Sunday, August 30, 2009

Esei Ilmu

Rencana Dewan Budaya: Untuk Perhatian Yang Berbahagia Puan Padilah Haji Ali

Ekspo Kedua Seni Antarabangsa Malaysia yang Mengagumkan
Oleh Daeng Ramliakil

SESUNGGUHNYA bukan mudah malah amat payah bagi siapa pun, negara manapun, lebih-lebih lagi dalam fenomena kemerosotan ekonomi global begini untuk menganjurkan ekspo kesenian besar-besaran peringkat dunia, apa lagi ekspo yang menempatkan karya pelukis dua puluh dua buah negara mencakupi benua Asia, Eropah dan Amerika. Namun, ekspo yang berlangsung pada 26 hingga 30 November 2008 bertempat di Matrade Exhibition & Convention Center [MECC], Kuala Lumpur, anjuran Art Expo Malaysia Berhad, dengan penaungnya, Raja Puan Muda Perlis, DYMM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menjanjikan kehebatan.
Bayangkan, ekspo ini mengenengahkan karya 36 pelukis Korea yang menjadi ahli Pertubuhan Kerjasama Seni Antrabangsa Korea [IACO] yang ditubuhkan pada tahun 2006, dengan purata dua buah karya bagi setiap pelukis; ditambahi karya dua puluh pelukis jemputan dari negara yang sama. Muncul tiga buah karya Koo, Cho-soong, profesor Universiti Sang Myung, lulusan Universiti Hong –Ik dan menjadi Naib Pengerusi Persatuan Promosi Seni Dunia, masing-masing bertajuk The Still life – Square Table, The Desire of Ifor dan The Still life – On the Table yang beraliran realisme yang hasil karyanya teramat halus hingga mendekati fotografi. Turut diketengahkan karya-karya pelukis jemputan Korea, bermula dari Kang, Chang-yul hinggalah Choi Soo.
Tepatnya, selain mereka, ekspo ini mengengahkan karya Lee Bung Lyol, Lee Sang-jung, Park Soo bin, Chang Eun kyung, Kian jong soo, Hur Man wook, Park young in, Hyun Bum soon, Kim Soon jin, Hwang Doo Soon, Park Yeen woo, Chang Sei yul, Kim Kyung ja, Suh Kyung deok, Hyun Kyung soon, Im Eun ja, Lee Hyun, Kang Hong gue, Son Sun ok, Yoo Mi soo, Kim Gyong suk, Jung Yeon Heui, Kim Yeon ok, Lee Eung jong, Oh Ho sook, Heo Eun young, Han Youn ki, Kim Hyun seong, Lee Mi kyung, Oh Eun hye, Song Hyun hwa, Yoo Kyung ah, Kim Min young, Kwon Hyun ok dan Moon Eun sook, manakala pelukis jemputan yang ternyata mengutarakan karya yang lebih hebat falsafahnya, seumpama When April Comes, Mud Flat, A curve in the Strait, Interpretation of Memory, Restoration Window 08-2 dan puluhan karya lagi.
Penganjur turut mengenengahkan karya 14 pelukis Singapura, mencakupi karya Feng Ye [1] hinggalah P.Ghana [4] yang masing-masing dengan karya bertajuk Simple Glamour 11 dan Eternal Companion 72, Eternal Companion 73, Eternal Companion 114 dan Eternal Companion 115 yang dihasilkan dalam bentuk lukisan minyak dengan meminjam bentuk lembu ciptaan Pablo Picasso. Selain mereka, Singapura mengirimkan karya Zi Peng, Wang Zhi Yin, Lin Chun Hai, Duong Ngoc Son, Robert Indiana, Fan Shao Hua, Loh Choi Nyet, Sim Pang Liang, Ang Ah Tee, Huang Zhen Wen, Pande Gede Supada dan Ho Kah Leng. Antara karya yang hebat ialah Our Big Tree karya Zhi Xin, lukisan minyak yang menempatkan subjek sepohon kayu berdaun aneh yang ketinggiannya melebihi awan hingga tiga lelaki digambarkan kebingungan. Karya lain ialah The Story of Timelines yang bercerita perihal kasih sayang perempuan si pemakai uniform keselamatan, Jasmine Maiden, Busy Day, Love Sculpture “PREM” dan Song of Beauty.
