan.





















40.
Cinta ibarat kaca berkilau, jernih,licin dan lembut gayanya pabila dilihat
tapi keras sebenarnya – pabila pecah, tajamnya bak sembilu.

































41.
Cinta ibarat cermin muka berwajah serupa tapi cuma kepingan bentuk realitinya tiada kecuali dalam ilusi, imaginasi dan halusinasi. Awas, ia terbalik tapi jujur lantaran pantulan. Ia tak bersuara, cuma isyarat. Keindahannya hanyalah sebuah lukisan – amat digemari majoriti perempuan, pondan dan laki-laki separa wanita.






















42.
Cinta ibarat lukisan berjenis-jenis genre dalam dua kumpulan – realisme dan abstrak. Yang abstrak, antaranya ekspresionisme dan surealisme. Ekspresionis sering cinta tiba-tiba lalu banyaklah pasangan – isteri atau suami. Surealis memilih antara mimpi dengan realiti – seninya bertahap-tahap apapun, perasaan itu wujud dalam gambaran.























43.
Cinta ibarat siang terang dan tiada sempadan tempat tapi masa jadi pengehadnya. Ia tak boleh dipegang tapi dirasai nyata ada tapi tak ramai jujur memelihara keindahannya
yang ramai, sibuk kononnya bekerja sebenarnya
menipu diri dan diperkuda duniawi.


















44.
Cinbta ibarat subuh menyegarkan kepada yang berakal dan hidup – halus dan rahsia indah dan tidak menawarkan
sebarang kekecewaan
kerana sifatnya subuh, ia ambil masa cuma seketika.

































45.
Cinta ibarat langit luas lapang membangkitkan semangat kehidupan
kehidupan yang membahagiakan diri
dan semua yang bernafsu
selalu dipandang makhluk
makhluk yang boleh berfikir dan
yang berupaya menyucikan diri.

















46.
Cinta ibarat pulau
tersendiri dan dipelihara lautan, angin, awan dan pohon-pohonan. Diberi pantai berair paling jernih dan kehijauan karang dan makhluk lautan yang mempesonakan ia merehatkan dan menjadikan kita memahami jenis-jenis rasa, jua fungsi hati.






























47.
Cinta ibarat azan memanggil, menyeru dan mengkhabarkan berita gembira panggilan datangnya daripada manusia – yang ikhlas berakal
menolak ajakan bererti
kecelakaan.



















48.
Cinta ibarat komputer penting dan jadi rebutan manusia moden
yang tidak moden, bersahaja. Kini, ia menjadi perantara jadi katalis terciptanya kerjaya
jadi kaku atau robot jika dikakukan dan dirobotkan
jadi kaya-raya jika diusahakan
dengan ilmu dan kerenah dunia.

























49.
Cinta ibarat layang-layang terbang di angkasa tapi terikat kepada manusia
manusialah yang menaiktinggikannya atau merentapjatuhkannya diputuskan tali, ia bergentayangan tiada haluan, terseksa dan pabila hujan, ia ranap ke bumi.























50.
Cinta ibarat pena tampak kaku selagi tak digerakkan tapi sifatnya produktif ia membantu kita semau-maunya meneroka kehidupan bermula daripada calitan
hingga terbentuk terhasil buku, lagu, drama dan filem berjuta dalamnya
beraneka idea kesucian.


























51.
Cinta ibarat Ka’bah
dikerumuni berjuta manusia
realitinya ia memang pusat dunia jadi destinasi selagi diri suci lelaki dan perempuan berada bersamanya
hati tenang setenag-tenangnya
tubuh sihat sesihat-sihatnya
akal cerdas secerdas-cerdasnya.




















52.
Cinta ibarat masjid mendamaikan hati sekalipun paling kecamuk berperang di situ manusia menyuci hati di situ manusia jujurkan hati di situ manusia jadi yang menginsafi hidup sebenarnya bercampur senag - susah – senang – susah kerana masjid meneliti hati bukan perilaku, kuasa apa lagi harta.




































53.
Cinta ibarat kereta tak penting harga dan jenama yang penting
ia menggerakkan manusia jadi kenderaan kehidupan baru atau lama suatu cerita
jika rosak
tak kenal usia yang jelas, ia ciptaan Illahi dan manusia cuma mencari bentuk, kuasa dan menyusunnya biar ciptaan yang terhasil indah dan berguna
bukan sampah teknologi.























54.
Cinta ibarat keris
tajam dan menikam
jadi simbol kelakian yang perkasa lagi mulia jarang ditunjukkan terhunus – berbahaya kelak makan tuan jika selalu ditunjukkan harga maruahnya tak seberapa.



















55.
Cinta ibarat jet
laju bagai kilat melancar
membelah udara nun di bumbung angkasa
tak sedar diri berhijrah ke mana-mana – ada ketikanya terawang-awang, terkontang-kanting
mudah pula tak terduga diri jadi begitu- begini
tapi itulah diri yang ada hati yang hidup diresapi rasa yang tak dicari tapi tiba tiba-tiba.

















56.
Cinta ibarat tangisan
sifatnya misterius
kerana rasa yang tersentuh
jauh-jauh di dalam hati di dalam diri manusia, bukannya binatang atau jin ataupun syaitan
juga yang dicemburui makhluk lain kepada manusia
dan kerana itulah cinta manusia
digodai makhluk lainnya
supaya dikotori dan didosai.


























57.
Cinta ibarat penyakit
mudah berjangkit mengganggu hati
yang adakalanya manusia jadi kecewa
tanpa sedar
di situ wujud penawar sebenar
dan ubatnya dicari selagi tak serasi
ia tidak sembuh pabila terjumpa, wah, bahagia lantaran kesihatannya berganda.















58.
Cinta ibarat tanah
luas lebar lapang dan kukuh
dengannya jasad manusia terjadi
pabila mati jasad ia terima kembali
bentuknya yang pernah wujud, hidup dan melata di atasnya untuk suatu jangkamasa yang dikehendaki dan dipersetujui antara Allah dengan hamba-Nya.

























59.
Cinta ibarat emas
berkilau berharga dan sentiasa dipandang perempuan
dicari laki-laki dan diberi nilai tinggi
kerana rupanya yang indah menawan
serta warnanya yang unik
manusia tak malu lagi memilikinya malah berkongsi cara meletakkannya di sisi perempuan, pondan dan sultan
hingga jasad mereka tidak kelihatan nyata melainkan ditenggelami emas semata-mata
usah lupa jin amat gemar menjaganya.

















60.
Cinta ibarat intan yang berkilauan
di sebalik warnanya yang putih padu
ia bercerita kisah asal-usulnya
bagaimana ia terjadi
sebalik tindihan jutaan tan batu-batan
tapi siapa peduli waktu kesusahannya
yang tak karuan kecuali Illahi
siapalah kita yang enggan percaya kuasanya
memenuhi nilai ekonomi manusia yang mencipta pentas perniagaan
kepada yang tak memahami sejarah kejadian
pasti terbiar liar sampai bila-bila jua digelar barbarian.























61.
Cinta ibarat elektrik
menyenggar memeranjatkan manusia
tetapi menakutkan jin syaitan dan iblis
kerana rasa hati itu ajaib kesuciannya
halimunan tetapi boleh membunuh
tiap kali hampir hujan ibu elektrik memancar
berbunyi bising para syaitan berebut-rebut meninggalkan dunia
usah dilupakan jasa cinta
bermiliun lampu bercahaya, bermiliun industri beroperasi, jua, alam jadi hidup, kehidupannya berjuta kali ganda laju
daripada dahulu kerana elektrik ditakluki manusia.



















62.
Cinta ibarat mimpi
sehelai selimut selebar langit transparen halus dan indah tapi mengasyikkan. Ia memancing perasaan, bukannya akal. Ia memperkuda tenaga selagi upaya hingga manusia layu selayu-layunya andai diri dungu bak unta. Berbicara dengannya nyata sia-sia
kita dituduh gila
mempercayainya kita jadi perkasa andai datangnya daripada Illahi
awas yang palsu – kita tertipu.























63.
Cinta ibarat nyanyian
bersuara tapi bunyinya hilang ditelan udara disembunyikan kesepian lalu dilagukan berkali-kali hingga manusia tidak lagi ada masa kerana kiamat tiba. Ia bersifat universal asal ada bunyi dan rima, ada cerita dan mampu mengajak perasaan lahirkan diri di dalam hati.

