Malaysia mewakilkan karya-karya Ung Mooi Leng, Loo Hooi Nam, Khalil Ibrahim, Rafiee Ghani, Raja Azhar, Azad Danial, Ng Foo Cheng, Azman Hilmi, Shahrul Anuar, Chong Hon Fatt, C’hang Huck Theng, Chiang Soo Ling, Jansen Chow, A.S Kang, Lee Sin Bee, Yap Kim Boon, Kang Seng Choo, Suzlee Ibrahim, Zaharuddin Sarbini, Wong Kean Choon, Yong Khek Cheong, Lim Ka Seng, Edi. A, Dr.Foo Yong Kang, Abd.Rasid Yusof, Zaim Durulaman, Faizal Samat, Ahmad Fauzi Arshad, Raphael Scott Ahbeng, Poojitha Menon, Sylvain Yong, Cheong Mei Fong, NG Soak Wah, Mah Ai Ching, Tan Kai Sheuan, Ong Gaik Joo, Ho Mi Mi, Yong Seow Ping, Lau Seong Leng, Linda Chen Yet Lee, R.B Setiawanta, Aidi Yupri, Mujiharjo, Switbertus Sarwoko, Erizal A.S., Lim Kim Hai, Chiang Shih Wen, Lian Hooi Beng, Harun Mokhtar, Romli Mahmud, Shahrul Anuar Shaari, Peter Liew, Cheung Pooi Yip, Mohammad Rizlan Kamaruddin, Simon Tan, E.H.Chee, Yeak Ping Lian, Tan Sik Yaw, Ngo Van Sac, Ngo Hai Yen, Haji Mansor Ghazali, Muslim Mattajim, Mastini Asap, Koh Choon Wern, Janson Chow, Tang Mun Kian, Yeoh Kean Thai, Tan Sri Shamsuddin Osman, Tan Suiz Chiang, Yong Look Lam, Dr.Wong Seng Tong, Chow Chin Chuan, Calvin Chua Cheng Koon, Datuk Chuah Thean Teng dan Ng Foo Cheong.
Ini ditambahi karya para penasihat projek yang terdiri daripada Prof.Chung Chen Sun, antaranya yang bertajuk Harvest dan Well Wishes for Everyday Life. Pengarah Balai Seni Lukis Negara Dr.Mohammad Najib Ahmad Dawa dengan karya Tanpa Tajuk, Fusion 1 dan Fusion 1V, Cheah Yew Saik mewakilkan karyanya Lunch Time, Valley dan Home from the Sea 1, lukisan minyak yang menonjolkan kekayaan serta kegagahan warna biru. Dr.Choong Kam Kow dengan karyanya yang bertajuk Fit for Life 5 [Taiji], Fit for Life 6 [Taiji], Fit for Life 7 [Taiji] manakala Datuk Syed Ahmad Jamal pula, megutarakan karya yang terhasil pada tahun 1956, bertajuk Battersea Park 11 dan Blue Moon Light dan Chairil Anwar yang terhasil pada tahun 1959. Hujan Panasnya terhasil pada tahun 1958 dan karyanya setahun kemudian, Winter Sun juga karyanya yang terhasil setahun sebelumnya, Sungai Batu Pahat. Seperti biasa, pelukis agung Malaysia ini kekal dengan identitinya yang bercerita menerusi cat minyak di atas kanvas perihal kesamaran, keajaiban dan misteri dengan memilih pendekatan post impresionisme, selain warna yang kaya dengan tona serta kejernihan cahaya.