64.
Cinta ibarat jalan raya
jalur tepat manusia menuju destinasi
seringkali sunyi andai jalan baru tapi bila sudah biasa, ia jadi sibuk dan macet lalu manusia yang tak gembira kebosanan. Kerana sifatnya begitu, kenderaan jadi pengisian
andai laju – berbahaya – tunggu saja kematian di depan dan tamat cerita sia-sia atau kesedihan. Tatkala hari nan panas – muncul fatamorgana – indah berasap tapi mengelabui.



















65.
Cinta ibarat gunung
kukuh perkasa dan tentunya simbol kemegahan yakin dipercayai membahagiakan pabila berbanjaran seperti Alps, Himalaya atau Titiwangsa, waduh, kesenangan hati berganda kerana gempa berjanji tak akan terjadi, apa lagi ‘tsunami’. Dan kerana gunung, guanya pasti ada dan kerana sucinya, pasti ada wali.



























66.
Cinta ibarat keringat
air yang diperah kepanasan dan dihimpit jutaan kalori tenaga maka ia munculkan diri bukannya mudah ia hadir ke alam nyata.
Sia-sia dipelajari untuk dirasai kerana sifatnya tiba-tiba. Sukar ditentukan di mana rumahnya dan bagaimana kilangnya, tahu-tahu, ia hadir dan kehadirannya hanya dalam diri manusia bukan diri malaikat, binatang, jin apa lagi syaitan.






















67.
Cinta ibarat syurga
indah menakjubkan dan diyakini kewujudannya hanya dengan akal dan ilmu, dalam diri manusia; bukan binatang bukan pula syaitan. Kehalusan kehidupan di dalamnya bak benang angin bak rambut air yang terjalin indah dalam buku ilmu. Melihatnya dengan mata nyata, silau cahaya yang gemerlapan. Tiada manusia yang tidak terpikat kerana mendengar ceritanya saja, hati jadi tenang, bayangkan, berada di dalamnya.



















68.
Cinta ibarat akhbar
yang terbitnya dicari manusia
sifatnya yang berbahaya tapi membijaksanakan. Setiap hari, dalam kehidupan kota ada saja manusia menguliti dari muka ke muka mencari apa yang digemari hatinya. Kerana sifatnya begitu, ia berteka-teki, kadang-kala tersilap menduga gayanya, kita jadi malu atau jadi hampa sepanjang hayat.





















69.
Cinta ibarat Qur’an
ibu segala himpunan ilmu induk pengetahuan yang terakam tapi sayang, cuma sekelumit manusia memahami maknanya
itu pun yang bijaksana yang paksa diri siapsiaga berani jadi warga akhirat sejati
dan yang tidak mengetahui erti mudah terperangkap ke gaung sia-sia lalu hidup hampa. Menyebut ayat-ayatnya dengan makna diresapi hati, semua penyakit sembuh – pasti.




























70.
Cinta ibarat siulan
berbunyi merdu dan dibuai angin
yang berhembus perlahan
perlahan jualah ia meresap dalam komputer hati lalu tergambar lukisan yang belum disiapkan
lalu kita tercari-cari.
























71.
Cinta ibarat tabiat pungguk
tercari-cari sambil melihat angkasa
melihat angin yang bertiup
melihat udara yang dihirup
melihat mimpi yang kalau-kalau di dalamnya
wujud diri tapi menyedari diri sebenarnya
di luar dibungkus malam yang sunyi sepi
dan kerana itulah
bulan yang dipandang tinggi itu
dilihat teramat indah lantaran hati sudah terisi
dengan anggapan yang cuba dikekalkan bahawa kehidupan tidak lebih daripada mimpi.



















72.
Cinta ibarat anak-anak padi
yang ghairah tumbuhnya
menghirup udara daripada angkasa
menghisap air daripada bumi
dan mesra menyahut
panggilan manusia
serta bersedia menjadi besar
dan benar-benar berjanji kepada Illahi
akan diberinya manusia dan burung
buah-buah padi sebagai hadiah paling
indah lagi berharga.

















73.
Cinta ibarat daun-daun keemasan
berbekalkan cahaya dan sinaran
yang memancar-mancar mencari mata manusia
yang ghairah kepadanya. Ia tumbuh sebagai hiasan kepada pohon sebagai dapur tempat penyediaan makanan kehilangannya begitu dirasakan dan kehadirannya jangan sekali-kali dipersenda, diperkuda dan dilacurkan dengan dosa, kelak celakalah mana-mana manusia yang khianat kepadanya. Awas. malaikat yang menurunkan bala’ setiap hari itu tak tunggu sesaat pun.

















74.
Cinta ibarat kurma yang masak
dihormati manusia yang berakal
kerana di dalamnya zat dan tenaga
yang diperlukan segera. Ia tak perlu dicampur apa-apa hanya segera dimamah sopan dan berakal
disyukuri nikmat yang dirasai
terbit dalam hati daripadanya
akal yang ada wajar benar memelihara supaya sumbernya hidup segar.























75.
Cinta ibarat ruh padang pasir
luas lapangnya sukar ditentukan sempadan kuasanya membida jua susah dilihat mata seringkali pula manusia takut terperangkap dalamnya kelak kehujanan tapi tak terasa sejuk airnya dipancar matahari tapi tak terasa keterikannya, tau-tau diri hilang arah dilambung fatamorgana tiap saat tiap sudut dimamah rasa tak entu hala selagi tak terjumpa puncanya.


























76.
Cinta ibarat wajah yang tersenyum tenang
tiada yang berani menentangnya atau
memusnahkan kurniaan Allah swt
kehadirannya di dunia ini bersebab dan sangat nyata ia satu daripada produk yang terhasil di syurga, berada di syurga dan berhimpun di syurga yang jika mahu menjadi warga syurga, wajib memilikinya.































77.
Cinta ibarat gugusan anggur
yang kelihatan elok
comel dan hebat tak tertandingkan kerana pabila ranum, tak sedikit tak terliur dan kerana zatnya
berkhasiat, para doktor ketahui benar intipati. Ia ramuan penyembuhan penyakit perasaan, akal dan jasad.



















78.
Cinta ibarat pandangan mata
yang bertenaga tapi halimunan dan
bermaksud tapi sukar diduga
jua bercahaya
tapi seketika dan
mengejutkan tapi tak menakutkan. Kita terpaksa mencari ertinya dengan akal, menggali memori
dan muda pula kita jadi teragak-agak.

















79.
Cinta ibarat planet
sunyi dalam alam yang gelap gulita
dan bentuknya nyata tapi dari jauh sahaja, didekati kelihatan rupanya bagaikan tak percaya. Kesunyianya maka ia memerlukan penghidupan supaya keindahan yang dijanjikan tidak sia-sia tidak pegun.























80.
Cinta ibarat komet
melancar memancar membelah
kegelapan dunia dengan ketajaman cahaya yang terkumpul pada sesuatu yang tak berbentuk dan manusia sering lupa kerana itulah masih ramai manusia yang takut kepadanya tapi sayang, kewujudannya kerap jadi sia-sia kerana kononnya berbahaya
tak sedikit manusia melarikan diri daripadanya lalu terus mengkaji, menyelidik dan meneliti erti dirinya.



















81.
Cinta ibarat taufan yang menolak laju dan menghumbankan dengan kuasa yang tak kelihatan pabila sedikit tapi sesudah debu yang kotor bersamanya, kelihatanlah sedikit rupa bentuknya yang mengandungi kuasa penggerun. Ia memaut dan memagut bagaikan gergasi yang tak nyata. Tatkala tiba, ia tak diduga dan perginya pula sukar diduga - semuanya tiba-tiba dan misterius.



























82.
Cinta ibarat puting beliung yang memutar dan membelit dengan kuasa halimunan bagai cermin selembut angin tapi perkasa. Apa yang tidak berjaya diangkatnya dan dilambung, kemudian dihumbannya ? Tak sesiapa berani menaruh diri, apa lagi mencabar kuasanya walau sejuta akal saintis berkepala paling botak. Mengenderainya, memeningkan sesiapa jua di dunia ini. Mengikuti seluruh perjalanannya, berbahaya.























83.
Cinta ibarat hidung
tempat masuknya nafas paling sempurna hingga manusia hidup dan bertenaga merencana serta memulakan kerja mencorakkan dunia. Siapa yang tak memerlukannya ? Tiada. Yang jelas, kehadirannya mengindahkan bentuk lantas indah pulalah kerja-kerja yang terhasil daripadanya.



