Malaysia turut diwakili karya-karya silam iaitu Minah [1958] karya Allahyarham Datuk Mohammad Hoessein Enas, 3 Pahlawan [1981] karya Nik Zainal Abidin, Dayak Kampung Kapan Landak River [Karya tahun 1890]lukisan William Samwell, Bujang Berani, [1991] skulptur Bayu Utomo Radjikin, Dari dalam Sebuah Rumah karya Allahyarham Dzulkifli Dahalan, Tanpa Tajuk [1993] karya Ahmad Syukri, Tanpa Tajuk [1993] ciptaan Ismail Latiff yang lazimnya menghasilkan karya beridentitikan subjek mitos dan legenda Melayu seumpama Merong Maha Wangsa serta kemisteriusan isi lautan. Juga, karya Rahime Harun yang dihasilkan dengan emulsi tempera telur bertajuk Fictional Landscape.
Myanmar mengenengahkan karya Maung Myint Aung, Khin Win Kyi dan Di Pa manakala Filipina dengan Jovan Benito, Lydia Velasco, Dominic Rubio dan Ramon Orlina. Sepanyol mewakilkan karya David Morago, Joan Miro dan Guillermo Oyaguez yang menghasilkan catan,manakala Jesus Curia dan Manolo Valdes mempamerkan skulptur.
Dari Taiwan, pengunjung berpeluang menatap karya Ma Fang-yu, Chen Tsu-ming, Chan Mei-yun, Huang Ming-cheng, Chen Kuan-yu, Lei tzu-ling, Cheng Hung-chang, Chin Pei-jung, Chen Li-ying, Cheng Pi-chou, Wu Carin, Lee yu-ju dan Chen Ping. Antara karya yang hebat mereka ialah Language of Mind, jenis abstrak, cat minyak beraliran ekpresionisme yang bercerita perihal permasalahan yang terisi dalam fikiran, namun terdapat sedikit cahaya penyelesaian. Juga, The Hometown of Cloud yang terhasil pada tahun 2007, catan cat minyak yang tebal dengan cat, dihasilkan dengan pisau palet dan alat keras yang bercerita tentang permukaan dunia yang menempatkan bumi dan air.
Thailand mewakilkan karya Jaroon Chaijit, Wichien Wongsupaluk, Sathit Thimwatbunthonge, Apiruk Punmoonsilp, Smith Sein Lynn, Sompol Yarangsee, Edvard Sasun, Shi Quanxing, Jakraphan Chaijit, Arnan Ratchawang-in, Eliz Kim, Paul de Blieck, Silawat Poolsawat, Jirasak Plabootong dan Claire Layman. Karya-karya pelukis negara ini yang mewakili Galeri Majalah Seni Halus lebih beraliran post impresionisme bercorak keagamaan atau ketuhanan seumpama karya Arnan dan Paul de Blieck sementara karya Silawat yang bertajuk Looking Forward lebih kepada falsafah mengagungkan wanita.
Tony Palacios dengan tiga buah seni popnya bertajuk Poem to Andrea, Window to Heaven dan Earth mewakili Venezuela. Galeri Mai, Vietnam pula menempatkan karya Nguyen van Duc berjudul Stret of Flowers dan Road to Sanctuary yang dihasilkan pada tahun 2008.
Artis jemputan ekspo ini terdiri daripada pelukis Britain iaitu Wenchi Lucas yang menghasilkan catan cat minyak dan kesemuanya tanpa judul, beraliran impresionisme dengan warna yang muram dan mampu melampiaskan kegerunan kesepian. Pelukis ini merupakan lulusan 1997, ijazah pertama Campbell College Art. Peranchis pula dengan karya pelukis Jean Francois Bardez bertajuk Depart de la Course, karya Tjoa, Jeune Homme et Jasmin dan Midani M’Barki, Vieux Montmartre.
Iran mewakilkan Mohammad Tirani dengan karya yang brtajuk Gorgan Nature, catan cat minyak 2008, Homa karya Pegah Samaie, catan cat air yang mengisahkan betapa tinggalan sejarah tidak dipedulikan, hanya dihargai sepasang burung. Marie Thomas mewakili Ireland dengan karya-karya Unraveled, Tranquility dan The Fishermen. Dua buah karyanya bercorak separa abstrak, pemandangan tepi pantai yang kesepian manakala para nelayan turut kemuraman dalam kehidupan.
Gjorgji Culakovski-Giotto dengan karyanya, Graphic Art B dan Ilina Arsova menerusi Ton Say, kolaj dan arkrilik yang mengisahkan perihal nasib manusia gelandangan mewakili Macedonia. Mueen Saheed mewakili Sri Langka dengan karya-karya akriliknya, bertajuk Imagination, Color Fusion dan Kimberly. Taiwan pula tampil dengan karya-karya Vincent JF Huang, berupa dua buah karya skulptur bertajuk The Last Penguin Series 2 dan The Last Penguin Series 3, manakala sebuah catan akrilik, diberi judul The Last Penguin Series 1.
Kekaguman pasti terserlah pada asasnya apabila memikirkan betapa ekspo mampu mengenengahkan identiti lebih daripada 180 orang dengan karya sekitar 400 buah, mewakili lebih daripada 60 buah galeri seni, juga, mewakili 22 buah negara, dan ekspo diadakan di Kuala Lumpur dengan para penasihat seni projek terdiri daripada Datuk Syed Ahmad Jamal, Dr.M.Najib Ahmad Dawa, Datuk Dr.Tan Chee Kuan, Puan Wairah Marzuki, Prof.Chung Chen Sun, Dr.Choong Kam Kow, Cheah Yew Saik, Liu Cheng Choong dan Chow Chee Ming.
Mereka bukan sahaja terdiri daripada para teknokrat yang berjaya menghasilkan seni catan mahupun skulptur yang indah, berfalsafah dan selari dengan maksud kata-kata Naib Pengerusi Ekspo Seni Malaysia, Ooi Kok Chuen, “seni yang bagus macam intan, selama-lamanya.” [Good art, like diamonds, are forever]. Ekspo ini menghimpunkan karya para profesor ternama bukan setakat peringkat Korea dan Malaysia malah dunia yang melampiaskan karya-karya representatif serta kaya dengan tanda-tanda intelek.
Idea yang diketengahkan menerusi ratusan karya seni catan dan skulptur yang diutarakan menerusi ekspo ini bersifat tradisi, antaranya tradisi kecinaan dan keagamaan Budha sebagaimana karya Dr.Foo Yong Kong, Jia You Fu mahupun Yang Yan Wen. Kehalusan karya Li Xiao Ke yang berjumlah tiga buah itu, bertajuk Sacred Height, Guardian Peaks dan Natural “Sunny” Abodes.
Syed Ahmad Jamal yang mengutarakan subjek tempatan dan kehebatan alam sekitar Malaysia serta penyair Chairil Anwar yang sudah dihasilkan sejak dekad 50-an, sarat dengan kemahiran bertanda intelektual tetap menjanjikan kehebatan berganda, mampu memenuhi kerinduan para pecinta seni bertaraf dunia. Demikian jugalah kerinduan terhadap seni catan yang dilahirkan menerusi aliran-aliran impresionisme, post impresionisme, pop art, Chinese, realisme dan kolaj.
Malaysia bertuah, sebalik kesepian kementerian tertentu, para intelek seni berduyun-duyun mengunjungi para sahabat intelek seni di sini dan yang lebih menguntungkan, mereka membawa karya representatif masing-masing. Rakyat dan manusia yang ke Malaysia menjadi saksi interaksi intelektual kesenian seni catan dan skulptur tahunan ini. [Bermula tahun 2007].*