84.
Cinta ibarat nafas
diperlukan hidup-hidupan tiap saat
tiap ketika dan ia jadi syarat menghidupkan kerana tenaga disediakan hasil campurannya
ia jadi syarat sel-sel itu hidup dan meminta arahan untuk memulakan tugasan kemakmuran tubuh.




















85.
Cinta ibarat arlogi
berangka dan berpedoman penunjuk serta pencatat pengembaraan masa
yang pastinya diperlukan
dan tidak diperlukan manusia yang tatkala sibuk
ada ketikanya masa jadi pembunuh sekali gus penggerak atau katalis. Tidak sedikit manusia terang-terang memakainya sebagai penghias tangan tapi belum tentu mahir mengendalikan keseluruhan fungsinya.



















86.
Cinta ibarat mata
sifatnya berkaca-kaca tapi bentuk sebenarnya sukar diduga dan kepada yang tak biasa dengannya, sukar berfikir tentang kerenahnya yang memeningkan kepala sesiapa yang boleh berfikir dan yang tidak menggunakan akal, selalu tertipu kerana kejahatan yang ada
pada zaman purba serta hingga hampir akhirat
sering berada di sekelilingnya.





















87.
Cinta ibarat telinga
yang dijadikan berfungsi untuk jadi mulia menerusinya manusia mengetahui maklumat
dan undang-undang kehidupan
supaya jadi manusia bukan hiawan. Suara dan bunyi yang meresap ke dalamnya menghidupkan suasana.


















88.
Cinta ibarat muka
beridentiti dan bersifat tapi keseluruhannya
menjadi sebab manusia termenung memikirkan tentangnya. Tak pernah sama untuk suatu kehidupan tapi tak menyusahkan sesiapa kerana kehadirannya berpewakilan untuk berurusan yang sudah ditentukan dalam alam yang dirahsiakan Allah swt.


























89.
Cinta ibarat air terjun
mencurah laju banyak airnya bagaikan tak kehabisan tapi sebenarnya ada ketikanya juga ia susut dan menghibakan. Manusia yang berakal serta berhati suci cepat sayu melihat keadaannya yang dua itu – kaya dan susut air. Aura pasti timbul tiap kali membiarkan airnya mencurah di kepala hingga jutaan bola buihnya yang memecah putih menuruni jasad bagaikan cepat meresap ke dalam liang kulit.




















90.
Cinta ibarat ensiklopedia
tempat terhimpunnya ilmu hingga pengetahuan pun hidup dalam akal manusia lantas tiadalah makhluk kekecewaan muncul dalam alam tugasan dan kehidupan. Hanya manusia yang cinta akan ilmu mencari, mencantum dan mewujudkannya dalam bentuk yang nyata, kemudian, mengkaji serta meneliti satu demi satu sifatnya.






























91.
Cinta ibarat peta
terhampar dan tertera jalan serta sifat-sifat
alam nan terbentang
ia tidak menyesatkan sesiapa yang berakal dan bijaksana tapi awas ia menyembunyikan
harta yang suci lagi bernilai di akhirat yang tidak menenggelamkan manusia dan
yang tidak menjahanamkan sesiapa.



















92.
Cinta ibarat kenderaan
tercipta untuk dinaiki hidup-hidupan yang mulia
bergerak dan menghiburkan kepada yang mengerti
kewujudan akhirat. Ada yang mati kerana gagal memandunya dan ada pula cedera. Kesalahan terletak kepada akal – sedikit atau banyak digunakan.





























93.
Cinta ibarat oksigen
yang membekalkan tenaga kepada manusia
dan bukan manusia – alam ini, haiwan, pohonan, air, bumi dan gunung-ganang. Sifatnya tetap halimunan tapi nyata kesuciannya. Rugi dan malanglah sesiapa yang angkuh kepadanya kerana sifatnya asli. Berbahaya kepada api daripada rakan jadi lawan kerana dungunya manusia.



















94.
Cinta ibarat darah
mengalir laju dan perlahan jauh
setia di dalam urat serta jasad
pabila suci ia jernih dan segar lalu menyegarkan makhluk. Pabila dikotori, ia berpenyakit hingga warnanya jadi kian hitam menyedihkan hati yang suci kerana mata yang melihat rupanya tahu nasibnya.






