· Penulis Daeng Ramliakil ialah graduan UPM, Bachelor of Education [1983-86] dan belajar sambilan peringkat MA di USM [2000-2001], di UPM [2003-2007], kini, sambilan di UM [2008-9], juga seorang pelukis, penyair, cerpenis, pemakalah dan bekerja sebagai pengurus/tutor kelas tuisyen yang sebelum ini menjadi guru kerajaan selama 17 tahun dan wartawan Utusan Melayu. Alamatnya, 10 Lorong 6, Taman Pelindung 4, 26100 Beserah, Kuantan, Pahang. Sms 016-9324001. Blognya boleh dilayari: radenmassyahid.blogspot.com

Balada Terbangnya Rendra

Balada Terbangnya Rendra

Langit luas lapang
maha terang
yang tertangkap, kunang-kunang
berkerlipan tak lagi gelandangan.

Saudaraku Rendra
kakimu pernah nyentuh bumi Amerika
gegarannya bertanda
diri memahami, atas namamu bak garuda
yang terbang lalu hinggap, ke mana-mana
di mana-mana di dunia, rasa manusia
tertebar merata, merapati muka bumi ke dada
menyaring mutiaranya derita
mengangkat hala langit lalu disepuh
emasnya bercahaya tak henti-henti.

Rendra, peminat wanita, juara pembela
di mata kehidupan hidup-hidupan itu
ditangkapnya petir, dijinaknya
diberi air yang terjunannya kedinginan
permaidani perasaan jadi kenyamanan.

Banjarannya gunung-ganang Rendra
kesejajaran banjaran media
Taman Ismail Marzuki mampu berkata-kata
penuh kesenian, merdunya suara, wanginya suara
nasib insan terbela di hati manusiawi
hari ini, anak gelandangan kekeringan rezeki
disuarai Rendra, meresap ke dada Indonesia
masing-masing mula nyedari, selain mulut sendiri
ribuan mulut lagi wajib mengunyah,
bukan ditinggalkan kesunyian.

Tertawa siapa pun di bumi Eropah, Amerika
Rendra dipenjarai Sukarno, dilokapi Soeharto, nyata
dungunya si syaitan-syaitan, pengampu tonggak negara
kata mereka, demi negara, tapi sebenarnya
kejahilan, kekhianatan kemanusiaan.

Hari ini Rendra hilang, terbang ke langit nan tinggi
siang jadi sunyi sepanjang hari, menanti erti.