95.
Cinta ibarat mata hati
halus sifatnya tak terpegang jari tapi membijaksanakan sesiapa yang mendampingi. Ia pasti, pasti jauh diri daripada penipuan, kejalangan dan apa jua yang haram hanya hadir pabila manusia keheningan melihat
ruh alam.






















96.
Cinta ibarat matahari
yang terbit hampir tiap hari siang yang pastinya terang dan ia menerangkan kegelapan
kuasanya maha perkasa dalam alam ini
hanya yang kedua selepas kuasa manusia
dan tiap kali terbit, pasti di timur dunia kerana di situ alam menempatkan manusia yang jauh lebih asli manusiawinya. Dan kerana tempat-tempat yang ada terisi manusia yang palsu hatinya, ia tidak terbit.



















97.
Cinta ibarat malaikat al-Qadr
yang tetap dicari manusia mahu daftar diri
sebagai penghuni syurga dan yang selamat di akhirat. Rupanya amat hebat dan cahayanya suci lalu yang ditemuinya hanya yang suci, hanya yang suci – itu amat pasti. Kehadirannya di dunia terkawal hanya dalam bulan yang suci, Ramadan, yang memanggilnya siap diri bersuci lalu ia turun meraikan. Sifatnya cepat tiba dan menakjubkan hingga dunia dirasakan terbakar dengan cahaya suci.





















98.
Cinta ibarat Arasy
rumah Allah di langit nan tinggi
yang jadi rahsia kepada kanak-kanak
dan manusia dewasa yang tidak berilmu atau yang kotor
hatinya.




































99.
Cinta ibarat syurga
alam yang paling indah dan tidak menyusahkan sesiapa malah membahagiakan hingga ke tahap ketakjuban kerana keunggulan ciptaan Allah yang maha suci.

Berada di dalamnya diri macam mimpi terbuai-buai dalam buaian perasaan
kadangkala terasa sia-sia tapi
keindahannya menggamit kenangan.













100.
Cinta ibarat Islam
yang menjanjikan ilmu, amalan dan keselamatan ruh serta jasad – seluruhnya selamat di dunia serta di akhirat malah berada di mana jua di dunia ini, pasti ilmu dan amalan itu dihidupkan lalu diri yang terbentuk dek ruh serta jasad pasti selamat.

Tidak ada elemen lain kerana ia sempurna dan disempurnakan sambung-menyambung hinggakan Allah berjanji, alam ini diciptakan untuk Muhammad dan dimakmurkannyalah sesudah dihapuskan para pengkhianat kepada alam dengan bencana yang munculnya tiba-tiba.





















1rasa hati 2cahaya 3lautan 4danau 5matahari 6angin 7embun 8langit 9tv 10suara alam 11kabus yang dingin 12belantara raya 13awan-gemawan 14panahan petir 15buah-buahan 16air 17tentera 18gempa bumi 19angkasa 20alat muzik 21telefon 22rama-rama 23hembusan gua dingin 24gelombang haba 25pucuk-pucuk kayu 26gunung berapi 27fajar 28jendela 29mimpi 30debu di lautan 31bintang-bintang 32sinar mata 33lautan padi yang menguning 34bola 35tasik 36urat-urat 37angin 38muzik 39haruman 40kaca 41 cermin muka 42lukisan 43siang 44subuh 45langit 46 pulau
47azan 48komputer 49layang-layang50pena 51ka’bah 52masjid 53kereta 54keris 55jet 56tangisan 57penyakit 58tanah 59emas 60intan 61elektrik 62mimpi 63nyanyian 64jalan raya 65gunung 66keringat 67syurga 68akhbar 69Qur’an 70siulan burung 71tabiat pungguk 72anak-anak padi 73daun-daun keemasan 74kurma yang masak 75ruh padang pasir76wajah yang tersenyum tenang 77gugusan anggur 78pandangan mata 79planet 80komet 81taufan 82puting beliung 83hidung 84nafas 85arloji 86mata87telinga88muka89air terjun90ensiklopedia91peta92kenderaan93oksigen94darah95mata hati96matahari97malaikat al-Qadr98Arasy99syurga100Islam