Daeng Ramliakil
Akademi Pengajian Melayu, UM
13viii2009

my partner in art, jern foong practice air brush 2009



Cerpen Hidup Sesudah Mati

Cerpen Hidup Sesudah Mati
Oleh Daeng Ramliakil

DAN seperti biasa. Tidur sahaja, dia terus mati. Kematian yang tidak ditangisi sesiapa. Tidak juga menimbulkan kegembiraan.
Sayakah tahu, kematian P.Ramlee, Air mata di Kuala Lumpur menunggu untuk sekian lama. Kematian Tun Razak, sekian-sekian air mata tumpah. Dan sebelum itu, kematian Tun Dr.Ismail, air mata tumpah melewati jangkaan.
- Kematian Michael Jackson, si penghibur berlagu dan bermenari yang berkulit hitam, kemudian putih itu menumpahkan air mata merentas sempadan agama, bangsa jua warganegara. Mampukah seseorang mati, pengampu slogan Satu Malaysia lantas se-Malaysia dibanjiri air mata? Siapa antara kita yang memang tidak bijaksana sewaktu mencipta slogan bak kiambang yang tidak berjejak di dasar danau, terawang-awang di permukaan, yang tidak berusaha mencipta slogan pengisian?
- ?
- Kaliankah yang dikatakan pemikir bangsa serta negara yang memberi maklumat serta pemikiran kepada pucuk pemimpin?
- !
- Benar-benar memalukan. Bukannya malu setahun, sedekad, malah seabad. Barangkali, berabad-abad.
- !
Suasana berubah, daripada keadaan persekitaran bercahaya kekuningan, kehijauan mengambil alih ruangan.
Waktu itu juga, Raja Wali berada di tempat duduknya, di singgahsana yang tersedia.
- Siapsiaga?
- Ya. Untuk apa aku ke mari? Bercanda? Atau, mencari bukti jua tanda bahawa ke marinya aku itu mustahak?
- Ya. Kehadiran di dunia sama seperti tumbuhnya benih pokok, membesar dan mengeluarkan atau tidak mengeluarkan bunga mahupun buah. Bertanda. Malah, kehadiran gumpalan awan seminit dua berbentuk dengan sebarang bentuk pun mustahak.
- Hah!
Saat itu, sungai darah yang mengalir di dalam tubuh Sayakah mengarahkan airnya mengalir tenang setenang-tenangnya.
Langit di dalam tubuh mendung. Dan, saat itu jugalah hujan membasahi bumi jasad. Hati sayu sesayu-sayunya. Seluruh dunia hati dipenuhi sensitiviti yang sama, serupa dan hidup.
Sayakah merenung ke dalam tubuhnya. Sekali diucapkan hatinya, subhanallah, dihidupkannya perasaan permintaan daripada Allah untuk menyucikan setiap sel dalam tubuhnya. Direnung, dihayati, lalu terjadi.
Sempurna proses penyucian itu, disebut hatinya Alhamdulillah. Suatu perasaan, bergunung Everest terungkap tiba-tiba bagi menyatakan terima kasih kepada Allah, zat tunggal yang maha berkuasa. Sesudah itu, hatinya menyebut Allahu Akbar. Lantas, resapan kekuasaan Ilahi dilihatnya dengan mata hati.
- Yang di dalam diri, mahu kunyatakan kepadamu, selalu, sejak dahulu mahu kusebut, aku tidak berkuasa apa-apa. Benarlah, kata-kata, lahaulawala quwattaila billahilaliyiladzim.
- Jadi? Mahu kalian pinta diri-Ku memerintah kesemuanya dengan kesedaran kalian?
- Ya.
- Tiap saat?
- Tiap kejadian.
- Dengan itu, kalian menempatkan diri ke dalam dunia atau alam baharu. Segala-galanya indah. Dan, kalian mesti menyebutnya, alhamdulillah sebaik siap suatu kejadian. Bukankah itu, hidupnnya qada’ dan qadar, prinsip wajib keimanan seseorang manusia? Jelas.
-

Gurindam Umat Islam di Dunia

Gurindam Umat Islam di Dunia

Pertama wajib pemula nafas Islam
Kalimah tauhid, kalimah rasul dilafaz kalam.

Kedua solat wajib lima waktu
Itulah ubat segala penyakit lama dan baru.

Ketiga puasa wajib zahir dan batin
Barulah kita ingat kita ini sebenarnya miskin.

Keempat zakat jadi wajib juga
Barulah manusia semuanya bersaudara-mara.

Kelima haji di Mekah kepada yang mampu
Kiasan awal Yaumil-Masyar, belajar jadi tetamu.

Rukun Iman yang enam sejak awal jadi pengisi diri
Supaya selamat pabila mati nanti.

Belajar dan amal suci jasad juga angkat hadas
Tiap kali sesudah keluar tandas.

Arif ilmu ketuhanan sejati
Nescaya syaitan jauhkan diri.

Amal ilmu kenal diri dan jalan kembali
Pasti selamat roh pabila mati nanti.

Daeng Ramliakil
10 Lrg 6 Taman Pelindung 4, 26100 Beserah, Kuantan
[Dibacakan pada Malam Kiraan Menurun Menuju 2009
Di Taman Budaya Negeri Pahang: 31.12.2008]

Puisi Nik Aziz dengan Melayu Ular

Puisi Nik Aziz dengan Melayu Ular

Tatkala matahari membiru,
ular-ular berlidah hitam
mematuk-matuk
demi membeli dunia menimang harta
urus niaganya, haloba dan ‘kunun’nya bijaksana.
Hah! Ular-ular yang menjalar
di bumi yang mendengar doa Haji Nik
saban solat yang lima
ular-ular masih melingkari kaki Najib

Kali-berkali, bertubi-tubi anak Tun Razak itu
‘bagi warning’, ‘kalau tak buat kerja’
‘Jangan harap saya beri apa-apa pertimbangan’
gaya Pahang itu, ular-ular yang baru menetas
rebut-berebut, beli wartawan, lobi tv
dengan gaya gengsi, bersuara kepawangan.

Yang diserang, bukan yang mungkar
lautan pemurtad, si mangsa,
lautan si pemabuk arak di hotel-hotel
si pemunggah wang negara
tapi yang diserang, dimangsakan, polis-polis jujur
yang ditikam bertubi-tubi, pejuang fisabilillah
yang ditentang, pendoa, yang doanya makbul.

Alangkah dungunya si ular-ular parti itu
assalamualaikum Najib, Tun Razak bercahaya orangnya
dirimu, berbakat baik
lihat di kakimu, ular-ular hitam
halimunan dan nyata
bagiku, dirimu pelajari cara Haji Nik Aziz
berani, bijaksana manusiawi dan terpenting,
siang-siang membunuh si ular-ular.

Daeng Ramliakil

Puisi Merdekanya Kawanku Si Politikusi

Puisi Merdekanya Kawanku Si Politikusi

Apa pun, di bumi mana pun, kawan-kawanku itu
merdeka memerdekakan hambanya diri
melihat langit luas, luaslah cita-cita kuasa
melihat lautan membentangkan diri
diluaskannya gedung RM, USD jua harta
merdeka kata lidahnya kepadaku.

Kutulis ucapannya, kuterapkan
innasolati wanusuki wamahyaya wamama ti
lilla hirobbil aalamin, dilafaznya merdu sekali
kawanku itu berkuliah subuh, kudapan orang-orangan parti
masing-masing termenung kagumkan diri
sebahagian, nak pengsan tahan ketawa
diajarinya, solat mayat, dilengkapi ruku’ jua sujud
diri beratus batu jaraknya jadi gagap diberitahu.

Kami minum, diri pilih kopi o, dia brandi
merdeka katanya, jika yang bertanjak boleh, dia ikuti
bumi ini merdeka, merdekalah elak cukai
merdekalah elak zakat, lagi merdeka tuang solat
untung rakyat, jadi komoditi, tertipu tapi taat
lebih-lebih, selepas hidup, mati, jadi mayat
katanya kepadaku, jangan soal akhirat
itu kerja tuhan, usah campuri
tuhan ‘kan merdeka, ujarnya lalu halimunan ke luar negeri lagi.

Hari berhari, berkawan dengan lanun baru
kupanggil Machiavelli kutanya, siapa muridnya
syaitan-syaitan, ujarnya
kusoal, siapa siswa-siswinya
syaitan-syaitan katanya
kutanya Mac, siapa dirinya
Raja Dajal, tegasnya
Merdeka? Soalku. Huh! Ruhku jenuh seksaan Allah
saban saat. Daeng, ujarnya, kau jenamakan semula
samaklah si polikusi di bumimu, segera
sebelum sang maut tiba
sebelum strok merenggut urat akal mereka.

Diri mencari kawanku, si polikusi
belum bersuara, katanya sambil meneguk Carlsberg
yang dibeli dengan RM undi rakyat sejak berdekad
Li!, aku merdeka, kau hamba
Ya! Jeritku, hamba Allah yang amat merdeka
udara, nyawa, akal diberinya sempurna
kamu, kawanku hamba jasadmu laknat dipenjarainya.

Daeng Ramliakil
Akademi Pengajian Melayu, UM
6viii2009 [Dideklamasikan di Rumah PENA, 7 Ogos 2009] daengramliakil@yahoo.com

Sunday, August 23, 2009

assalamualaikum wth


Assalamualaikum wth para rasul,para nabi,para wali,para manusia,jin,binatang dan syaitan di seluruh alam.